Teknologi Terkini

Tahun 2018 membuka tirainya dengan pelbagai pembangunan teknologi yang dijangka lebih hangat.

Beberapa inovasi baru yang dijangka merubah gaya hidup manusia pasti menjadi cerita utama dalam arus teknologi masa kini.

Setiap tahun pasti berlaku perubahan teknologi dan negara kita tidak pernah terkecuali menerima tempiasnya.

Antara yang bakal mencuri tumpuan ialah bitcoin yang mula popular berbanding kaedah konvensional dalam institusi kewangan.

Bitcoin kini menjadi kaedah pembelian ‘online’ yang sedang berkembang dan ia boleh digunakan untuk membeli pelbagai produk di kaunter secara fizikal.

Ia mula diperkenalkan pada 2008 oleh individu Satoshi Nakamoto sebagai ia sistem pembayaran berbentuk ‘peer-to-peer’ dalam mata wang maya melalui perisian sumber terbuka.

Bitcoin dikawal komoditi berasaskan kriptografi yang mengawal mata wang terbabit.

Perbendaharaan Amerika Syarikat sendiri mengkategorikan bitcoin sebagai ‘decentralized currency’.

Namun, amaran mengenai pelaburan wang maya dalam Internet sebagai simpanan yang boleh dihapuskan jika transaksi digodam atau menghadapi masalah kewangan.

Bitcoin mencetuskan kontroversi dalam sistem kewangan sehinggakan Bank Negara sendiri menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan risiko yang terpaksa ditanggung jika menggunakan mata wang digital atau maya.

Apabila penggunaan mata wang maya ini semakin popular, ia sekali gus melonjakkan nilai bitcoin itu sendiri sehingga terdapat mesin khas bagi transaksi kewangan.

Ia menawarkan sistem pembayaran tanpa nama yang sebahagian besarnya tiada struktur berpusat dan transaksi secara terbuka dalam apa dikenali sebagai ‘blockchain’ dengan mereka yang mengekalkannya dibayar dalam unit baru, proses dikenali sebagai ‘mining’ (melombong).

Blockchain adalah teknologi yang menggabungkan pangkalan data dan kriptografi untuk bertindak sebagai platform pemindahan pelbagai urusan dengan pantas, selamat dan menjimatkan kos.

Teknologi blockchain dicanangkan sebagai alternatif yang lebih ekonomikal dalam pemindahan nilai wang kerana ia tidak memerlukan pihak ketiga sebagai perantara di samping menghapuskan kos tinggi proses penyelarasan semula.

TRANSAKSI Bitcoin kian popular.

Pelbagai objek bernilai boleh ditransaksikan menggunakan platform ini seperti wang, hasil seni dan kontrak. Namun sehingga kini, hanya mata wang kripto paling kerap menggunakan teknologi terbabit.

Mata wang kripto adalah mata wang digital yang boleh diurus niaga, disimpan dan ditukarkan seperti mata wang biasa (mata wang fiat) lain.

Malah, pengguna akan mendapat pelbagai kelebihan apabila melaksanakan urusan berkaitan melalui penggunaan blockchain.

Kemudian, kita akan menerima secara meluas teknologi arahan suara terutama apabila Apple memperkenalkan produknya di negara iaitu HomePod, menjadi gajet terbaru dalam senarai aksesori produk Apple yang beroperasi tanpa wayar untuk kualiti audio menarik disokong mikrofon berguna bagi berhubung dengan Siri.

Pembesar suara bersaiz tujuh inci itu membolehkan akses kepada Apple Music sekali gus pengguna berupaya mendengar 40 juta lagu tersenarai.

HomePod juga bertindak sebagai penerima arahan untuk menghantar mesej, mendapatkan berita terkini dan mengawal peranti pintar lain di rumah.

Bagi penulis, ia hanya permulaan kala Internet untuk segalanya (IoT) kini sudah matang bagi dieksploitasi sepenuhnya.

Bahang IoT membolehkan erti kata sebenar kepada ‘sambungan tanpa wayar’.

BAHANG IoT

Setakat ini, belum lagi boleh berkomunikasi dengan bahasa Malaysia tapi penulis pasti ia akan diperoleh kurang dari setahun.

Potensi arahan suara terbabit jelas timbul apabila bertambahnya aplikasi telefon pintar yang boleh berinteraksi dengan perkakasan lain.

