Imej cermin 1702/2017

Kimia yang sama, tapi tak serupa.

Tangan kanan adalah cerminan kepada tangan kiri. Maksudnya jika di letakkan secara bertentangan-ibu jari kanan akan bertemu ibu jari kiri, telunjuk kanan akan bertemu telunjuk kiri dan seterusnya. Sama bukan? Seakan dihadapkan tangan kepada satah cermin.

Namun begitu, tangan kanan dan tangan kiri adalah tidak serupa. Jika diletakkan tangan kanan di atas tangan kiri pada arah yang sama, tentunya jari yang sama tidak akan bertemu. Misalnya ibu jari tangan kanan akan bertemu jari kelingking tangan kiri pula. Pusinglah mengikut arah mana pun, pastinya kita tidak akan dapat menyamakan kedua-dua belah tangan.

Menariknya konsep yang sama juga telah di temui dalam kajian struktur bahan kimia organik. Terdapat pelbagai bahan yang telah dikenalpasti mempunyai bahan cerminannya terutamanya yang digunakan dalam industri perubatan.

Semasa pembelajaran kimia peringkat menengah, tentunya istilah isomer ‘cis’ dan ‘trans’ biasa di temui. Ianya merujuk kepada dua bahan kimia organik alkena yang mempunyai bilangan atom dan formula molekul yang sama, tetapi hanya di bezakan secara susunan geometri pada ikatan ganda dua. Secara penerangan mudah, atom atau kumpulan berfungsi yang sama boleh berikat pada dua karbon C=C pada sisi yang sama ‘cis’ ataupun secara berlawanan ‘trans’.

Lanjutan daripada isomer geometri, pembelajaran seterusnya akan menemukan kita dengan istilah isomer optik. Dua bahan kimia organik yang mempunyai imej cermin di antara satu sama lain seperti yang di bincangkan adalah dikelaskan sebagai isomer optik. Secara khususnya, isomer optik tersebut di rujuk dengan nama enantiomer.

Kisah klasik penggunaan ubat bernama ‘Thalidomide’ pastinya menjadi rujukan jika dibincangkan kepentingan untuk mengenali bahan isomer optik. Kes yang berlaku di Jerman tersebut adalah melibatkan ibu mengandung yang kemudiannya melahirkan anak yang cacat. Apabila pemeriksaan di buat, ibu-ibu tersebut telah mengambil ubat ‘Thalidomide’ bagi tujuan mengurangkan ‘morning sickness’.

Namun begitu, kajian saintifik lanjutan yang dilakukan mendapati ‘Thalidomide’ sebenarnya mempunyai dua enantiomer berbeza. Satu daripadanya sangat berkesan untuk mengurangkan ‘morning sickness’. Adalah cukup memeranjatkan pula apabila di dapati satu lagi enantiomer cerminannya boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi!

Dalam industri perubatan, adakalanya campuran kedua-dua enantiomer berupaya meningkatkan impak dan hasil positif kepada kesihatan. Dalam kes ‘Thalodimide’, perkara sebaliknya telah berlaku.

Pembelajaran kimia organik dalam topik stereoisomer pastinya memberikan pengetahuan berguna dan pengalaman yang cukup bererti untuk aplikasi dalam pelbagai bidang.

Satu lagi persoalan lain yang biasa menarik perhatian adalah ‘Apakah beza di antara oren dan lemon?’ Jawapan secara kimianya ada pada perbincangan ini! 😁

#PalindromeDate
#Stereoisomer
#SeronoknyaKimiaOrganik