Hari ni saya berpeluang bertugas di Sek Keb Ledang untuk Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor tahun 2016 ini.

Majlis disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato Mohamed Khaled Nordin yang tiba jam 9.40 pagi di perkarangan Sek Keb Ledang – bekas sekolah Khaled Nordin dahulu.


Ini ada acara luar pertama yang berpeluang saya hadiri yang mana ada di dalamnya perlibatan UTM untuk sesi menandatangani dokumen MoU. Dokumen MoU ini adalah kerjasama antara UTM, YPJ dan Jabatan Pendidikan Johor yang melibatkan kerjasama dalam pemantapan Bahasa Inggeris di kalangan guru² di seluruh Johor.

UTM berperanan dalam menyumbang tenaga pakar (pengajar) melalui Akademi Bahasa, UTM. Program yang telah bermula sejak akhir tahun 2015 ini diharapkan mampu memperkasa guru-guru di sekolah menengah dan rendah dalm pengajaran dalm Bahasa Inggeris.

Untuk ulasan majlis, UTM selaku tetamu untuk sesi MoU memahami akan had dalam protokol acara negeri. Namun, cabaran utama adalah untuk memahamkan penganjur tentang kedudukan NC UTM walaupun dalam majlis Negeri.

MOU UTM JPN YPJ

Jawatan NC UTM sebagai turus III mungkin tidak difahami atau diketahui oleh sesetengah pihak yang kurang terdedah dengan acara diperingkat negeri mahupun kementerian. Ya lah, masing² mahu menjaga bos masing² tanpa rujukan yang tepat. Inilah antara cabarannya bila berada di program luar.

Perkara utama yang perlu diberikan perhatian untuk majlis seperti ini adalah ketepatan penggunaan nama dan jawatan, susunan tempat duduk dan salutasi yang digunakan.

Susunan tempat duduk  berjaya saya ubah daripada kedudukan paling hujung kepada kedudukan ke-4 dalam sususan. Cuma dalam kedudukan salutasi saja saya agak bertolak ansur dan menghormati persiapan yang telah diatur oleh penganjur. Mana tak nya daripada 10 para, NC berada pada kedudukan nombor 9. Marah mereka nanti kalau tukar sesuka hati. Hubungan perlu dijaga untuk mengelak cakap² belakang selepas majlis nanti.


Selain itu, selaku PRO, perjalanan majlis perlu ‘dihadam’ sepenuhnya dan memastikan NC memahami perjalanan dan peranan beliau semasa majlis. Jangan sampai NC tidak maklum flow majlis yang menyebabkan beliau blur, atau teragak² akan peranan beliau di atas pentas.

Hukum nombor satu yang paling utama di dalam protokol adalah menjaga maruah ketua² dan tetamu² utama yang hadir. Dilupakan tidak pengacara majlis juga perlu dipastikan memainkan peranan dengan jayanya tanpa menjatuhkan air mukanya sendiri.

Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan baik. Cuma komen saya secara peribadi, banyaknya persembahan dan nyanyian yang menyebabkan penganjur perlu memastikan setiap sesi berjalan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang kecacatan. Itu cabaran paling besar dalam penganjuran majlis. Jika boleh diminimumkan, mansuhkan saja jika tidak memberi kesan yang besar kepada majlis.

Apapun tahniah kepada penganjur.