Mengambil semangat penulisan kimia organik pada tanggal 5/12 sejak dua tahun lepas, eloklah diperturunkan di sini lanjutan pengkisahan #kimiaorganik yang pernah ditulis sebelumnya pada hari ini juga.

Tajuknya adalah kimia yang sama, tapi tak serupa.

Tangan kanan adalah cerminan kepada tangan kiri. Maksudnya jika di letakkan secara bertentangan-ibu jari kanan akan bertemu ibu jari kiri, telunjuk kanan akan bertemu telunjuk kiri dan seterusnya. Sama bukan? Seakan dihadapkan tangan kepada satah cermin.

Namun begitu, tangan kanan dan tangan kiri adalah tidak serupa. Jika diletakkan tangan kanan di atas tangan kiri pada arah yang sama, tentunya jari yang sama tidak akan bertemu. Misalnya ibu jari tangan kanan akan bertemu jari kelingking tangan kiri pula. Pusinglah mengikut arah mana pun, pastinya kita tidak akan dapat menyamakan kedua-dua belah tangan.

Menariknya konsep yang sama juga telah di temui dalam kajian struktur bahan kimia organik. Terdapat pelbagai bahan yang telah dikenalpasti mempunyai bahan cerminannya terutamanya yang digunakan dalam industri perubatan.

Semasa pembelajaran kimia peringkat menengah, tentunya istilah isomer ‘cis’ dan ‘trans’ biasa di temui. Ianya merujuk kepada dua bahan kimia organik alkena yang mempunyai bilangan atom dan formula molekul yang sama, tetapi hanya di bezakan secara susunan geometri pada ikatan ganda dua. Secara penerangan mudah, atom atau kumpulan berfungsi yang sama boleh berikat pada dua karbon C=C pada sisi yang sama ‘cis’ ataupun secara berlawanan ‘trans’.

Lanjutan daripada isomer geometri, pembelajaran seterusnya akan menemukan kita dengan istilah isomer optik. Dua bahan kimia organik yang mempunyai imej cermin di antara satu sama lain seperti yang di bincangkan adalah dikelaskan sebagai isomer optik. Secara khususnya, isomer optik tersebut di rujuk dengan nama enantiomer.

Kisah klasik penggunaan ubat bernama ‘Thalidomide’ pastinya menjadi rujukan jika dibincangkan kepentingan untuk mengenali bahan isomer optik. Kes yang berlaku di Jerman tersebut adalah melibatkan ibu mengandung yang kemudiannya melahirkan anak yang cacat. Apabila pemeriksaan di buat, ibu-ibu tersebut telah mengambil ubat ‘Thalidomide’ bagi tujuan mengurangkan ‘morning sickness’.

Namun begitu, kajian saintifik lanjutan yang dilakukan mendapati ‘Thalidomide’ sebenarnya mempunyai dua enantiomer berbeza. Satu daripadanya sangat berkesan untuk mengurangkan ‘morning sickness’. Adalah cukup memeranjatkan pula apabila di dapati satu lagi enantiomer cerminannya boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi!

Dalam industri perubatan, adakalanya campuran kedua-dua enantiomer berupaya meningkatkan impak dan hasil positif kepada kesihatan. Dalam kes ‘Thalodimide’, perkara sebaliknya telah berlaku.

Pembelajaran kimia organik dalam topik stereoisomer pastinya memberikan pengetahuan berguna dan pengalaman yang cukup bererti untuk aplikasi dalam pelbagai bidang.

Satu lagi persoalan lain yang biasa menarik perhatian adalah ‘Apakah beza di antara oren dan lemon?’ Jawapan secara kimianya ada pada perbincangan ini! 😁

🍊🍋 Jangkaan anda betul. Semuanya kerana isomer optik.

Rasa oren dan lemon adalah di sebabkan kehadiran bahan kimia yang sama bernama limonena. Apakah yang menyebabkan keduanya mempunyai rasa yang berbeza? Limonena tersebut mempunyai dua enantiomer di mana satu daripadanya memberikan rasa oren 🍊. Enantiomer cermin nya pula memberikan rasa lemon 🍋. Hebat bukan?

Sistem metabolisme semulajadi manusia juga mempunyai enzim yang hanya berikat kepada salah satu enantiomer asid amino untuk membentuk protein dalam badan. Begitu juga dengan gula, enzim semulajadi hanya berikat dengan satu enantiomer gula untuk membentuk sistem karbohidrat dalam badan.

Jika kita dapat menghasilkan gula yang tidak di serap oleh metabolisme badan, ianya cukup mengujakan bagi para pendiet! Manis masih terasa dan tetap ada!

Konsep ini telah melahirkan kajian untuk menghasilkan pengganti gula yang bernama ‘Aspartam’. Salah satu enantiomer Aspartam adalah dalam bentuk yang tidak dapat di serap oleh badan, tapi masih dapat memberikan rasa manis 😋. Berita yang terbaik. Namun, sila berhati-hati. Enantiomer cerminannya akan memberikan rasa pahit pula 😖

Sama, tapi tidak serupa!