Selain Sarawak, dua negeri ini harus diberikan pujian awal dengan Johor masih terkeluar daripada carta unggul.

Dalam pengetahuan melalui penglibatan dalam pelbagai organisasi, ada tiga negeri yang berhak mendapat pujian dalam memacu agenda pendidikan sains.

Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sememangnya tidak dapat di sangkal. Ratusan ribuan telah dilaburkan pada setiap tahun bagi memastikan kecemerlangan pendidikan sains negeri terus berkekalan. Terengganu juga merupakan negeri terawal mempunyai pusat sains dan planetarium negeri yang khusus sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Manakala, pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui unit khas kluster sains berjaya melestarikan agenda kecemerlangan pendidikan sains negeri. Antara tandanya boleh dilihat ketika mana penganjuran Penang International Science Festival PISF yang setaraf dengan program KLESF anjuran kerajaan pusat. Pulau Pinang juga telah mendirikan mercu tanda pusat pendidikan sains baharu yang di namakan Tech Dome Penang.

Makluman baharu yang diterima pula mengesahkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan jutaan ringgit terutamanya melalui UNIMAS bagi mengangkat nilai pendidikan sains untuk warga Sarawak. Tentunya dalam selang masa beberapa tahun akan datang, kita akan melihat pendidikan sains di Sarawak akan mula mencatatkan hasil yang memberangsangkan.

Bagaimana pula dengan #Johor?

9 tahun lepas sekembali daripada pengajian, saya mula bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti jangkau luar sains UTM di Johor. Kami juga tidak ketinggalan untuk menyertai program Kerajaan Negeri iaitu Minggu Sains, Teknologi dan ICT MISTI yang di anjurkan secara tahunan bermula pada tahun 2010. Selama beberapa tahun, program MISTI diletakkan di bawah seliaan unit khas Sains, Teknologi dan ICT negeri.

Namun begitu, inisiatif sains kerajaan Johor yang khusus tersendiri mulai hilang daripada pandangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apatah lagi program MISTI telah mula dijumudkan. Selepas PRU yang lalu, tiada lagi penjawatan Exco diwujudkan bagi menjaga portfolio yang berkenaan sebagaimana amalan sebelumnya. Saya menjangkakan, ianya telah diserap di bawah Exco berkaitan pendidikan. Memang benar, dokongan terhadap aktiviti sains termasuklah pendidikan di peringkat negeri masih ada. Namun, inisiatif melibatkan sains ditanggap tidak lagi disepadukan dan banyak di laksanakan secara runcitan.

Apakah langkah ke hadapan yang harus di laksanakan oleh kerajaan negeri bagi mencapai aspirasi #JohorBerkemajuan melalui STI?

Bagaimanakah kewujudan Wilayah Pembangunan Iskandar harus dileverejkan bagi merancakkan aktiviti pendidikan dan pembangunan STI negeri?

#Muafakat yang bagaimana harus di berikan keutamaan bagi mengintegrasikan pecahan-pecahan inisiatif STI negeri sedia ada?

Siapakah yang perlu mengetuai #teamJohor bagi merangsang kembali inisiatif STI negeri terutamanya dalam konteks mendayakan agenda pendidikan sains?

Persoalan ini diletakkan kembali kepada warga Johor bagi diberikan fikiran bersama.