Kepimpinan melalui Teladan

27 Ogos 2020

Pendedahan kepada elemen kepimpinan merupakan langkah yang terbaik dalam menerapkan keyakinan dan keinginan untuk terus cemerlang di dalam kerjaya yang dilakukan. Pada modul kali ini, Dr. Sharifah telah menerangkan sifat-sifat kepimpinan yang perlu ada dalam diri seorang pensyarah. Di awal modul, Dr. Sharifah menceritakan tentang sifat kepimpinan Naib Canselor Pertama UTM, Tan Sri Ainuddin Wahid dengan merujuk buku bibliografi beliau. Tan Sri Ainuddin menginginkan pelajarnya menjadi insan yang lebih bagus daripadanya dan menjadi seorang jurutera yang berkemahiran apabila keluar dari institusi pengajian. Sifat kepimpinan ini sememangnya sifat yang sangat mulia kerana keikhlasan seorang pensyarah dalam mendidik dan menjalankan amanah yang diberikan dengan menginginkan yang hasil yang terbaik daripada anak didiknya.

Kemudian, kami diterangkan pula dengan kepimpinan jenis operasi dan strategik. Penggunaan mentimeter dalam berkongsi pendapat sangat berguna kerana dapat melihat kepelbagaian idea dan kefahaman para pensyarah muda tentang kedua-dua jenis kepimpinan ini. Saya secara personal lebih mendorong kepada jenis kepimpinan strategik di mana bagi kefahaman saya tentang kemahiran ini, kepimpina strategik memerlukan seseorang dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan pada masa yang sama masih menyasarkan untuk memenuhi misi yang digariskan. Dalam tugasan sebelum ini yang mana kami diminta untuk menceritakan tentang falsafah pengajaran, saya merasakan sebagai seorang yang sentiasa fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran kerana merasa lebih dekat dengan pelajar dan mudah memahami mereka, kepimpinan strategik adalah sebahagian dari unsur yang menggerakkan aktiviti dan menjayakan persekitaran kelas dengan lebih baik dan positif. Kepimpinan strategik adalah melibatkan pemimpin (dalam ruang lingkup ini adalah pemimpin dalam kelas sebagai pensyarah) untuk merancang dan memastikan perancangan aktivtiti pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lancar dan pelajar dapat menerima dan memahami ilmu yang disampaikan.

Selepas rehat, Dr. Sharifah menjalankan aktiviti santai dengan membahagia kumpulan bagi menguji pengetahuan dan daya pemikiran pensyarah muda dengan beberapa aktivti. Saya bersama Dr. Razman dan Dr. Mazlin diarahkan untuk ke stesen-stesen yang menguji pengetahuan yang pelbagai antaranya kenegaraan, DNA UTM, pentadbiran UTM, dan deria. Tujuan aktiviti ini dilakukan adalah untuk melihat kemahiran kerja berkumpulan, persepakatan, percambahan fikiran, dan perbincangan antara ahli kumpulan. Bagi saya, aktiviti ini membuka ruang dan peluang untuk berkenalan dengan pensyarah lain dengan lebih dekat selain menjalankan pembelajaran secara aktif yang boleh diambil contoh bagi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk semester hadapan. Setelah aktiviti ini selesai, kami diberi tugasan untuk menemu bual pemimpin dalam kelangan pentadbir di UTM. Saya, Dr. Razman, dan Dr. Mazlin diberi tugasan untuk menemu bual Prof. Dr. Shahrin Mohammad, Pro-Naib Canselor (Strategi) UTM. Aktiviti yang bermula seawal jam 2 petang untuk ke Bangunan Canselori Sultan Ibrahim kemudian mengadakan persediaan dan perbincangan ringkas sebelum masuk ke pejabat Prof. Shahrin pada jam 2:15 petang.

Pelbagai input dikongsikan oleh Prof. Shahrin semasa sesi temu bual berjalan. Antara soalan tambahan lain yang ditanya adalah bagaimana Prof. mentabilkan antara kehidupan dan kerjaya, cabaran yang ditempuhi dalam pembelajaran dan pekerjaan, model peranan sebagai contoh pemangkin kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya dan sebagainya. Hasil dari temubual ini, saya selaku wakil kumpulan diminta untuk mebentangkan hasil temu bual. Perkongsian yang dilakukan di dalam dewan mengambil masa hampir 10 minit. Riak wajah rakan-rakan pensyarah muda ini semasa saya membentangkan hasil temu bual memperlihatkan kekaguman mereka terhadap sifat kepimpinan Prof. Shahrin. Moto Prof. Shahrin “your satisfaction is my pleasure” sangat memperlihatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang strategik sesuai dengan tanggungjawab beliau dalam menyusun strategi bagi pembangunan UTM. Akhir kata, aktivti sebegini (berjumpa dengan pensayarah yang berpengalaman dalam bidang tertentu seperti pengajaran, penyelidikan, kepimpinan, dan sebagainya) harus dilakukan dengan lebih kerap kerana sangat membantu pensyarah muda untuk mendapatkan nilai dan contoh tauladan dari individu yang berpengalaman selain hanya menumpukan kepada tugasan seperti pelajar.

BC4DCP k1 2020

About m.izzuan

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar (Dr. Ezi) merupakan seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor. Mempunyai kelulusan dalam Sains Pembinaan (B.Sc) dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (M.Ed, Ph.D). Antara kajian dan penyelidikan yang pernah dilakukan adalah tentang laluan kerjaya graduan Sarjana Muda Sains Pembinaan UTM, sifat kepimpinan guru pelatih (pelajar yang telah menjalani latihan mengajar) daripada kursus-kursus di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan dan menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari. Melalui kajian dan penyelidikan ini, beberapa artikel telah berjaya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu. Beberapa artikel dan kajian juga bakal diusahakan dalam masa terdekat dalam memenuhi hasrat Wawasan 2020 (azam peribadi). Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dinyatakan, Dr. Ezi cenderung dalam menghasilkan sesuatu yang dapat membantu dan menjadi panduan individu dalam memperbaiki kerjaya mereka terutama kerjaya berkaitan Pendidikan Teknik dan Vokasional. Di usia bawah 30-an, Dr. Ezi berusaha untuk terus mencari ruang dan peluang dalam menambahbaik dan memperbaiki kualiti diri sebagai seorang penasihat, pembimbing, penyelia, pengajar dan pendidik. Dengan moto hidup, JUST GO WITH THE FLOW, Dr. Ezi merupakan seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berwaspada serta positif dalam menempuhi kehidupan yang tidak tahu bila pengakhirannya. Usaha, reda, tawakal, restu ibu bapa, dan sebagainya menjadi kunci kehidupan seorang pensyarah di usia muda. Jauhi pengaruh-pengaruh negatif yang bakal memberi tekanan pada diri.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.