Pelbagai aktiviti tahun 2019 telah dilaksanakan. Antaranya memupuk semangat sukarelawan di kalangan pelajar UTM. Program-program yang telah dilaksanakan berjaya memberi impak positif kepada pelajar-pelajar yang turut serta menjayakannya. Antara lainnya mereka berupaya melaksanakan program dengan jayanya. Kemahiran generik terserlah, di antaranya ialah kemahiran ‘leadership, team working, problem solving, innovative and creative’.

Artikel berikut ditulis oleh wakil pelajar, berdasarkan pengalaman yang mereka diperolehi:

Liyana Binti Mohamad & Azyyatie Ayunaziha Binti Yusoff (Mahasiswa Diploma Kejuruteraan Awam (DDWA), UTM Kuala Lumpur)

Sukarela, membantu tanpa mengharapkan pulangan. Semangat sukarelawan perlu disemai kepada semua lapisan masyarakat agar dapat melahirkan masyarakat yang prihatin, berwaspada  dan bertanggungjawab. Sekali gus, dapat mengikis sikap pentingkan diri, memupuk dan membudayakan nilai kerjasama serta mengenali persekitaran budaya masyarakat sekitar. Lantaran itu, program sukarelawan perlu diperbanyakkan lagi agar negara menjadi lebih harmoni dan terbilang.

Kami wakil mahasiswa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur berasa amat bersyukur kerana dapat menyertai program-program sukarelawan. Antaranya, program anjuran bersama pihak Razak Faculty of Technology and Informatics UTM, Adopt a Kampung dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Luar Kampus (JKM LK) iaitu Motivation and STEM Activity at Kelantan (Program STEM) pada 5-7 Julai 2019.  Seterusnya, program anjuran bersama Women Engineering Section, The Instituition of Engineers Malaysia dengan Razak Faculty of Technology and Informatics UTM, Adopt a Kampung, JKM LK UTM, CCIN UTM dan Srikandi84 iaitu Program Bersama Anak Gelandanggan oleh Feeding The Needy (FTN), pada 5 September 2019 yang lepas.

Program STEM ini bermotif untuk mengembangkan sifat cinta akan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah luar bandar iaitu dengan menunjukkan eksperimen yang mudah lagi menarik perhatian.  Manakala objektif Program bersama Anak Gelandangan oleh Feeding The Needy (FTN) ialah memberi peluang kepada mahasiswa/i menghulurkan bantuan kepada masyarakat gelandangan dengan meluangkan masa bersama anak-anak gelandangan dan mengenali kehidupan harian mereka.  Ahli pasukan yang telah menyertai program-program ini berasa amat bersyukur kerana melalui program-program ini kami dapat mengetahui dan membuka mata tentang dunia sebenar di luar sana. Keazaman dan cita-cita yang tinggi daripada setiap insan masyarakat dapat dilihat walaupun tidak mempunyai kemudahan dan serba kekurangan. Jika insan-insan terpilih ini diberi perhatian dan sokongan, mereka mempunyai potensi mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia.

Pada mulanya, semua terlihat seperti sukar dan perasaan tidak percaya diri yang datang secara berterusan bersama-sama dengan beribu persoalan, “adakah kami mampu untuk mengikuti program sukarelawan ini dan sekaligus mengejar pelajaran yang tertinggal bersama rakan-rakan lain setelah selesai program ini, adakah apa yang kami lakukan nanti memberi kesan yang positif kepada mereka dan memberi semangat kepada mereka untuk tidak berputus asa dengan semua yang mereka lakukan?”, inilah diantara soalan yang datang menyerbu kami sedang kami hendak membuat keputusan yang sukar sebagai seorang yang bergelar mahasiswa/i di sini. Syukur ke hadrat Illahi dengan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa masing-masing, pensyarah-pensyarah yang terlibat, antaranya, Dr Mohammad Zaki Hassan (Ketua program), Dr Habibah @ Norehan Hj Haron (Pengarah Program) dan Dr Mohamed Azlan Bin Suhot (pengetua JKM LK) yang selalu mengingatkan kami agar sentiasa perbetulkan niat sebelum melakukan sesuatu, jika mengikuti sesuatu  program sukarelawan tumpukan fikiran kami kepada apa yang kami mahu sumbangkan kepada masyarakat. Hal ini yang  membuatkan kami bertekad untuk menyahut cabaran ini.

