BUKIT UHUD YANG DICINTAI NABI SAW & ZIARAH MAQAM SYUHADA

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Hati sangat sayu dan dipenuhi rasa syukur apabila direzekikan Allah SWT untuk berada di bukit yang dicintai Rasulullah SAW iaitu Bukit Uhud. Di sinilah berlaku pelbagai peristiwa yang memberi kesan kepada kehidupan Baginda SAW dan umat Islam seluruhnya.

Saidina Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah bukit Uhud:

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا

Maksudnya: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah, sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

Dan terdapat kisah menarik tentang bukit Uhud yang pernah bergoncang ketika Rasulullah mendakinya. Daripada Anas bin Malik r.a.:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ فَقَالَ اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ

Maksudnya: “Nabi SAW mendaki Jabal (Gunung) Uhud, diikuti oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman. Lalu gunung Uhud itu bergetar. Maka baginda bersabda: Tenanglah wahai Uhud, kerana di atasmu sekarang ada Nabi, As-Siddiq (orang yang jujur, iaitu Abu Bakar) dan dua orang syahid (iaitu Umar dan Uthman).”

(HR Bukhari, hadis sahih)

PEPERANGAN UHUD YANG MEMBERI PENGAJARAN

Firman Allah SWT:

اِنْ يَّمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهٗ ۗوَتِلْكَ الْاَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِۚ وَلِيَعْلَمَ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاۤءَ ۗوَاللّٰهُ لَا يُحِبُّ الظّٰلِمِيْنَۙ

Maksudnya: “Jika kamu mendapat luka (pada Perang Uhud), maka mereka pun (pada Perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran), dan agar Allah membezakan orang yang beriman (dengan orang kafir) dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang zalim.”

(Surah Ali Imran: 140)

SubhanAllah, bukit Uhud yang terletak kira-kira 3km dari Masjid Nabawi ini berbeza daripada bukit-bukit di Malaysia. Ia dipenuhi dengan batu-batuan dan tanah yang kering kontang. Bersebelahan bukit Uhud ini, terbina sebuah masjid yang diberi nama Masjid Syuhada’ bersempena 70 orang para syuhada’ yang wafat di dalam peperangan Uhud.

Tuan Puan,

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 atau 11 Syawal tahun ketiga hijrah bersamaan 26 Mac 625 Masihi. Ia berlaku disebabkan dendam kaum kafir Quraisy terhadap orang Islam yang telah mengalahkan mereka ketika Perang Badar dan mengorbankan sebilangan besar tokoh pembesar mereka.

Perang ini dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud. Bukit ini dikatakan panjang sekitar 6km hingga 7km. Panglima tentera Islam di dalam Perang Uhud ialah Nabi Muhamad SAW sendiri, manakala panglima perang bagi tentera Quraisy dan sekutunya pula ialah Abu Sufyan bin Harb.

Perbezaan kekuatan tentera antara kedua pihak sangat berbeza. Kekuatan tentera Islam pada asalnya seramai 1000 orang, namun akibat hasutan Abdullah bin Ubai (ketua munafik), 300 orang tentera telah berpatah balik ke Madinah.

Tentera musyrikin Quraisy pula seramai 3000 orang termasuk 200 tentera berkuda. Allahuakbar. Tak terbayang dek akal kita bagaimana tentera Islam mampu mengalahkan pihak musuh seramai itu.

Namun, mari kita lihat kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyusun strategi peperangan sehingga berjaya menggoyahkan tentera musuh.

Baginda SAW menyusun strategi dengan membahagikan tentera Islam kepada 3 pasukan, iaitu:

1. Pasukan kanan dan kiri ditugaskan berhadapan dengan musuh,

2. Pasukan pemanah pula ditempatkan di atas bukit Uhud bagi melancarkan serangan dari tempat yang tinggi.

Nabi Muhammad SAW telah perintahkan pasukan pemanah supaya tetap berada di atas bukit Uhud walau apa pun terjadi, selagi mana Baginda SAW tidak memberi arahan untuk bersurai.

Semasa peperangan berlaku, tentera kafir Quraisy mula goyah dan ketakutan apabila melihat ramainya tentera Islam yang berada di bukit Uhud. Mereka membuat keputusan untuk mengundur diri dan meninggalkan tempat peperangan. Disebabkan itu, sebahagian tentera pemanah Islam mula turun kerana menyangka peperangan sudah berakhir dan mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh pihak musuh. Tentera Islam yang kekal di Bukit Uhud hanya tinggal seramai 14 atau 15 orang sahaja.

