Mutakhir ini, ada pelbagai isu yang kekal menggugah nurani terutamanya dalam kerangka pembangunan dan penyatuan negara bangsa. Jauh dari politik, laluan melalui medium norma yang biasa di bincangkan seperti pendidikan, sukan mahupun terkini perfileman masih juga tidak terungkai daripada selingan sensitiviti termasuk kontroversi. Persoalan yang dekat dengan saya, bagaimana sains mampu memberikan suluhan dalam konteks tujuan pengukuhan yang sama?
Dalam keaktifan berinteraksi dalam beberapa persatuan saintifik di peringkat negara, saya melihat begitu banyak ruang yang sedang dan harus diterokai dalam mencapai kecemerlangan bersama dan saksama. Namun begitu buat masa ini, kepercayaan yang ada ialah inisiatif sebegini masih lagi bersyaratkan tujahan utama yang perlu dikedepankan oleh generasi baru diluar kelompongan lama.
Sehubungan itu, inovasi idea dan rekayasa sains baru bertemakan ‘sains untuk budaya bangsa’ (atau yang seumpamanya) perlu terus di angkat-bincangkan. Kesegarannya harus di lanjutkan untuk kedalaman perhatian dan pengkhususan kajian seterusnya.
Pada akhirnya, bukankah sains sememangnya bertujuan untuk kesejahteraan dan kemakmuran merentasi hidup yang tidakpun mengenal siapakah kita?