Category Archives: Snap
Snap : Suasana Kampung
Snap : Suasana Ladang
Snap : Program Kenali Diri & Career Outreach
Snap : Musim Buah di Kampung
Snap : Memperingati Tragedi MH17
Bertempat di Mid Valley, sebuah booth dibuka bersempena dengan peristiwa bersejarah yang telah berlaku di negara kita iaitu tragedi MH17.
Kronologi tragedi adalah seperti berikut berdasarkan sumber dari Berita Harian.
Julai 2014
17 Julai (Khamis)
Pesawat MH17 terhempas kira-kira pukul 10.15 malam waktu Malaysia di Donetsk, timur Ukraine. Tragedi itu berlaku kira-kira empat bulan selepas kehilangan pesawat MH370. Pesawat Boeing 777-200 dengan 298 penumpang dan anak kapal dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara (SAM) ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
18 Julai (Jumaat)
Najib mengadakan sidang akhbar pukul 4.30 pagi di Hotel Sama-Sama KLIA memaklumkan tindakan kerajaan ekoran nahas itu. Kerajaan Ukraine dan pemisah pro-Rusia masing-masing menafikan menembak pesawat berkenaan. MAS mengesahkan menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa hubungan komunikasi dengan pesawat MH17 terputus pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia.
19 Julai (Sabtu)
Najib umumkan sidang tergempar Parlimen akan diadakan. Obama menyatakan bukti yang diperoleh pihaknya menunjukkan pesawat itu ditembak jatuh menggunakan SAM dari kawasan yang dikawal oleh pemisah yang disokong Rusia. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengetuai delegasi ke Ukraine bagi membuka laluan selamat untuk kemasukan pasukan penyiasat dari Malaysia. Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terhadap mangsa tragedi.
20 Julai (Ahad)
Agensi berita AFP melaporkan mayat-mayat yang dikumpul di tapak pesawat terhempas telah dialihkan ke tempat lain. Pemisah pro-Rusia mendakwa mereka telah menjumpai alatan yang menyerupai kotak hitam.
21 Julai (Isnin)
Najib mendapat persetujuan daripada pemisah pro-Rusia diketuai Alexander Borodai untuk menyerahkan dua kotak hitam dari MH17. Persetujuan itu juga melibatkan penghantaran jasad mangsa dengan kereta api dari bandar Torez yang dikawal pemberontak ke bandar Kharkiv dikawal tentera Ukraine. Anggota penyelamat menemui 251 mayat dan 86 cebisan mayat manusia yang terus disimpan dalam gerabak kereta api yang mempunyai sistem penyejuk. Ahli forensik dari Belanda membuat pemeriksaan ke atas mayat.
22 Julai (Selasa)
Dua kotak hitam diserahkan kepada pegawai-pegawai Malaysia. Pemimpin seluruh dunia memuji tindakan bijak Najib yang mendapat persetujuan dengan pemisah pro-Rusia. Kereta api yang membawa jasad mangsa tiba di Kharkiv, Ukraine. Tiga pakar penerbangan dari Malaysia berjaya masuk ke tapak nahas.
23 Julai (Rabu)
Dewan Rakyat mengadakan sidang khas. Najib membentang usul mendesak badan bebas antarabangsa mengadakan penyiasatan menyeluruh berhubung nahas berkenaan. Kumpulan pertama 40 keranda yang membawa mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda.
24 Julai (Khamis)
Najib mengumumkan jasad mangsa tidak mungkin dapat dibawa pulang sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kementerian Kesihatan telah mendapatkan 50 sampel DNA daripada waris mangsa bagi memudahkan proses mengenal pasti identiti mayat. Di The Hague, pasukan penyiasat Belanda mengumumkan telah memuat turun data dari kotak hitam dan mengesahkan ia berada dalam keadaan baik tanpa dicemari atau dirosakkan.
25 Julai (Jumaat)
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembatalan semua rumah terbuka Jemaah Menteri merupakan satu mesej penting kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan sama-sama berkongsi kesedihan keluarga mangsa.
26 Julai (Sabtu)
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah melawat waris mangsa di Hotel Putrajaya Marriott. Seramai 65 ahli pasukan mencari dari Malaysia kembali di Kuala Lumpur setelah seminggu berada di Ukraine.
27 Julai (Ahad)
Pasukan penyiasat antarabangsa tidak dapat masuk ke kawasan nahas kerana berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia. Di The Hague, pakar forensik mengenal pasti mangsa pertama yang merupakan rakyat Belanda.
28 Julai (Isnin)
Kerajaan Belanda membatalkan penghantaran pasukan bersenjata antarabangsa bagi mengawal kawasan nahas kerana bimbang akan diheret untuk terlibat sama dalam konflik dalaman Ukraine. Tentera Ukraine berjaya menguasai beberapa bahagian kawasan nahas.
29 Julai (Selasa)
Polis Belanda menerima 150 gambar dan video yang dimuat naik oleh saksi bagi membolehkan siasatan punca nahas dibuat.
30 Julai (Rabu)
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mewujudkan satu pasukan petugas khas yang bertanggungjawab mengesyorkan langkah-langkah bagi mempertingkatkan tahap keselamatan penerbangan.
