Tips : Berinai Kampung

Seperti mana kita tahu, berinai sinonim dengan wanita untuk majlis pertunangan ataupun perkahwinan. Inai yang kita pakai (gambar di atas) adalah dalam masa semalaman sahaja dan amat sesuai untuk mereka yang akan bertunang atau berkahwin kerana hasilnya asli dan tak perlu ragu-ragu.

Kita kan kongsi bagaimana mahu dapatkan hasil yang cantik dan menawan. Tips daripada orang kampung yang mudah sekiranya kita punya pohon inai sendiri. Bahan yang diperlukan hanyalah inai semata-mata.

  1. Pastikan kita memetik daun-daun inai pada ketika kita mahu berinai. Tidak boleh mengambilnya dan dibiarkan lama. Jika kita gagal pada langkah pertama ni, hasilnya kurang menjadi kerana kita memerlukan daun yang betul-betul segar (yang baru dipetik dari pohon).

2. Jangan basahkan daun.

3. Ambil bahagian daun yang matang. Tidak terlalu muda atau terlalu tua.

4. Kumpulkan daun dan kisar. Tidak perlu terlalu hancur.

5. Dan tak perlu tambah apa-apa bahan lain. Tapi kadang-kadang boleh juga masukkan secubit nasi bagi memudahkan inai tadi tertampal elok di kuku kita.

6. Pakai dari malam hingga ke subuh. Biasanya pada malam hari bagi tidak mengganggu kerja harian kita.

7. Akhir sekali, buang dan cuci bersih jari kita.

8. Sekiranya mahu hasil yang lebih, boleh lakukan untuk beberapa malam. Tapi kita cadangkan agar semalaman sahaja.

9. Inai yang telah dikisar atau digunakan pada malamnya tidak boleh digunakan lagi untuk malam-malam seterusnya.

**** Langkah 1-3 sangat penting dan perlu bagi mendapatkan hasil yang memuaskan

Snap : Memperingati Tragedi MH17

Bertempat di Mid Valley, sebuah booth dibuka bersempena dengan peristiwa bersejarah yang telah berlaku di negara kita iaitu tragedi MH17.

Kronologi tragedi adalah seperti berikut berdasarkan sumber dari Berita Harian.

Julai 2014

17 Julai (Khamis)

Pesawat MH17 terhempas kira-kira pukul 10.15 malam waktu Malaysia di Donetsk, timur Ukraine. Tragedi itu berlaku kira-kira empat bulan selepas kehilangan pesawat MH370. Pesawat Boeing 777-200 dengan 298 penumpang dan anak kapal dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara (SAM) ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

18 Julai (Jumaat)

Najib mengadakan sidang akhbar pukul 4.30 pagi di Hotel Sama-Sama KLIA memaklumkan tindakan kerajaan ekoran nahas itu. Kerajaan Ukraine dan pemisah pro-Rusia masing-masing menafikan menembak pesawat berkenaan. MAS mengesahkan menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa hubungan komunikasi dengan pesawat MH17 terputus pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia.

19 Julai (Sabtu)

Najib umumkan sidang tergempar Parlimen akan diadakan. Obama menyatakan bukti yang diperoleh pihaknya menunjukkan pesawat itu ditembak jatuh menggunakan SAM dari kawasan yang dikawal oleh pemisah yang disokong Rusia. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengetuai delegasi ke Ukraine bagi membuka laluan selamat untuk kemasukan pasukan penyiasat dari Malaysia. Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan terhadap mangsa tragedi.

20 Julai (Ahad)

Agensi berita AFP melaporkan mayat-mayat yang dikumpul di tapak pesawat terhempas telah dialihkan ke tempat lain. Pemisah pro-Rusia mendakwa mereka telah menjumpai alatan yang menyerupai kotak hitam.

