Ambil nota ini bakal jemaah umrah.

Tempoh melaksanakan umrah mengikut tertib rukun umrah adalah diantara 3 jam itu paling lama. Dan selebihnya jemaah mempunyai banyak masa terluang. Pihak agensi dan mutawif telah menetapkan jadual untuk program ziarah sirah. Tiada alasan untuk agensi tidak melaksanakan program ziarah sirah kerana ia sudah sebahagian daripada bayaran pakej.

Ramai jemaah yang saya temui tidak berpuas hati dengan agensi mereka kerana tidak dibawa ziarah ke kawasan Haji dan ziarah Sirah. Ada agensi yang cuma duduk atas bas cakap cakap dan tunjuk saja dari dalam bas dan jemaah tak turun. Ada jemaah saya temui mereka menyatakan ‘Saya sampai Jabal Rahmah lepas tu beli aiskrim bergambar satu dua, tak naik Jabal Rahmah tapi terus naik bas atas arahan mutawif dan dengan alasan tak cukup masa’

Apa yang tak cukup masa ? dan apa yang dikejarkan oleh mutawif sedangkan jemaah duduk 7 hari minima di Makkah. Dan akhir nak jaga hati diberi nya makan nasi unta dan takde pun nasi kambing kot takde pun ayam Al Baik. Tapi barang perlu diingat bukan semua agensi begitu dan itu pentingnya bakal jemaah buat survey dahulu bukan daripada segi harga sahaja tetapi semua aspek.

Disini saya ingin kongsikan KAWASAN ZIARAH YANG WAJIB AGENSI BAWA JEMAAH UMRAH LAWATI :

Kita mulakan kawasan sekitar Masjidil Haram :

– Rumah Kelahiran Nabi Muhammad SAW. Kini ia telah dijadikan perpustakaan dan nama nya Makkah Mukkarramah Library (المكتبة مكة المكرمة). Pesanan saya, jangan buat ritual atau perkara pelik pelik yang bercanggah dengan syarak. Cukup sekadar tahu, berselawat dan bergambar sebagai kenangan. Lokasinya di pintu keluar Bukit Marwa sebelah kanan dan naik bukit sedikit.

– Rumah Siti Khadijah, Isteri pertama Baginda Nabi SAW. Secara mata kasarnya kawasan rumah sudah tiada bangunan fizikal sebaliknya ia ditinggikan oleh pihak Haramain sebagai memberi tanda kawasan. Lokasinya berhadapan dengan Tandas awam di pintu keluar Bukit Marwa sebelah kiri.

– Pintu Nabi Muhammad SAW. Pintu ini terletak di kawasan Bukit Safa. Pintu ini ditutup dan perhatikan satu satu pintu yang ada sepanjang Masaa (tempat laksana Saie). Pintu ini ialah pintu Nabi SAW akan lalui jika ingin ke Kaabah.

Kawasan lain :

– Masjid Jin (google map boleh jumpa)

– Makam Maala, tempat semadi Siti Khadijah RA dan sahabat Nabi SAW yang lain. Ada van akan bawa kita terus ke makam yang ada dipintu masuk makam.

– Jabal Nur dan Gua Hira’. Disarankan naik malam atau awal pagi. Tak larat jangan gigih naik.

– Jabal Thur. Dah cantik tempat ni dan tak larat jangan naik sekadar tahu dan bergambar dengan signboard yang telah di bina oleh pihak Haramain.

– Mina. Yang ini kita boleh turun dan boleh bergambar dengan khemah yang ada.

– Jamrah. Sebelah Mina. Kawasan Jamrah ditutup dan cuma dibuka masa musim haji sahaja.

– Mudzalifah.

– Masjid Namira. Masjid ini dibuka semasa hari Wukuf di Arafah sahaja. Masjid ini menjadi tanda ketika Hajatul Wada’ Nabi SAW, Baginda menyampaikan khutbah Arafah disini.

– Jabal Rahmah. Nabi SAW tak pernah daki bukit ini. Dan tiada nas kukuh yang Nabi Adam dan Hawa bertemu disini. Tetapi kita boleh daki Jabal Rahmah untuk saksikan keseluruhan dan keluasan Padang Arafah dari puncak Jabal. Ambil peluang untuk beli aiskrim disini.

– Hudaibiyah. Tempat berlaku perjanjian Hudaibiyah. Ia berada di Tanah Halal dan jemaah yang nak laksana umrah lagi setelah selesai umrah wajib, boleh berniat umrah ihram disini.

– Muzium Dua Tanah Haram. Kalau weekdays Ahad hingga Khamis, muzium ini dibuka. Kawasannya berhampiran dengan Hudaybiyah. Pelbagai tinggalan binaan Masjidil Haram ada sini yang berusia ratusan tahun.

Ini yang wajib dilawati, ada tambahan itu ikut mutawif. Dan bakal jemaah boleh buat aduan pada agensi atau pada pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) jika mereka tak buat semua ni atau tak lawati semua tempat ini.

Kena tahu hak anda. Ibadah tetap ibadah dan amanah tetap kena laksana.

Ingatan pada diri saya juga (saya bukan mutawif)

Tulisan : Muhammad Amran

Gambar dibawah ialah Rumah Kelahiran Nabi Muhammad SAW berhampiran Masjidil Haram.