Fasa Permulaan, pengalaman yang sukar semasa menjadi sukarelawan adalah di fasa ini, ia banyak bermain dengan ‘mental’ kami. Jujur dikatakan bukan kami sahaja yang merasa sukar dalam mengendalikan sesuatu program di fasa ini. Memerah otak untuk memikirkan aktiviti, percanggahan idea semasa perbincangan, pembahagian tugas  dan banyak lagi. Tetapi semua itu kami lalui dengan matang dan nilai kerjasama yang disumbangkan oleh setiap individu mengurangkan kepenatan yang dirasai oleh kami serta tunjuk ajar dari individu yang berpengalaman menyelesaikan masalah-masalah yang kami hadapi memudahkan penyiapan persediaan program ini.

Fasa Pertengahan, bermulanya fasa kepenatan dan keseronokan. Hal ini kerana, kami menjalankan program yang ditunggu-tunggu  selama ini. Semasa ini kami mempelajari banyak benda baru bahawa setiap kata-kata memberi makna yang mendalam kepada orang yang mendengar. Contohnya, semasa kami menjalankan program STEM di beberapa buah sekolah luar bandar di Kelantan, kebanyakan mereka memiliki pemikiran yang kreatif dalam menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka tetapi mereka tidak mempunyai kesempatan dalam  menyuarakan dan menunjukkan kreativiti mereka kerana kekurangan kemudahan di kawasan tersebut. Oleh itu, kami memberi kesempatan kepada mereka untuk membuktikan kreativiti dan bakat terpendam mereka selama ini dalam kaedah sains. Dan jelas terbukti mereka mampu melakukannya. Selain itu, semasa Program bersama Anak Gelandagan, kami belajar memahami dan mendalami frasa ayat, ‘don’t judge a book by it’s cover’. Dimana individu yang digelar gelandangan di luar sana sebenarnya bukan semuanya dari golongan yang tidak memiliki masa depan, tetapi mereka cuma tidak berpeluang untuk menjalani hidup seperti kebiasan individu lain kerana kekangan wang dan masalah lain. Sejujurnya mereka juga memiliki ilmu pengetahuan tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran mereka dengan lebih tinggi. Sesetengah masyarakat yang memandang serong akan individu-individu ini, ubahlah pemikiran anda semua bermula dari hari ini kerana setiap manusia diberi rezeki yang berbeza-beza oleh Allah SWT. Jadi MARILAH kita membantu golongan yang memerlukan bantuan kita ini dan ingatlah bahawa,“Sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain”.

Akhir sekali, fasa penutupan iaitu bukan pengakhiran untuk menyertai program sukarela tetapi penghujung program. Fasa ini merupakan fasa perkongsian pengalaman iaitu perasaan sepanjang mengikuti sebuah program, kisah duka lara, bahagia bersama dan kekurangan program tersebut. Sepanjang fasa ini, kami meluahkan perasaan gembira apabila ikut serta program ini dan berasa sedih kerana program STEM dan Program bersama Anak Gelandangan telah sampai ke penghujungnya. Terlalu banyak pengalaman yang dilalui membuatkan kami berasa seronok dan sedih apabila program tersebut telah sampai ke penghujungnya.

Bagi pengetahuan semua, terlalu banyak manfaat yang diperolehi apabila mengaktifkan diri dalam program-program sukarelawan. Contohnya ketika menulis artikel ini, perasaan rindu yang mengusik jiwa kami apabila mengimbas kembali pengalaman dan rakan seperjuangan. Jiwa yang kosong diisi dengan pahit manis program. Membuat kebaikan di dunia ini, tidak semestinya berkongsi harta benda malahan wang ringgit tetapi boleh juga berkongsi sedikit kebahagiaan. Kemungkinan dengan satu senyuman mampu memberi kebahagian di sekeliling kita sekaligus mengurangkan tekanan diri buat seketika. Dengan izin Allah, segala isi yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah apabila kita bertenang. Di samping itu, para sukarelawan dapat menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran baru. Contohnya Program bersama Anak Gelandangan yang mengajar kami bagaimana mahu berkomunikasi dan melayan  individu-individu ini yang bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak tetapi melibatkan orang dewasa yang penuh dengan emosi dan keluhan hati  yang ingin diluahkan kepada kami.

Kami ingin menyeru anda  semua menyertai mana-mana aktiviti sukarelawan untuk kebaikan bersama. Mungkin frasa ini mampu mengajak anda semua, “Marilah Bersama-sama Menjadi Seorang Sukarelawan”

Terima kasih kerana sudi membaca.