21 Julai (Isnin)

Najib mendapat persetujuan daripada pemisah pro-Rusia diketuai Alexander Borodai untuk menyerahkan dua kotak hitam dari MH17. Persetujuan itu juga melibatkan penghantaran jasad mangsa dengan kereta api dari bandar Torez yang dikawal pemberontak ke bandar Kharkiv dikawal tentera Ukraine. Anggota penyelamat menemui 251 mayat dan 86 cebisan mayat manusia yang terus disimpan dalam gerabak kereta api yang mempunyai sistem penyejuk. Ahli forensik dari Belanda membuat pemeriksaan ke atas mayat.

22 Julai (Selasa)

Dua kotak hitam diserahkan kepada pegawai-pegawai Malaysia. Pemimpin seluruh dunia memuji tindakan bijak Najib yang mendapat persetujuan dengan pemisah pro-Rusia. Kereta api yang membawa jasad mangsa tiba di Kharkiv, Ukraine. Tiga pakar penerbangan dari Malaysia berjaya masuk ke tapak nahas.

23 Julai (Rabu)

Dewan Rakyat mengadakan sidang khas. Najib membentang usul mendesak badan bebas antarabangsa mengadakan penyiasatan menyeluruh berhubung nahas berkenaan. Kumpulan pertama 40 keranda yang membawa mayat mangsa tiba di Eindhoven, Belanda.

24 Julai (Khamis)

Najib mengumumkan jasad mangsa tidak mungkin dapat dibawa pulang sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kementerian Kesihatan telah mendapatkan 50 sampel DNA daripada waris mangsa bagi memudahkan proses mengenal pasti identiti mayat. Di The Hague, pasukan penyiasat Belanda mengumumkan telah memuat turun data dari kotak hitam dan mengesahkan ia berada dalam keadaan baik tanpa dicemari atau dirosakkan.

25 Julai (Jumaat)

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembatalan semua rumah terbuka Jemaah Menteri merupakan satu mesej penting kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan sama-sama berkongsi kesedihan keluarga mangsa.

26 Julai (Sabtu)

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah melawat waris mangsa di Hotel Putrajaya Marriott. Seramai 65 ahli pasukan mencari dari Malaysia kembali di Kuala Lumpur setelah seminggu berada di Ukraine.

27 Julai (Ahad)

Pasukan penyiasat antarabangsa tidak dapat masuk ke kawasan nahas kerana berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia. Di The Hague, pakar forensik mengenal pasti mangsa pertama yang merupakan rakyat Belanda.

28 Julai (Isnin)

Kerajaan Belanda membatalkan penghantaran pasukan bersenjata antarabangsa bagi mengawal kawasan nahas kerana bimbang akan diheret untuk terlibat sama dalam konflik dalaman Ukraine. Tentera Ukraine berjaya menguasai beberapa bahagian kawasan nahas.

29 Julai (Selasa)

Polis Belanda menerima 150 gambar dan video yang dimuat naik oleh saksi bagi membolehkan siasatan punca nahas dibuat.

30 Julai (Rabu)

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mewujudkan satu pasukan petugas khas yang bertanggungjawab mengesyorkan langkah-langkah bagi mempertingkatkan tahap keselamatan penerbangan.

31 Julai (Khamis)

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat kem tentera di Hilversum, Belanda tempat identiti mayat mangsa sedang dikenal pasti. Perdana Menteri mengumumkan akan diadakan Hari Perkabungan Negara ketika kumpulan pertama mayat dan jenazah tiba di Malaysia.

Ogos 2014

1 Ogos (Jumaat)

Sebanyak 70 polis dari Belanda dan Australia berjaya masuk ke kawasan nahas untuk menjalankan proses pencarian dan menyiasat walaupun berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia yang menyebabkan 14 orang terbunuh.

2 Ogos (Sabtu)

Seorang ahli kongres AS memuji Najib kerana berjaya berunding dengan pemisah pro-Rusia bagi membolehkan jasad mangsa dibawa keluar dari kawasan nahas.

