DEBAT SAINS UNTUK CALON PRESIDEN
Masyarakat dunia kini meneliti dengan penuh minat urusan pentadbiran Amerika Syarikat pasca kemenangan Barack Obama. Setiap aturan pengurusan dan pembentukan polisi negara kuasa dunia tersebut akan di analisa dan dibandingkan dengan janji manifesto sewaktu perlaksanaan kempen dijalankan. Buat kali pertamanya dalam sejarah pemilihan presiden USA, debat sains telah dilaksanakan di antara Barack Obama dan John McCain meliputi isu-isu berkaitan alam sekitar, kesihatan dan perubatan serta polisi sains dan teknologi.
Debat berkenaan telah memberikan peluang untuk calon presiden membentangkan dasar dan polisi masing-masing sebelum proses pemilihan presiden di lakukan. Usaha awal program debat tersebut di gerakkan oleh orang perseorangan yang kemudiannya telah disokong oleh seluruh masyarakat dan organisasi saintifik USA. Ianya telah menjadi usaha politik yang terbesar dalam sejarah sains USA. Walaupun cadangan asal siaran langsung debat tidak dipersetujui, calon-calon presiden telah dikemukakan 14 soalan berkaitan untuk di jawab secara bertulis. Soalan-soalan tersebut meliputi:
1- Pembentukan negara berinovasi
2- Perubahan cuaca global
3- Keperluan tenaga negara yang ekonomik dan berpanjangan
4- Pendidikan sains dan teknologi
5- Sumbangan sains dan teknologi dalam keselamatan negara
6- Masalah pandemik global dan keselamatan biologi
7- Keseimbangan kajian genetik
8- Kajian sel stem
9- Perlindungan laut
10- Sumber air
11- Kepentingan sains angkasa
12- Integriti dalam sains
13- Belanjawan penyelidikan
14- Polisi kesihatan dan kualiti hidup
Semua persoalan ini menunjukkan tautan kuat antara kepimpinan dengan halatuju sains dan teknologi dalam memastikan sesebuah negara terus berdaya saing dan kualiti kehidupan masyarakat berjaya ditingkatkan. Mana-mana strategi dalam pembentukan polisi sains, teknologi dan inovasi perlu mengambil kira aspirasi dan visi negara serta berupaya menghadapi cabaran pelbagai. Ianya memerlukan keseriusan pihak pentadbiran negara dan penglibatan semua pihak yang berkepentingan sama ada daripada organisasi rasmi kerajaan, badan bukan kerajaan sehinggalah masyarakat umum keseluruhannya.
Sebagai contohnya, pemerhatian utama terhadap usaha peningkatan penyertaan dalam bidang sains terutamanya oleh generasi muda perlu ditekuni menerusi kajian-kajian sistem pendidikan sains di semua peringkat pembelajaran. Ini bagi memastikan faktor sumber manusia dalam bidang sains tidak menjadi kritikal pada masa hadapan dan proses penyediaan dan pengukuhan asas pembelajaran sains akan tercapai. Sistem pendidikan terlibat perlu menekankan pendedahan kepada pengetahuan terbaru dan keperluan memiliki kemahiran terkini bagi memastikan daya saing pelajar dapat dipertingkatkan. Akta dan polisi pendidikan dalam sains dan teknologi perlu digubal selaras dengan kehendak semasa terutamanya dalam peningkatan koordinasi pendidikan peringkat persekutuan dan negeri dan keberkesanan perkongsian sumber dan amalan pendidikan di setiap peringkat. Malah kebolehcapaian sumber tenaga pengajar perlu dikenalpasti bagi memastikan pelajar berupaya menjalani proses pembelajaran yang berkualiti. Penilaian berterusan perlu dilakukan terhadap sesuatu polisi yang baru dibentuk dan pada masa yang sama, polisi-polisi lama yang tidak berfungsi perlu disesuaikan kembali.
Barack Obama telah memenangi kerusi presiden dan segenap aspek pentadbiran dan pembentukan polisi negara USA akan terus mendapat perhatian. Dalam bidang penasihatan sains dan teknologi, Barack Obama telah melantik pakar-pakar terlatih yang mempunyai pengalaman yang meluas dalam pelbagai aspek. Malah, penjelasan bertulis daripada Barack Obama melibatkan 14 soalan tersebut telah mula di gunapakai untuk rujukan dalam asas pembentukan polisi sains USA.
Catatan Tambahan: POTUS Barack Obama telah berada pada penggal terakhir pemerintahan. Apakah sumbangan teras beliau kepada pembangunan S&T USA telah dirasai?