Apabila melihat tentera Islam turun dari Bukit Uhud, Khalid Al-Walid yang pada ketika itu masih belum memeluk Islam bersama tentera berkuda Quraisy mula berpatah balik dengan mengelilingi Bukit Uhud dan menyerang hendap tentera Islam dari arah belakang.

Tentera Islam yang ketika itu tidak bersedia telah dikepung dan menyebabkan keadaan menjadi kucar kacir. Kemudian tersebar khabar angin mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW juga telah terbunuh. Hal ini menyebabkan tentera Islam menjadi semakin lemah walaupun pada hakikatnya Rasulullah SAW berada dalam keadaan selamat kerana dilindungi oleh beberapa orang sahabat.

Para sahabat menggunakan batang tubuh mereka sendiri sebagai benteng bagi melindungi Rasulullah SAW namun Baginda SAW tetap mengalami luka pada bahagian pipi akibat terkena lembing yang dilontar musuh. Gigi baginda juga turut patah ketika itu.

Para sahabat cuba keluarkan besi yang tertusuk ke wajah mulia Rasulullah SAW termasuk Saidina Abu Bakar dan Umar namun gagal. Akhirnya seorang sahabat bernama Abu Ubaidah Al-Jarrah menarik besi tersebut dengan lemah lembut menggunakan gigi gerahamnya. Besi itu berjaya dikeluarkan dengan harga giginya yang patah.

Di celah pertempuran yang sengit itu juga terdapat seorang wanita bernama Nusaibah Binti Kaab. Awalnya beliau sertai peperangan Uhud sebagai pasukan tambahan, menguruskan keperluan tentera Islam seperti memberi air dan menjahit baju perang yang koyak.

Sehinggalah beliau ternampak Rasulullah SAW diserang dan ramai pula sahabat yang gugur syahid, beliau terus mengambil pedang dan baju perisai mereka yang syahid lalu terus mara ke medan perang. Suasana sangat tak terbayang. Hatinya sangat bimbang melihat Rasulullah yang sedang terluka.

Dikatakan kehebatan dan keberaniannya ketika itu mengalahkan kaum lelaki. Satu demi satu musuh berjaya ditumbangkan dengan pedang. Allahuakbar. Seorang wanita seperti kita namun sangat hebat bertempur kerana cinta ingin pertahankan kekasih Allah.

SubhanAllah Allahuakbar.

Terdapat tapak Masjid Faseh, masjid yang dibina oleh tentera Islam semasa perang Uhud berlangsung yang terletak di belakang Bukit Uhud. Di tapak inilah (rujuk gambar) Rasulullah SAW berkumpul dengan para sahabat untuk merancang strategi setelah diserang oleh musuh buat kali kedua.

Dalam peperangan ini, kira-kira 70 orang tentera Islam telah syahid termasuklah bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib r.a. Beliau telah dibunuh oleh seorang hamba bernama Wahsyi. Wahsyi telah merejam lembing lalu terkena tulang rusuk Saidina Hamzah. Selepas peperangan, Hindun telah merentap jantung Saidina Hamzah lalu mengunyahnya kemudian diluahkan semula. Allahuakbar.

Rasulullah SAW berasa amat sedih dan memerintahkan agar semua tentera Islam yang mati syahid dikebumikan dengan pakaian yang mereka pakai ketika berperang. Allahuakbar.

Tuan Puan,

Sejarah Bukit Uhud ini memberi pengajaran yang sangat besar kepada para sahabat dan kita umat Islam seluruhnya tentang kepentingan taat kepada Allah dan Rasul serta ketua yang dilantik. Allah telah memberi amaran kepada orang mukmin sekiranya mereka melanggar perintah Rasul mereka dalam firman-Nya:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “…Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Nur: 63)

Sahabat,

Ketika melihat Bukit Uhud ini, rasa sebak memenuhi hati mengenangkan perjuangan baginda SAW dan para sahabat untuk mempertahankan agama ini. Rasulullah SAW yang mulia bahkan terluka, berdarah dan ramai yang gugur syahid demi menegakkan syiar Islam supaya sampai kepada kita hari ini.

Ayuh sama-sama kita menjiwai sedalam-dalamnya perjuangan mereka dan membuktikan kesyukuran kita kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya semampu mungkin. Andai saja kita sedar dan tahu betapa mahalnya harga sebuah iman nescaya kita akan habiskan masa kita untuk beribadah kepada Allah SWT.

ASMA’ BINTI HARUN

Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/…/2481-bayan-linnas-siri-ke-137…

2. Buku “Nusaibah Srikandi Besi”, karangan Ezee Rahmani

**Sumber : FB Ustazah Asma’ Harun

UTM Open Day