Ini adalah himpunan lengkap bacaan Selawat Nabi Muhammad.

Panduan ini disediakan secara lengkap dan tersusun untuk memudahkan anda membaca selawat yang ingin dipelajari.

Semoga panduan ini dapat membantu anda berselawat dengan sempurna.

MAKSUD SELAWAT

Dari Segi Bahasa

Perkataan selawat berasal dari bahasa Arab: الصلوات‎, diambil dari perkataan solat (الصلاة‎) yang bererti doa atau pujian.

Oleh itu, selawat bermakna doa, rahmat daripada Allah, memberi berkat dan ibadah.

Dari Segi Syarak

Mengakui kerasulan Baginda lalu berdoa agar Allah mengurniakan keutamaan dan kemuliaan ke atas Baginda SAW. Selawat itu berkait rapat dengan konsep iman dan Islam sesuai dengan firmat Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi SAW. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi SAW dan ucapkanlah salam penghormatan ke atasnya dengan sebenar-benarnya.– Surah al-Ahzab ayat 56

Kesimpulannya, berselawat itu ada perbezaan takrifannya. Jika daripada Allah (terhadap hambaNya yang beriman) bererti memberi rahmat.

Jika daripada malaikat bererti meminta keampunan Allah dan jika daripada orang beriman bererti doa kesejahteraan seperti:

Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad SAW.

HUKUM SELAWAT

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya.

Antaranya:

  1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
  2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
  3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
  4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Bacaan Selawat Nabi Muhammad SAW

Berbagai-bagai jenis selawat telah dinukilkan sejak zaman Nabi SAW dan para sahabat.

Ia telah menjadi amalan para solihin, alim ulama serta orang-orang yang hatinya sentiasa terpaut kepada Allah dan RasulNya.

Berikut ini diutarakan beberapa jenis selawat yang masyhur dan diamalkan secara meluas sejak zaman-berzaman:

Selawat Ibrahimiah (Selawat Paling Afdal)

Terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi SAW telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA.

Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.

Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:

Maksudnya:

Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawapan kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda.