MEDIA DAN INFOSAINS
Pada minggu lepas, saya berkesempatan di temubual oleh wartawan sebuah akhbar berkenaan program saintis cemerlang tajaan universiti tempatan. Program tersebut telah diperkenalkan di peringkat pembelajaran siswazah bagi merintis jalan ke arah melahirkan calon nobel laureate sains negara. Apa yang menarik perhatian di sebalik temuramah tersebut ialah kebolehupayaan media untuk berfungsi bagi promosi sebarang bentuk program dan maklumat berkaitan sains bertujuan sebarluas ilmu kepada semua lapisan masyarakat, daripada pembuat polisi sehinggalah masyarakat umum.
Kita sedia maklum pembangunan sesebuah masyarakat banyak dicandui oleh kandungan serta acuan daripada pengaruh media. Malah, kebolehcapaian akses masyarakat kepada media yang semakin meningkat telah menjadikan media mula berperanan sebagai agen pembentukan pola pemikiran masyarakat. Dengan itu, bahan perbincangan media yang picisan dan remeh akan mengarahkan masyarakat kepada penyempitan laluan perkembangan ilmu. Sebaliknya, pengapungan maklumat yang bermanfaat akan memberi impak dalam penyuburan dan peningkatan ilmu sesebuah bangsa. Walhasilnya, apabila media memahami peranan yang boleh dijalankan, penumpuan perbincangan masyarakat boleh diarahkan kepada perkara berkepentingan yang mempunyai nilai yang tinggi termasuklah menyumbang kepada proses pembudayaan bidang sains ke dalam masyarakat.
Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh MOSTI melalui sisipan maklumat khas sains estidotmy di akhbar tempatan wajar di puji, malah beberapa media elektronik dilihat menyelitkan perkembangan sains teknologi dalam slot rancangan berita utama bagi membantu usaha promosi sains. Langkah sedemikian kebanyakannya dilakukan melalui tajaan syarikat dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang sains, namun usaha promosi daripada pihak media sendiri perlu lebih digiatkan. Pihak media perlu proaktif dalam mencari dan menggeledah maklumat sains, malah kewujudan editorial bahagian sains seperti bahagian-bahagian utama lain sangat di alu-alukan. Melihat dari sudut komersil, pihak terbabit terutamanya kerajaan perlu meyakinkan pihak media akan kepentingan perkongsian maklumat dan pendedahan sains teknologi dalam pembangunan kompetitif negara. Akan tetapi ketanggungjawaban sosial oleh pihak media dalam kemajuan pembangunan negara seharusnya juga diberikan perhatian.
Begitu juga, pihak media rasmi tempatan yang kebiasaannya mempunyai jalinan rasmi dengan rangkaian media dan sumber berita antarabangsa seharusnya membuka hala baru dengan berperanan dalam penyaluran maklumat terkini penemuan dan perkembangan terbaru sains dan teknologi kepada pembuat polisi negara. Usahasama antara kementerian terbabit perlu diperkemaskan bagi memastikan maklumat semasa dan terkini dapat diikuti dan seterusnya menampung kekurangan penyaluran maklumat oleh saintis-saintis tempatan kepada pembuat dasar negara. Selain itu, kejayaan dan pengiktirafan yang diperolehi oleh saintis tempatan harus di hebahkan dan dikongsi dengan seluruh masyarakat. Usaha sebegini adalah penting sebagai modal perangsang untuk pembentukan perintis saintis di usia awal, malah ia mampu menjadikan bidang sains mula dihargai oleh semua pihak.
Program saintis cemerlang yang saya ikuti tersebut kini telah diperluaskan lagi untuk penerapan budaya cemerlang sains di peringkat yang lebih awal. Pelbagai program telah diatur sepanjang tahun melalui modul pembinaan dan pendidikan saintis di sekolah-sekolah terpilih. Satu cabang daripada proses pendidikan ialah melalui media yang bakal menjadi wahana industri pendidikan mendatang, dan seharusnya bidang sains tidak dikesampingkan lagi dalam arus sebaran maklumat perdana.