1. Impak pandemik COVID-19 yang melata kepada segenap ruang kehidupan individu, masyarakat dan negara memerlukan penyelesaian bersama. Sekali lagi, kita memerlukan tindakan bersinergi semua pihak bagi menjayakan pelan imunisasi melalui program vaksinasi.

2. Mengikut rekod, kita telah berjaya mengawal pelbagai penyakit cegahan vaksin seperti polio, batuk kering, hepatitis B dan campak. Kini, sejarah kesihatan awam mencatatkan pelaksanaan satu lagi pelan imunisasi kebangsaan sebagai satu ikhtiar bersama membendung penularan COVID-19.

3. Harus difahami, vaksin tidak akan memberikan penyelesaian keseluruhan secara drastik. Program vaksinasi membolehkan kita berupaya mencapai imuniti berkelompok dengan kaedah yang dapat mengurangkan risiko jangkitan dan kematian.

4. Kesannya, penularan berskala besar dapat dikawal dan sistem kesihatan negara dipastikan terus mampan berikutan kita dapat mengelakkan lonjakan kes jangkitan yang mendadak. Sasaran imuniti berkelompok tersebut turut membolehkan sebahagian besar daripada masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan penyakit.

5. Dengan itu, keseluruhan masyarakat mempunyai kebarangkalian yang rendah bagi mendapat jangkitan yang sama. Akhirnya melalui inisiatif ‘lindungi diri, lindungi semua’ ini, rantaian penularan COVID-19 di seluruh negara dapat diputuskan.

6. Mengikut jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, sekurang-kurangnya tempoh masa setahun selepas bermulanya vaksinasi diperlukan bagi mencapai tahap imuniti berkelompok. Justeru, perancangan dan penilaian bersistematik diperlukan sebelum, semasa dan selepas program vaksinasi dilaksanakan.

7. Antara inisiatif yang perlu dipergiatkan sepanjang program vaksinasi tersebut adalah memberikan pengetahuan dan kefahaman secara berterusan kepada masyarakat. Pengukuhan literasi vaksin ini bermula daripada tanggungjawab pihak kerajaan selaku pemutus kepada setiap pelan dan tindakan vaksinasi.

8. Pastinya amalan kerajaan yang berpaksikan ketelusan dan kebenaran dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk menggembelingkan usaha bersama. Justeru, penemuan sains dan penjelasan melalui pembuktian data wajib menjadi petunjuk kepada setiap tindakan.

9. Pada peringkat awal, perhatian terhadap kaedah perolehan vaksin dan jangka masa penerimaan vaksin telah dibangkitkan. Mengikut laporan, terdapat beberapa perihal berkaitan isi perjanjian yang tidak dapat dikongsikan dengan masyarakat umum. Walaubagaimanapun, tindakan memberikan penjelasan terhadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara harus dipuji bagi memastikan kepentingan masyarakat tetap terjaga.

10. Keberadaan sistem semak dan imbang seumpama ini terutamanya di peringkat PARLIMEN adalah penting bagi memastikan ketelusan dan memberikan keyakinan kepada umum. Apatah lagi, program vaksinasi ini memerlukan kerjasama antarabangsa yang banyak terdedah kepada kepentingan pelbagai pihak serta memerlukan input yang bersepadu. Hal ini berikutan kita masih kekurangan infrastruktur dan teknologi bagi menghasilkan vaksin secara sendiri.