‘Demam’ majlis konvokesyen datang kali. Kali ini untuk siri yang ke-57. Alhamdulillah masih diberikan kepercayaan untuk terlibat dan masih menguruskan jemputan dif-dif kehormat daripada Pro Canselor hinggalah kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan tetamu-tetamu jemputan ‘khas’ yang lain.

Seperti biasa bagi setiap sesi konvokesyen akan diadakan majlis Makan Malam Pra-Konvokesyen (prakonvo) bagi meraikan penerima-penerima Ijazah Kehormat dan penerima gelaran Profesor Emeritus. Majlis akan dibuat pada malam sebelum sesi pertama majlis konvokesyen berlangsung. 

Majlis kebiasaannya dibuat di halaman rumah Kediaman Rasmi Naib Canselor UTM dengan para jemputan terdiri dikalangan Pro Canselor, ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), Dekan-dekan, Pengarah, Pengetua Kolej, Profesor Antarabangsa, Jawatankuasa Induk Konvokesyen, wakil-wakil persatuan dan wakil-wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar.

Istimewanya untuk siri ke-57 kali ini, majlis Pra Konvo ini terut dihadiri graduan yang akan menerima anugerah Diraja dan Anugerah Pro-Canselor. Mereka hadir bersama penjaga mereka. Ini sebagai salah satu penghargaan Universiti kepada mereka memandangkan Majlis Makan Malam Canselor (bersama Tuanku Canselor) telah lama tidak diadakan memandangkan kekangan peruntukan beberapa tahun sebelum ini.

Untuk Majlis Makan Malam Pra Konvo ini, 4 orang graduan telah hadir bersama ibu bapa mereka. Turut hadir memeriahkan majlis juga adalah penerima gelaran Profesor Emeritus- Prof Ismail Khailani. Tahniah!

Sesi makan malam ini bermula jam 8.30 malam dengan tetamu utama adalah YBhg Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, Pro Canselor. YBhg Tan Sri Dr Yahya Awang (Pro Canselor) tidak dapat hadir kali ini termasuk Pro Canselor baharu, yang akan diisytiharkan iaitu YBhg Tan Sri Dato Dr Lin See-Yan, yang tidak dapat bersama kerana waktu ketibaan beliau agak lewat.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan alunan irama oleh Kumpulan Okestra daripada Unit Kebudayaan UTM. Uniknya, pada majlis yang melibatkan kebudayaan di UTM, doa dinasihatkan tidak dibacakan jika ada sebarang acara nyanyian atau tarian (atau persembahan berunsur hiburan) dan penyanyi wanita tidak dibenarkan untuk membuat persembahan di dalam kampus UTM. Polisi inilah yang dilaksanakan untuk Majlis Prakonvo ini.

Majlis secara ringkasnya dimulakan dengan pengenalan oleh pengacara majlis, diikuti dengan sesi jamuan dengan iringan okestra. Sesudah itu, sesi ucapan penghargaan oleh Naib Canselor selaku tuan rumah akan mengambil tempt sebelum majlis bersurai. Istimewanya pada malam ini, turut diadakan sesi pemotongan kek sempena hari kelahiran YBhg Pro Canselor sebelum YBhg Datuk Naib Canselor menutup majlis dengan ucapan beliau.

Alhamdulillah semua berjalan lancar tanpa sebarang kecacatan semasa majlis berlangsung. Agak cuak juga bila mana ada lampu di khemah yang terbakar sebelum majlis bermula. Namun, sempat dibaiki dengan segera oleh petugas teknikal.

Maklumat atur cara majlis sebagai rujukan.