3 Ogos (Ahad)

Penyiasat yang masuk ke tapak nahas menemui lebih banyak cebisan jasad manusia dan barangan milik mangsa.

4 Ogos (Isnin)

Anggota Pasukan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiba di Donestk.

5 Ogos (Selasa)

Sebanyak 21 anggota pasukan penyiasat dari Malaysia menjalankan pemeriksaan di kawasan ladang gandum di Torez bagi mencari cebisan mayat dan serpihan pesawat.

6 Ogos (Rabu)

Ukraine menafikan pesawat tentera udaranya berada berhampiran MH17 ketika pesawat itu ditembak jatuh.

7 Ogos (Khamis)

Seorang penganalisis AS mendakwa MH17 ditembak jatuh oleh jet pejuang menggunakan peluru berpandu udara ke udara dan bukannya SAM. Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata, operasi pencarian cebisan mayat kemalangan MH17 membabitkan pasukan dari Belanda, Malaysia dan Australia digantung.

8 Ogos (Jumaat)

MAS sudah menerima notis mengenai cadangan Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih pemilikan penuh serta menyahsenarai syarikat penerbangan itu dari Bursa Malaysia.

9 Ogos (Sabtu)

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pesawat pejuang. Hasil risikan dan bukti dikumpulkan daripada penemuan serpihan pesawat malang itu jelas menunjukkan ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari darat ke udara.

10 Ogos (Ahad)

Ketua perkhidmatan perisikan Ukraine, SBU, Valentyn Nalyvaichenko mendakwa pemberontak yang menembak jatuh pesawat MH17, sepatutnya menyasarkan sebuah pesawat penerbangan Rusia bagi memberi alasan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menjajah negara itu.

11 Ogos (Isnin)

Najib menyatakan penghargaan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang telah memainkan peranan dalam proses siasatan nahas pesawat MH17.

12 Ogos (Selasa)

Kumpulan terakhir petugas khas PDRM diketuai Ketua Polis Negara selamat tiba di KLIA pada 6.35 pagi.

13 Ogos (Rabu)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, enam daripada 16 mangsa rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti disahkan sebagai beragama Islam, manakala 10 lagi bukan Islam. Seramai 90 pegawai bukan tentera dari Malaysia dibenarkan memasuki lokasi nahas untuk mencari cebisan mayat serta melakukan siasatan mengikut Resolusi PBB

14 Ogos (Khamis)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan 22 Ogos sebagai Hari Perkabungan Negara sebagai penghormatan kepada penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas MH17. Empat wakil agama bukan Islam membabitkan Hindu, Buddha, Tao dan Sikh di hantar ke Belanda bagi membantu pengurusan mayat mangsa mengikut kepercayaan agama masing-masing.

15 Ogos (Jumaat)

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menasihatkan ahli keluarga tidak membuka keranda dan melihat mayat berikutan keadaan jasad sudah terlalu lama dan tidak sempurna. Ketua Polis Negara bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertolak ke Amsterdam, Belanda bagi menguruskan kes siasatan dan perundangan.

16 Ogos (Sabtu)

Turut berada di Belanda ialah empat wakil agama bukan Islam membabitkan Hindu, Buddha, Tao dan Sikh bagi membantu pengurusan mayat mangsa.

17 Ogos (Ahad)

Hishammuddin berkata, baki mayat rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang melalui penghantaran khas kedua akan diberikan penghormatan sama seperti mayat yang dibawa pulang dari Belanda pada Jumaat. Pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia menjadikan setakat ini 26 jasad rakyat negara ini telah disahkan identiti.

18 Ogos (Isnin)

Duta Besar Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohamad Taib memaklumkan 22 jenazah dan mayat mangsa tragedi MH17 termasuk seorang rakyat Belanda akan dihantar pulang dari negara itu pada Khamis dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat. Penghantaran pulang itu merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat.

