Prof Richard Ernst merupakan Nobel Laureate pertama yang saya pernah bertemu secara dekat. Ia berlaku sewaktu beliau melakukan kunjungan hormat ke Institut Penyelidikan Sains Fundamental Ibnu Sina UTM pada tahun 2004. Antara 2 intipati yang masih terkesan daripada syarahan Prof Ernst adalah beliau sesekali tidak pernah meletakkan anugerah Nobel sebagai matlamat akhir kejayaan daripada mana-mana hasil penyelidikan. Menurut beliau, sebarang anugerah dan pengiktirafan akan datang selepas yang pertamanya meletakkan usaha yang berdedikasi dengan sepenuh minat dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Keduanya, Prof Ernst dengan merendah diri menyatakan penyelidikan beliau merupakan kesinambungan daripada penyelidikan saintis ulung lain sebelumnya di mana anugerah tersebut di terima kerana beliau berada pada masa yang tepat dan tempat yang betul.

Prof Ernst merupakan perintis dalam penerokaan kajian asas instrumentasi saintifik Spektroskopi Resonans Magnetik Nuklear yang beresolusi tinggi. Instrumen tersebut pada awalnya digunakan dalam pengenalpastian dan pencirian struktur bahan kimia organik dalam bentuk 1D. Perkembangan kajian seterusnya melibatkan analisa 2D serta 3D membolehkan pengenalpastian bahan yang lebih kompleks dapat dilakukan. Seterusnya dapat diterjemahkan dalam bentuk pengimejan, misalnya untuk tujuan aplikasi perubatan.

Pada tahun yang sama juga, Nobel Laureate Prof Carl Wiemen juga telah menjadi tetamu kehormat UTM. Beliau juga telah dijemput bagi menyampaikan syarahan semasa persidangan sains fundamental UTM.

Setakat ini, saya juga berkesempatan untuk bertemu dengan Nobel Laureate Prof Robert Grubbs semasa saya menghadiri persidangan seminar kimia antarabangsa Eropah, Nobel Laureate Sir Richard Roberts yang menjadi fasilitator bengkel minda Nobel Malaysia dan Nobel Laureate Prof Yuan Tseh Lee semasa kunjungan beliau ke Akademi Sains Malaysia. Semuanya telah memberikan inspirasi yang mempunyai makna dan nilai tersendiri untuk mencapai kecemerlangan serta keunggulan.

Pada September 2016, Nobel Laureate Prof Akira Suzuki pula  menjadi tetamu UTM bagi menghadiri persidangan antarabangsa katalisis, menyampaikan syarahan umum dan menjadi mentor pelajar untuk inovasi sains.

akira-suzuki-nobel-laureate-chem