Kunci ke Syurga

https://sinarplus.sinarharian.com.my/agama/ketahui-kunci-masuk-syurga-ada-8-pintu-yang-perlu-kita-kenal/

Sabda Rasulullah SAW: “Dalam syurga itu ada lapan pintu.” (Riwayat al-Bukhari)

1. Pintu solat

Ia disediakan bagi mereka yang sentiasa mengerjakan ibadah solat termasuklah solat fardu dan solat- solat sunat.

2. Pintu jihad

Disediakan khas kepada mereka yang berjihad pada jalan ALLAH bagi menegakkan kalimah ALLAH.

3. Pintu ar-Rayyan

Inilah pintu untuk mereka yang suka berpuasa sama ada puasa wajib dan juga puasa-puasa sunat.

4. Pintu sedekah

Pintu ini disediakan untuk orang yang suka bersedekah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira waktu.

5. Pintu Aiman (pintu paling kanan)

Ia disediakan kepada umat Islam yang tidak dihisab amalannya. Mereka ini yang disebutkan ALLAH sebagai golongan kanan yang mana golongan kanan kebiasaannya berkat. Jika kita lihat dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, baginda juga menyukai belah kanan dan akan memulakan sesuatu dengan belah kanan dahulu.

6. Pintu menahan marah dan memaafkan manusia

Mengawal amarah bukan sekadar sifat terpuji. Bahkan, pintu syurga ini disediakan khas kepada mereka yang dapat mengawal kemarahan, emosi dan tidak mengikut hawa nafsu.

Pintu ini juga disediakan kepada mereka yang dapat memaafkan orang lain dengan penuh keikhlasan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sungguh ALLAH memiliki satu pintu di dalam syurga yang tidak ada orang yang memasukinya kecuali orang yang memaafkan suatu kezaliman.” (Riwayat Ahmad)

7. Pintu orang menyebut La haula wala quwwata illa billah

Pintu syurga ini disediakan kepada orang yang selalu mengerjakan ibadah taubat dan sentiasa beristighfar kepada ALLAH.

8. Pintu hormat ibu bapa

Selama ini kita dengar syurga seorang anak ialah ibu bapa mereka. Ternyata ada benarnya kata-kata itu. Bahkan, ALLAH SWT menyediakan pintu syurga khas kepada mereka yang sentiasa mengasihani, menghormati dan membantu ibu bapa dalam apa jua keadaan mereka.

Dalam banyak-banyak pintu syurga ini, kita tergolong dalam kumpulan yang mana? Jawapannya semua ada dalam diri masing-masing.

Apa pun, segala gambaran tentang syurga yang disebutkan dalam nas itu tak lain tak bukan, hanya untuk memotivasikan manusia supaya terus mencari keredaan ALLAH SWT.

Semoga kita semua beroleh syurga ALLAH yang sangat didambakan.