19 Ogos (Selasa)

Persiapan menguruskan jenazah mangsa tragedi MH17 kini memasuki fasa akhir, kira-kira 60 jam sebelum jenazah itu dihantar pulang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, untuk disempurna dan dilengkapkan sebelum diserah kepada waris keluarga.

20 Ogos (Rabu)

Upacara membakar mayat dan solat jenazah yang akan dibuat ketua agama masing-masing yang telah dilantik diselesaikan. Kerajaan mengesahkan hanya 20 mayat yang akan dibawa pulang ke tanah air pada jumaat.

21 Ogos (Khamis)

Mayat dan jenazah dibawa masuk ke dalam pesawat khas MAS dan disusun dalam kedudukan yang sangat tertib sebelum pesawat berlepas pulang kira-kira pukul 2 petang.

Resepi : Laksam lemak Pantai Timur

Bahan-bahan A : adunan untuk laksam

Tepung beras

Tepung kanji

Air

Garam

Peralatan kukusan

Bahan-bahan B : kuah laksam

Santan

Ikan kukus

Garam

Lada hitam

Asam keping

Bahan-bahan C : kerabu **dihiris halus

Kacang panjang, Bunga kantan, Kubis, Timun, dan lain-lain

Bahan-bahan tambahan

Asam limau, sambal dan belacan

Cara-cara

Campurkan tepung beras dan sedikit tepung kanji. Masukkan air sehingga adunan kelihatan cair. Kemudian masukkan garam secukup rasa dan kacau sehingga sebati.

Langkah seterusnya, gunakan loyang atau tudung periuk berbentuk bulat untuk mengukus adunan tadi. Setiap keeping laksam mestilah tidak terlalu tebal. Kukus di dalam kukusan sehingga masak dan gulung menjadi laksam. Langkah ini memerlukan kesabaran kerana perlu dilakukan berulang-kali sehingga adunan habis dikukus.

Kukus ikan sehingga masak bersama dengan asam keeping. Setelah itu, buang tulang-temulang ikan terlebih dahulu.

Blend kan ikan tadi bersama-sama dengan santan. Setelah siap, masak di atas dapur dengan api sederhana dan kacau perlahan-lahan.

Masukkan sedikit garam, lada hitam dan sekeping asam keping. Kacau sehingga masak dan sejuk agar kuah tidak menjadi pejal.

Langkah terakhir, hiris laksam dan hidangkan bersama kuah dan kerabu. Sedia untuk dimakan.

Resepi : Ketupat Sotong Kelantan

Bahan-bahan

  • 10-15 ekor sotong. Pastikan sotong segar dan dibersihkan dengan sempurna.
  • Beras pulut (anggaran untuk bilangan sotong yang diperlukan). Dibersihkan terlebih dahulu.
  • 2 keping nisan atau gula melaka
  • Santan
  •  Gula (secukup rasa)
  • Sedikit garam
  •  2-3 helai daun pandan
  • Lidi atau pencungkil gigi

* Bahan tambahan (tak letak pun tidak mengapa)

  • Halia – untuk mengurangkan bau hanyir sotong

Cara-cara

  1. Beras pulut ditanak terlebih dahulu sehingga masak.
  2. Apabila sudah masak, masukkan pulut tadi ke dalam sotong. Biarkan padat.
  3. Gunakan bahagian kepala sotong untuk menutup bahagian badan sotong
  4. Sematkan lidi/pencungkil gigi untuk mengelakkan pulut keluar apabila dimasak.
  5. Susun di dalam periuk
  6. Masukkan santan (agak-agak setara dengan sotong), daun pandan, nisan/gula Melaka, sedikit garam sekaligus
  7. Masukkan halia yang diracik *
  8. Hidupkan api perlahan dan kacau perlahan-lahan sehingga bahan mendidih
  9. Cuba rasa. Boleh tambah nisan/gula Melaka/gula mengikut selera individu
  10. Masak sehingga kuah menjadi pekat
  11. Angkat dan hidangkan

**** biasanya beras pulut dimasak bersama sotong. tetapi, bagi mengelakkan pulut tidak masak, kita tanak beras pulut tersebut terlebih dulu sehingga masak. kemudian baru kita sumbatnya ke dalam sotong untuk dimasak bersama-sama. cara ini adalah amat senang dan mudah bagi kita yang pertama kali ingin memasaknya.