31 Julai (Khamis)
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat kem tentera di Hilversum, Belanda tempat identiti mayat mangsa sedang dikenal pasti. Perdana Menteri mengumumkan akan diadakan Hari Perkabungan Negara ketika kumpulan pertama mayat dan jenazah tiba di Malaysia.
Ogos 2014
1 Ogos (Jumaat)
Sebanyak 70 polis dari Belanda dan Australia berjaya masuk ke kawasan nahas untuk menjalankan proses pencarian dan menyiasat walaupun berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia yang menyebabkan 14 orang terbunuh.
2 Ogos (Sabtu)
Seorang ahli kongres AS memuji Najib kerana berjaya berunding dengan pemisah pro-Rusia bagi membolehkan jasad mangsa dibawa keluar dari kawasan nahas.
3 Ogos (Ahad)
Penyiasat yang masuk ke tapak nahas menemui lebih banyak cebisan jasad manusia dan barangan milik mangsa.
4 Ogos (Isnin)
Anggota Pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiba di Donestk.
5 Ogos (Selasa)
Sebanyak 21 anggota pasukan penyiasat dari Malaysia menjalankan pemeriksaan di kawasan ladang gandum di Torez bagi mencari cebisan mayat dan serpihan pesawat.
6 Ogos (Rabu)
Ukraine menafikan pesawat tentera udaranya berada berhampiran MH17 ketika pesawat itu ditembak jatuh.
7 Ogos (Khamis)
Seorang penganalisis AS mendakwa MH17 ditembak jatuh oleh jet pejuang menggunakan peluru berpandu udara ke udara dan bukannya SAM. Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata, operasi pencarian cebisan mayat kemalangan MH17 membabitkan pasukan dari Belanda, Malaysia dan Australia digantung.
8 Ogos (Jumaat)
MAS sudah menerima notis mengenai cadangan Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih pemilikan penuh serta menyahsenarai syarikat penerbangan itu dari Bursa Malaysia.
9 Ogos (Sabtu)
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pesawat pejuang. Hasil risikan dan bukti dikumpulkan daripada penemuan serpihan pesawat malang itu jelas menunjukkan ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat ke udara.
10 Ogos (Ahad)
Ketua perkhidmatan perisikan Ukraine, SBU, Valentyn Nalyvaichenko mendakwa pemberontak yang menembak jatuh pesawat MH17, sepatutnya menyasarkan sebuah pesawat penerbangan Rusia bagi memberi alasan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menjajah negara itu.
11 Ogos (Isnin)
Najib menyatakan penghargaan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang telah memainkan peranan dalam proses siasatan nahas pesawat MH17.
12 Ogos (Selasa)
Kumpulan terakhir petugas khas PDRM diketuai Ketua Polis Negara selamat tiba di KLIA pada 6.35 pagi.
13 Ogos (Rabu)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, enam daripada 16 mangsa rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti disahkan sebagai beragama Islam, manakala 10 lagi bukan Islam. Seramai 90 pegawai bukan tentera dari Malaysia dibenarkan memasuki lokasi nahas untuk mencari cebisan mayat serta melakukan siasatan mengikut Resolusi PBB
14 Ogos (Khamis)
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan 22 Ogos sebagai Hari Perkabungan Negara sebagai penghormatan kepada penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas MH17. Empat wakil agama bukan Islam membabitkan Hindu, Buddha, Tao dan Sikh di hantar ke Belanda bagi membantu pengurusan mayat mangsa mengikut kepercayaan agama masing-masing.
15 Ogos (Jumaat)
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menasihatkan ahli keluarga tidak membuka keranda dan melihat mayat berikutan keadaan jasad sudah terlalu lama dan tidak sempurna. Ketua Polis Negara bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertolak ke Amsterdam, Belanda bagi menguruskan kes siasatan dan perundangan.
16 Ogos (Sabtu)
Turut berada di Belanda ialah empat wakil agama bukan Islam membabitkan Hindu, Buddha, Tao dan Sikh bagi membantu pengurusan mayat mangsa.
17 Ogos (Ahad)
Hishammuddin berkata, baki mayat rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang melalui penghantaran khas kedua akan diberikan penghormatan sama seperti mayat yang dibawa pulang dari Belanda pada Jumaat. Pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia menjadikan setakat ini 26 jasad rakyat negara ini telah disahkan identiti.
18 Ogos (Isnin)
Duta Besar Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohamad Taib memaklumkan 22 jenazah dan mayat mangsa tragedi MH17 termasuk seorang rakyat Belanda akan dihantar pulang dari negara itu pada Khamis dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat. Penghantaran pulang itu merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat.
19 Ogos (Selasa)
Persiapan menguruskan jenazah mangsa tragedi MH17 kini memasuki fasa akhir, kira-kira 60 jam sebelum jenazah itu dihantar pulang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, untuk disempurna dan dilengkapkan sebelum diserah kepada waris keluarga.
20 Ogos (Rabu)
Upacara membakar mayat dan solat jenazah yang akan dibuat ketua agama masing-masing yang telah dilantik diselesaikan. Kerajaan mengesahkan hanya 20 mayat yang akan dibawa pulang ke tanah air pada jumaat.
21 Ogos (Khamis)
Mayat dan jenazah dibawa masuk ke dalam pesawat khas MAS dan disusun dalam kedudukan yang sangat tertib sebelum pesawat berlepas pulang kira-kira pukul 2 petang.
© Utusan Melayu (M) Bhd