Pangkah-pangkah dapat.
Campur-campur pun dapat.
Yang ni canggih sikit.
Calit-calit dapat warna kekal.

Malaysia adalah di antara beberapa negara yang menggunakan dakwat kekal semasa pilihanraya. Sistem pengecaman pengundian tersebut telah diperkenalkan buat pertama kalinya pada PRU ke 13, walaupun cadangan asalnya dikemukakan pada PRU ke 12.

Secara sainsnya, bagaimanakah dakwat kekal berfungsi?

Umum mengetahui tindakbalas kimia boleh berlaku apabila dua larutan bahan kimia yang saling reaktif bertindak balas.

Namun begitu, tindak balas kimia juga boleh berlaku secara semula jadi. Alasannya cukup mudah, kerana wujudnya pelbagai bahan kimia aktif yang hadir secara semulajadi termasuklah pada kita; manusia.

Contoh klasik yang dipelajari di sekolah adalah melibatkan sistem penghadaman manusia. Bermula daripada peranan enzim amilase dalam air liur yang menukarkan kanji kompleks dalam makanan kepada karbohidrat ringkas; sehinggalah kepada sistem pencernaan di dalam perut.

Dalam konteks pilihanraya, penggunaan dakwat kekal meng’eksploitasi’kan kehadiran salah satu daripada bahan kimia yang terdapat pada jari kita; iaitu Sodium Klorida (NaCl). Betul, ia merupakan bahan yang kita biasa panggil sebagai garam.

Konsep asas penggunaan dakwat kekal adalah bahan kimia yang dihasilkan harus memberikan ‘stain’ warna kekal pada jangka masa tertentu. Antara bahan kimia yang biasa digunakan dalam proses ‘staining’ ialah Perak (nama lain bagi Argentum atau Silver yang mempunyai simbol kimia Ag).

Akan tetapi, tidaklah jari kita dicalit terus dengan larutan Ag! Dua amalan penting yang biasa diambil kira dalam penggunaan sebarang bahan kimia pada skala besaran adalah kesan terhadap kesihatan serta alam dan kos yang terlibat.

Di sinilah ilmu sains kimia berperanan penting, walaupun sistem dakwat kekal hanya mengaplikasikan tindak balas kimia yang mudah dan ringkas.

Apa yang terjadi dalam tindakbalas kimia untuk menghasilkan Ag tersebut adalah seperti berikut:

1. Antara sumber Ag (Perak, Silver, Argentum) adalah diperolehi daripada bahan kimia AgCl (Perak Klorida, Silver Chloride, Argentum Chloride).

2. Ini kerana AgCl adalah bahan kimia fotosensitif yang boleh terurai kepada Ag apabila didedahkan kepada cahaya persekitaran. Cukup berguna dalam aplikasi dakwat kekal di jari.

3. Jadi, bagaimana AgCl dihasilkan? Antara campuran kimia yang dapat menghasilkan AgCl ialah apabila Sodium Klorida (NaCl) bertindakbalas dengan Perak Nitrat (Silver Nitrate, AgNO3).

4. Dengan itu, AgCl boleh terbentuk apabila jari kita (yang mempunyai NaCl) dicalitkan dengan larutan AgNO3.

5. Kemudian, pendedahan jari kita kepada cahaya sekeliling membolehkan AgCl terurai kepada bahan ‘staining’ Ag.

Calit-calit, kekal warnanya buat sekian lama; bergantung kepada peratusan AgNO3 yang digunakan.

Pangkah-pangkah, kekal lah calonnya selama 5 tahun