Dalam mengaplikasikan falsafah pengajaran saya iaitu Sentiasa Fleksibel, saya menggunakan beberapa teori pembelajaran untuk bagi melaksanakan aktiviti di dalam kelas. Disebabkan saya mengajar kursus umum dan juga kursus praktikal terdapat dua teori pembelajaran yang banyak digunakan iaitu Behaviourism dan Constructivism.
Behaviourism merupakan satu teori yang melibatkan tindakan yang berulang, pengukuhan secara lisan, dan pemberian insentif kepada pelajar untuk pengurusan tingkah laku mereka. Saya menggunakan teori ini bagi menggalakkan para pelajar untuk sentiasa aktif dan melibatkan diri dalam aktiviti yang dilakukan di dalam kelas supaya dapat memastikan mereka memahami ilmu yang saya cuba sampaikan. Sepanjang dua semester ini, terutama bagi kursus umum yang diambil oleh pelajar Tahun Satu, aktiviti perbincangan merupakan perkara wajib saya jalankan untuk menggalakkan untuk lebih berani ke hadapan sama ada melalui sesi pitching, sesi pembentangan, lakonan, dan sebagainya. Aktiviti ini dilakukan secara berulang dan santai bagi topik-topik tertentu dengan aktiviti yang pelbagai bagi memastikan mereka semakin aktif walaupun mempunyai misi yang sama iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan. Sebagai ganjaran, setiap aktiviti ini didorong dengan markah bonus. Pihak pelajar akan diberitahu tentang ganjaran ini dan diminta untuk mempersembahkan gaya penyampaian dengan baik bagi memperolehi markah bonus tersebut.
Manakala, Constructivism pula ialah melibatkan pembelajaran berasakan masalah, penyelidikan, dan projek kreatif serta kolaborasi berkumpulan. Bagi subjek amali yang diajar, saya meletakkan pelajar dalam kumpulan atau secara berpasangan bagi menyiapkan tugasan praktikal yang diberikan seperti membina tembok berdasarkan jenis-jenis ikatan bata yang terlibat atau melakukan pemotongan dan penyambungan paip. Aktiviti ini dijalankan hampir setiap minggu selepas tiga minggu kelas teori dilaksanakan, dan di hujung sesi pembelajaran pelajar wajib membuat satu aktiviti kemasyarakatan kecil-kecilan untuk mempraktikkan kembali aktiviti yang dilakukan pada minggu-minggu sebelumnya sebagai contoh membina ruang penyimpanan pasir bagi kelas amali bata. Manakala bagi pelajar kerja perpaipan, pelajar akan diminta untuk membina satu saliran paip sementara berdasarkan keperluan. Walau bagaimanapun, aktiviti kemasyarakatan ini adalah pelbagai bergantung kepada keperluan dan permintaan.
Selain dari kelas amali, teori constructivism turut saya aplikasikan dalam kursus umum. Bagi semester lepas, saya meminta pelajar untuk menghasilkan satu kajian mini berdasarkan tema yang diberikan iaitu tentang Revolusi Industri 4.0. Hasil dari tema ini, pelajar perlu melakukan pembacaan dan mencari isu yang berlegar dalam tema tersebut dan menghasilkan satu kajian kes bagi memenuhi PLO Kemahiran Kesarjanaan. Seterusnya, mereka membentuk kumpulan untuk memilih isu yang kukuh untuk dikaji dan menghasilkan proposal kajian mini bagi memenuhi PLO Kemahiran Berfikir. Lanjutan dari itu, mereka akan melakukan sesi pitching untuk menjustifikasi isu yang dipilih sebagai sebahagian PLO Kemahiran Keusahawanan. Kajian mini berlangsung secara berterusan sehingga analisa kajian mini bagi memenuhi PLO Kemahiran Kepimpinan dan Berkumpulan. Di akhir kursus, pelajar menghasilkan satu laporan kajian mini berbentuk manuskrip dan pembentangan bagi memenuhi PLO Kemahiran Keusahawanan. Sebagai seorang yang mempraktikan fleksibiliti, aktiviti ini bukanlah sesuatu yang tetap kerana pada semester sebelumnya kaedah lain turut dijalankan seperti menghasilkan satu kertas kerja dan sebaganya, perubahan jenis tugasan yang diberikan adalah bergantung kepada keadaan pelajar dengan memastikan PLO dan CLO yang digariskan dalam Maklumat Kursus (CI) dipenuhi dan dicapai dengan jayanya sekali gus pelajar mendapat pengetahuan yang diperlukan oleh kursus.
BC4DCP k1 2020