Meraikan Progress, Pencapaian & Persahabatan
Minggu lepas berlangsung ASEAC 2025, acara tahunan AHIBS yang meraikan kecemerlangan staf, bukan sahaja sebagai majlis apresiasi, tetapi juga sebagai suntikan aspirasi. Tahun ini suasananya lebih santai, berkonsepkan garden high tea di Putrajaya; santai tetapi penuh makna.
Apresiasi & Aspirasi
Saya terharu bila melihat rakan-rakan naik ke pentas menerima pengiktirafan. Ada rasa bangga, ada juga semangat yang membuak — “kalau mereka boleh, aku pun boleh, InsyaAllah.” Malah, saya nampak sendiri bagaimana semangat itu menular. Syiqin (staff baru) contohnya, terus bersemangat selepas melihat rakan-rakan lain diraikan. Inilah magis sebuah majlis apresiasi, ia bukan sekadar meraikan, tetapi juga membakar aspirasi.
Progress
Sebagai TDPI, saya kenal wajah-wajah yang naik menerima anugerah, terutama sekali untuk bahagian penyelidikan. Saya tahu mereka bekerja keras, dan saya tahu mereka tidak pernah berhenti memperbaiki diri. Contohnya Dr Nazimah, tahun ini begitu banyak anugerah yang beliau raih, termasuk AHIBS Researcher of the Year. Kita semua tahu komitmen beliau dalam penyelidikan, serta sokongannya yang tidak pernah putus kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan AHIBS.

Perjalanan Bersama
Walaupun saya menggalas tugas pentadbiran, saya tetap seorang pensyarah dan penyelidik yang masih perlu mengejar KPI sendiri. Memang mencabar betul tugasan saya tahun lepas. Alhamdullillah dengan penghargaan yang diberi, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Dan melihat ahli-ahli JE seperti Dr Mai, Dekan Rosmini, dan Dr Razli cemerlang dalam penyelidikan, serta Dr Basheer yang unggul dalam pengajaran, membuatkan saya merasa terinspirasi. Ia peringatan bahawa kita semua berada di atas perjalanan yang sama, saling menguatkan dan saling meraikan. Kita semua kena pulun, regardless who we are in the faculty;-)
Suasana
Apa yang menambah seri majlis semalam ialah suasana santai dan penuh gelak tawa. Riuh adik-adik admin, ditambah pula dengan persembahan sempoi Kugiran Mawar, menjadikan ASEAC 2025 bukan sekadar acara formal, tetapi sebuah memori manis tentang persahabatan dan kekeluargaan di AHIBS.
ASEAC 2025 bukan hanya tentang celebrating achievements — tetapi juga tentang mengingatkan kita bahawa perjalanan ini lebih indah apabila ditempuhi bersama-sama.