Resepi : Dahlia Abah

Bahan-bahan

1 cawan gula halus
1 cawan tepung custard
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung
1 cawan butter/mentega
2 biji telur ayam (kuning sahaja)
1 sudu kecil perisa vanilla
Manik warna atau ceri dihiris halus sebagai hiasan

Cara-cara

1. Pukul rata gula halus bersama butter/mentega
2. Masukkan telur kuning
3. Masukkan perisa vanilla. Pukul sehingga sebati
4. Semua jenis tepung diayak bersama terlebih dahulu
5. Kemudian dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam acuan tadi
6. Pukul sehingga sebati. Kemudian uli tepung agar lembut dan biarkan sekejap.
7. Terap mengikut acuan dan letakkan hiasan ke atasnya
8. Bakar di dalam oven dengan suhu 140c selama 20-25 minit

Resepi : Biskut Sarang Semut

Bahan-bahan
 
• 250g butter
• 100g gula halus
• 250g tepung gandum*
• 100g tepung jagung*
• 100g tepung kastard*
• 1 biji kuning telur
• 1 sudu teh esen vanilla
• chocolate rice/manik untuk hiasan
* ketiga-tiga bahan diayak bersama terlebih dahulu

Cara-cara
 
1. Pukul kembang butter dan gula
2. Masukkan kuning telur dan esen vanilla dan gaul sehingga rata
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata
4. Uli bahan dan biarkan selama 10minit
5. Kemudian parutkan adunan dan sudukan ke dalam paper cup
6. Taburkan coklat rice atau manik gula kecil. Bakar dalam oven dgn suhu 145’C sehingga masak (anggaran 15 minit)
7. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara

Tips

$ boleh gantikan butter dengan menggunakan marjerin. hasilnya lebih rangup.
$ada juga yang menggunakan pewarna untuk menambahkan seri biskut. semuanya terpulang kepada kita.
$ jika baru pertama kali mencuba, boleh gunakan lidi/pencungkil untuk memastikan biskut telah masak atau tidak.

Resepi : Biskut Peanut Butter M&M

Bahan-bahan
170 gram peanut butter
120 gram butter
75 gram gula halus
25 gram gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji telur
2 sudu besar susu segar
120 gram tepung gandum *
80 gram tepung jagung *
1 sudu kecil serbuk penaik *
1 sudu kecil baking soda *
1 keping coklat makan
1 paket chocolate M&M
Paper cup
 * bahan diayak terlebih dahulu
Cara-cara
1. Butter, gula halus dan esen vanilla dipukul bersama sehingga kembang dan sebati
2. Masukkan peanut butter dan pukul sekejap
3. Masukkan susu segar dan telut. Pukul sehingga sebati
4. Masukkan semua jenis tepung yang telah diayak tadi bersama-sama dengan serbuk penaik dan baking soda. Uli dengan lembut menggunakan sudu kemudian dengan spatula.
5. Jadikan doh lembut. sekiranya doh agak lembik, tambahkan gandum dan uli sekali lagi
6. Pastikan adunan boleh dibentuk menjadi bulat-bulat kecil dan masukkan ke dalam paper cup. Tekan sedikit di bahagian atasnya.
7. Bakar pada suhu 180c selama 10 minit
8. Pada ketika ini, panaskan coklat. Setelah biskut dikeluarkan daripada oven, letakkan coklat di atasnya dan juga coklat M&M (kuantiti adalah mengikut citarasa individu)
9. Biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang
Tips : boleh kurangkan penggunaan gula/peanut butter bagi mengurangkan rasa manis kerana biskut ini tersangatlah manis.

