1. Yang pastinya pemahaman dan keyakinan masyarakat terhadap vaksinasi dapat dipertingkatkan apabila maklumat diberikan oleh saintis, pakar perubatan serta pakar penyelidik.

2. Apa yang penting adalah mereka perlu menyampaikan maklumat saintifik berkenaan vaksinasi dalam bentuk komunikasi awam dengan laras kefahaman masyarakat yang pelbagai.

3. Antara kandungan utama penyampaian adalah dengan memberikan penerangan secara terperinci dan jelas berkenaan proses penghasilan vaksin COVID-19 daripada peringkat kajian, penilaian, fasa klinikal sehingga diberikan kepada masyarakat.

4. Umum mengetahui vaksin COVID-19 dihasilkan dalam masa yang lebih singkat berbanding rekod penghasilan vaksin lain sebelumnya.

5. Mengikut penjelasan daripada pihak Young Scientists Network-Akademi Sains Malaysia, kejayaan ini adalah berikutan fokus sedunia yang sepenuhnya terhadap sumber bakat, kemudahan dan kewangan dalam menghasilkan vaksin COVID-19.

6. Malah, satu ketetapan juga telah dipersetujui bagi memberikan keutamaan terhadap pelaksanaan proses percubaan dan kelulusan vaksin secara klinikal.

7. Tentunya pelaburan dalam bidang sains selama ini beserta kesediaan teknologi termaju berjaya merangsang kemajuan pembangunan vaksin terkini.

8. Tidak dilupakan juga pada peringkat awal, maklumat jujukan genetik COVID-19 telah dikongsi secara terbuka ke seluruh dunia.