Pengeluar produk elektronik perlu membangunkan ciri baru yang menepati skil Alexa bermakna kecerdasan pintar atau ‘artificial inteligence’ tidak terhad berasaskan apa yang sudah dibangunkan Amazon.

Dengan sedikit program pengaturcaraan yang ringkas, HomePod juga mampu mengunci pintu rumah tanpa anda menyentuh selak kunci atau memaklumkan kepada anda apabila basuhan pakaian dalam mesin basuh tamat tempoh.

Meskipun sejarah Google cemerlang dengan penyelidikan arahan suara, ia baru saja mempromosikan Google Assistant kepada pihak ketiga bermakna Amazon mempunyai kelebihan di pasaran.

Tidak lengkap 2018 tanpa kita bercakap soal sektor luasan sebenar atau ‘augmented reality’ (AR) dan tiga dimensi (3D) perlu diberi tumpuan generasi masa depan memandangkan ia mampu menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi berdasarkan visual sebenar.

Berdasarkan faktor terbabit, peluasan kandungan melalui AR dan 3D memberi kesan mendalam kepada individu sekali gus merubah kaedah.

Lihat saja pada Pokemon Go dan pengenalan emoji berasaskan AR yang dikeluarkan Apple melalui iPhone X.

TEKNOLOGI merubah manusia.

Jika pengguna ingin melihat kehidupan dinosaur yang sudah pupus, dua teknik terbabit mampu memberi gambaran secara realiti dengan menawarkan pergerakan haiwan tertentu serta organ dalamannya.

Teknik itu juga mampu mengembalikan sejarah dengan membangunkan semula model seperti bangunan lama yang sudah dirobohkan.

Sementara itu, Internet untuk segalanya (IoT) dan peranti yang bersambung akan membentangkan cabaran baru untuk rangkaian mudah alih apabila kelajuan pemindahan data tidak akan menjadi satu-satunya kriteria.

Keupayaan prasarana komunikasi tanpa wayar untuk menyokong jumlah ini yang dijangka mencecah sehingga 50 bilion peranti menjelang 2020.

Anda boleh lihat pada bandar pintar, sistem kejuruteraan sosial dan banyak lagi membabitkan penggunaan Internet serta gajet dalam kehidupan seharian.

Kini, pengguna boleh mengawal mesin basuh, periuk nasi, suhu makanan dan banyak lagi hanya menggunakan telefon apabila peranti terbabit dihubungkan dengan Internet.

Kemudian, ia akan merubah konsep pengangkutan apabila kenderaan juga boleh dikawal.

Seterusnya, anda boleh bayangkan evolusi rangkaian generasi kelima (5G) tidak lama lagi dan lebih menarik, kemajuan pesat teknologi telekomunikasi turut terkena kesannya kepada bidang lain seperti multimedia, penyiaran, komunikasi dan maklumat.

INTERNET lebih meluas penggunaannya.

Pada asasnya, Malaysia melakukan banyak perubahan dan reformasi dalam sektor telekomunikasi dengan pembabitan sektor swasta yang menyokong pembentukan serta pembangunan prasarana telekomunikasi negara.

Jurang digital wujud disebabkan ada sesetengah golongan di negara ini tidak mempunyai akses kepada dunia telekomunikasi.

Ukuran jurang digital tidak cukup dengan hanya mencatatkan pemilikan telefon pintar dan kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar.

Ia sebaliknya perlu diperluaskan kepada kadar celik gajet dan kesan ekonomi yang perlu diberi perhatian memberi impak bukan saja kepada diri sendiri, mudah menambah pendapatan negara.

Dengan pelbagai galakan dan dorongan, tidak mustahil ini 2018 menjadi pemangkin kepada ramai usahawan berteknologi tinggi yang datangnya bukan sekadar dari bandar namun mungkin dari ceruk yang lokasinya tiada dalam Google Maps.

Malah, penulis menjangkakan pertumbuhan Internet akan membuka mata syarikat telekomunikasi untuk terus menurunkan harga data bagi menarik minat pelanggan.

Apatah lagi dengan bertambahnya syarikat telekomunikasi, ia tidak mustahil dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 2:57 PM
Rujukan : https://www.hmetro.com.my/itmetro/2018/01/299894/teknologi-baru-2018