Untuk yang bukan dalam bidang hartanah, terma peta ortofoto agak janggal didengar. Tapi itu lah namanya Peta Ortofoto. Team Fakulti Alam Bina & Ukur mengorak langkah dengan menjalankan kerja-kerja membangunkan peta ortofoto yang pertama bagi seluruh kampus UTM Johor Bahru.

Pasukan yang terlibat adalah daripada kumpulan Pemetaan Utiliti UTM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa bersama-sama pasukan daripada Pusat Geotropika yang diketuai Pengarahnya, Prof Dr. Edy Tonyzam.

Projek peta ini adalah sebahagian daripada hasil pelaksaan  geran penyelidikan Trans-disciplinary (TRG) inisiatif daripada Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) untuk tujuan pemetaan utiliti di bawah tanah meliputi jaringan paip air dan elektrik di seluruh kampus UTM Johor Bahru.

Peta Ortofoto ini juga menyokong capaian maklumat bagi pencarian air bawah tanah yang dilakukan melalui kerjasama bersama Pusat Tropical Geoengineering (Geotropik).

Lebih menarik lagi, peta ini turut dilengkapi dengan permodelan 3-dimensi (3D) serta pangkalan data geospatial kampus UTM Johor Bahru. Memang terbaik teknologi pemetaan ini. Sekiranya ada pertambahan kawasan pembangunaan disekitar kampus, hanya melibatkan kawasan tersebut sahaja tanpa perlu melakukannya dalam sekala keseluruhan.

Tempoh menyiapkan projek pemetaan ini mengambil masa selama 5 bulan sahaja dengan segala sumber dan peralatan menggunakan sepenuhkan ‘aset’ yang dimiliki oleh UTM. Kos yang dibelanjakan untuk projek ini adalah sekitar RM129,000 sahaja iaitu 69% penjimatan daripada kos sebenar sekiranya menggunakan kepakaran dan teknologi daripada luar.

Peta ini diserahkan oleh pasukan berkenaan kepada Datuk Naib Canselor semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Naib Canselor pada Mac 2019 baru-baru ini.