Tiga Amalan Jalan Mukmin Ke Syurga
SETIAP orang mukmin yang berada di muka bumi ini pastinya mempunyai impian untuk menjadi penghuni syurga Allah apabila dibangkitkan di kampung akhirat kelak. Sebagaimana yang digambarkan Allah SWT di dalam al Quran melalui surah at-Taubah ayat 72, Allah berfirman yang bermaksud “Allah telah menjanjikan kepada orang laki-laki dan perempuan yang beriman dengan jannah (taman/syurga) yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, kekal mereka di dalamnya dan (mendapat) tempat tinggal yang baik di dalam Jannati (taman/syurga) ‘Adni. Dan keredaan Allah itulah yang lebih besar, itulah kejayaan yang cemerlang”.
Melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran di radio IKIMfm jam 10.15 pagi, Ustazah Muzayyanah Abdullah memperincikan tentang tiga amalan yang menjadi jambatan untuk seseorang mukmin menjadi penghuni syurga Allah yang amat indah sebagaimana yang digambarkan di dalam surah at-Taubah seperti yang dikongsikan di atas.
Amalan tersebut yang pertama adalah membina hubungan yang akrab dengan Allah SWT melalui solat. Ibadah solat adalah amalan penting dan utama yang dihisab oleh Allah di saat tibanya hari perhitungan di akhirat nanti.
Sungguhpun solat merupakan rukun Islam yang kedua, selepas mengucap kalimah syahadah, namun ia adalah amalan utama yang menjadi perkiraan pada saat Allah menghitung setiap amal baik dan buruk seseorang manusia untuk ditempatkan di syurga mahupun neraka.
Jika amalan-amalan baik yang dilakukan umpamanya seperti sedekah, zakat waima berbuat baik sesama makhluk sekalipun, namun jika sepanjang waktu kehidupan tidak ada ruang untuk menyembah Allah SWT, amalan-amalan lain tidak menjadi keutamaan dalam perhitungan Allah kerana solat sebagai tiang agama akan dihisab oleh Allah terlebih dahulu berbanding amal ibadah yang lain.
Bagaimanapun jika ada umat Islam yang tidak mendirikan solat fardhu lima kali sehari namun dalam masa yang sama melakukan amal kebaikan lain, jangan sesekali berhenti membuat amal jariah kerana barangkali dengan kebaikan-kebaikan yang dilakukan itu Allah yang maha pengampun akan mengurniakan kefahaman Ilmu dan hidayahNya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW “solat itu akan mencegah dari sebarang perbuatan yang keji dan mungkar” merupakan seruan penting terhadap keutamaan solat yang akan menjauhi umat Islam dari perbuatan yang terpesong dari seruan agama. Seseorang yang mendirikan solat dan faham akan suruhan solat pastinya mempunyai akhlak yang terpuji, malahan mereka ini ketika di dalam solat, melaksanakan solat dan jika di luar solat sekalipun tingkah laku mereka umpama sedang berada di dalam solatnya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu al Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Ankabut:45)
Amalan yang kedua adalah mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, sebagai jalan bagi seseorang mukmin menuju dan seterusnya menjadi penghuni di dalam syurga Allah SWT. Amalan-amalan Sunnah ataupun berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah amalan yang sangat dituntut oleh Allah SWT.
Sesungguhnya bagi seseorang mukmin yang mahu hampir kepada Allah SWT, mestilah menuruti Sunnah Rasulullah kerana jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah melalui kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna, bagi seseorang mukmin yang menghidupkan Sunnah baginda, menuruti seruan hadis baginda akan mendapat keredhaan daripada Allah taala.
Bahkan, seseorang mukmin itu bukan sahaja dituntut untuk selalu mengingati baginda dengan cara berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini terhadap ketinggian akhlak dan keperibadian baginda disebut di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”(Surah Al-Ahzab, ayat 56). Sementelah bagi mukmin yang menghidupkan Sunnah baginda, pastinya mendapat keberkatan dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti.
Seterusnya yang ketiga menurut Ustazah Muzayyanah adalah dengan membina silaturahim sesama manusia. Hubungan antara manusia dimulakan dari dalam rumah melalui hubungan kekeluargaan. Apabila seseorang mukmin menjaga hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, kemudian dipanjangkan dengan jiran tetangga, sahabat handai dan kawan-kawan hatta mereka yang baru sahaja dikenali menjadi jalan bagi mukmin menuju ke syurga Allah SWT.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Indahnya Islam dan seruan Nabi Muhmmad SAW terhadap mukmin yang memelihara silaturahim diberikan khazanah kebaikan di dunia iaitu mendapat usia yang panjang dan rezeki yang murah. Manakala ganjaran di akhirat pula pastinya mereka yang menjaga hubungan sesama manusia, berbuat kebaikan sesama insan akan mendapat ganjaran yang didambakan oleh suluruh umat Islam yang beriman iaitu ganjaran syurga buat selama-lamanya.
Kehidupan seseorang mukmin akan mendapat barakah dunia dan akhirat jika mentaati segala suruhan Allah, menjauhi laranganNya dan mencintai Sunnah Rasulullah SAW. Seseorang mukmin yang memahami setiap tuntutan terhadap dirinya sudah pasti akan selalu memperbaiki diri untuk mencari redha Allah, meningkatkan ketaqwaan disisiNya dan akhir sekali menjalani kehidupan seiring dengan seruan Sunnah baginda SAW. Dengan setiap amalan dan perbuatan mengikut landasan ajaran agama Islam, mudah-mudahan seseorang mukmin itu akan dipermudahkan laluan di titian sirat dan pada penghujungnya akan menjadi penghuni syurga Allah yang kekal abadi.