Resepi : Agar-Agar Buah

Bahan-bahan

1 paket serbuk agar-agar

1 tin laici

1 tin buah-buahan campur

Gula

Air

Cara-cara :

Gunakan air laici (asingkan daripada buah) dan masukkan ke dalam periuk. Tambah air mengikut sukatan yang ditetapkan pada paket agar-agar.

Hidupkan api sederhana dan kacau. Masukkan serbuk agar-agar dan gula. Gula mengikut kesesuaian individu.

Kacau sehingga mendidih dan angkat setelah masak.

Masukkan agar-agar di dalam adunan berserta dengan buah-buahan campur (asingkan daripada airnya).

Biarkan sejuk dan sedia untuk dimakan.

Tips : boleh gunakan buah-buahan segar untuk rasa yang berbeza. Dan kurangkan gula untuk menonjolkan lagi rasa buah.

Motivasi : Tetapkan Hati

Dengan Nama Allah Yang MAha Pemurah Lagi Maha Penyayang

kepunyaan Allah lah segala yang ada di langit dan di bumi dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki Nya dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ya Tuhanku

Janganlah Engkau palingkan hatiku

Setelah Engkau tunjuki dan berilah rahmat dari hadhiratMu

Kerana Engkau adalah Yang Maha Pemberi

Ya Allah

Kukuhkanlah aku dari kemungkinan terpelesetnya iman

Dan berilah aku petunjuk dari kemungkinan sesat

Ya Allah sebagaimana Engkau telah memberi penghalang antara aku dan hatiku

Maka berilah penghalang antaraku dan antara syaitan serta perbuatannya

Ya Allah

Aku memohon kepadaMu jiwa yang tenang tenteram

Yang percaya pada pertemuan dengan Mu

Dan redha di atas segala keputusan Mu

Serta merasa cukup puas dengan pemberian Mu

Motivasi : Puteri Rasulullah SAW

Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. 

Tertitis air matanya, berdukalah baginda.

Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai Siti Khadijah.

Itulah Siti Fatimah RA, wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Saidina Ali merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap.

Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah SWT.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian.

Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan kerja rumah.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur.

“Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah pada suaminya.

Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.

Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, “Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu.”

Dalam nada sayu Fatimah berkata, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?”

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.

Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.

Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.

Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.

Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.

Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, “Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita.”

Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata, “Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?”

“Tentu sekali ya Rasulullah,” jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah SAW bersabda :

“Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ‘Subhanallah’ sepuluh kali, Alhamdulillah’ sepuluh kali dan ‘Allahu Akbar’ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’ ini sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.

Motivasi : Nasuha

PadaMu ku serah segalanya
Harta sepenuh jiwa raga
Hanya Kau yang Maha Pemurah
Meredakan hati yang gundah
Ya ALLah

PadaMu ku curah segala
Perasaan yang melara
Engkaulah yang punyai cinta
Membawaku ke puncak Nasuha

Ku sesali kealpaan diriku
Ku tangisi kesilapan lalu
Walaupun sekali
Tak kan ku ulangi

Ya Allah Tuhanku
Bantulah hambaMU
Jangan biarkan diriku
Terus dibelunggu
Ampunilah dosaku
Terangi hati
Izinkan ku kembali
Ke jalan redhaMu

Tiada yang lain ku harap
Hanya kasih sayangMu Tuhan
Membawaku ke rimbun keampunan
Ya Allah
PadaMu ku serah segala

Motivasi : Doa Untuk Sahabat

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…

Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…

Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

            Ya Allah…

            Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

            Ya Allah…

            Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

            Ya Allah…

            Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

            Ya Allah…

            Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

            Ya Allah…

            Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

            Ya Allah…

            Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

            Ya Allah…

            Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

            Ya Allah…

            Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi  hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

            Ya Allah…

            Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

            Ya Allah…

            Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

            Ya Allah…

            Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.