PERMOHONAN LATIHAN INDUSTRI SESI 2022/2023, SEMESTER 3 BAGI SEKOLAH PENDIDIKAN, FAKULTI SAINS SOSIAL & KEMANUSIAAN, UTM.

Latihan Industri merupakan penempatan mahasiswa di Industri/ Organisasi Luar agar mereka dapat mempraktikkan pengetahuan secara teori kepada amalan dalam bidang kerjaya mereka sebelum dianugerahkan ijazah sarjana muda. Mahasiswa akan didedahkan dengan aspek sosial, interaksi, budaya, dan proses kerja di alam pekerjaan. Semua mahasiswa peringkat Sarjana Muda di UTM termasuk program Pendidikan diwajibkan menjalani Latihan Industri bagi satu tempoh yang ditetapkan kecuali mereka yang telah memperoleh pengecualian kredit Latihan Industri yang dipersetujui pihak Fakulti. Bagi Sekolah Pendidikan, tempoh Latihan Industri yang dilaksana mengambil masa 8 hingga 10 minggu yang berlangsung sepanjang semester 3 setiap sesi pengajian.

UTM menyatakan matlamat Latihan Industri adalah bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mahasiswa dalam kerjaya masing-masing di samping berusaha ke arah melahirkan graduan yang berketerampilan, kreatif, dan berwibawa. Pihak Jawatankuasa Latihan Praktik Sekolah Pendidikan turut mendukung objektif Latihan Industri yang digariskan oleh UTM selari dengan pembudayaan nilai teras Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan iaitu Integrity, Synergy, Excellence, Sustanability, dan Sprituality (ISESS) antaranya melatih mahasiswa menyediakan laporan teknikal berkaitan dengan Latihan Industri yang dijalankan (I); membina rangkaian antara universiti dengan industri (S); mendedahkan mahasiswa kepada suasana persekitaran dan kerja dalam bidang masing-masing (E); membantu pembelajaran mahasiswa seterusnya di universiti (S); serta menghayati nilai etika profesyen masing-masing (S).

Selain itu, terdapat beberapa lagi objektif yang digariskan oleh UTM bagi memastikan mahasiswa yang menjalani Latihan Industri akan lebih bersedia dengan suasana kerja yang bakal diceburi. Dalam memastikan mahasiswa memperoleh tempat latihan yang sesuai dan berupaya memberi nilai tambah kepada mereka, terdapat proses pendaftaran Latihan Industri yang perlu dilalui oleh mereka. Namun, disebabkan oleh Sistem Latihan Industri UTM (ITS UTM) masih dalam proses penambahbaikkan, maka proses permohonan dan pendaftaran bagi Latihan Industri Sekolah Pendidikan sesi 2022/2023, semester 3 akan berlangsung secara manual. Berdasarkan penerangan ini, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh mahasiswa sebelum mereka boleh menjalani Latihan Industri, iaitu:

  1. Mengenalpasti syarikat/industri yang sesuai berdasarkan senarai yang diberikan di Senarai Syarikat
  2. Sekiranya mahasiswa mempunyai syarikat/industri selain dari senarai yang diberikan dan pihak syarikat/industri telah bersetuju untuk menempatkan pelajar di sana, mahasiswa perlu memberikan Borang Pendaftaran Syarikat kepada syarikat/industri yang dipilih untuk diisi oleh mereka
  3. Mahasiswa WAJIB menghubungi pihak syarikat/industri terlebih dahulu untuk bertanyakan status pengambilan pelatih Latihan Industri dan kekosongan tempat sebelum membuat permohonan Latihan Industri
  4. Seterusnya, pelajar perlu mengisi Google Form Permohonan Latihan Industri Sesi 2022/2023, Semester 3
  5. Jangan lupa untuk memuatnaik Borang Pendaftaran Syarikat yang telah diisi oleh syarikat/industri (sekiranya ada)
  6. Penyelaras kemudian akan menilai dan menghantar permohonan sekali lagi kepada pihak syarikat/industri bagi tujuan pengesahan penerimaan penempatan Latihan Industri
  7. Akhir sekali, penyelaras akan memaklumkan status permohonan dan penempatan menerusi emel kepada mahasiswa

Sehubungan dengan Latihan Industri ini juga, pihak UTM CC telah bekerjasama dengan pihak TalentCorp untuk menyediakan peluang Latihan Industri berelaun minimum sebanyak RM600 menerusi pengisian maklumat di MyNext | Talent. Akan tetapi, mahasiswa masih perlu mengisi permohonan seperti proses di atas. Selain permohonan untuk Latihan Industri, ruangan MyNext | Talent juga membolehkan pelajar mencari pekerjaan selepas tamat pengajian. Bagi Latihan Industri sesi 2022/2023, semester 3 akan berlangsung selama 10 minggu iaitu dari 31 Julai 2023 sehingga 6 Oktober 2023 dan tempat pelaksanaan Latihan Industri adalah di dalam Negeri Johor sahaja.

Penyelaras Latihan Industri Sekolah Pendidikan,

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar

About m.izzuan

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar (Dr. Ezi) merupakan seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor. Mempunyai kelulusan dalam Sains Pembinaan (B.Sc) dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (M.Ed, Ph.D). Antara kajian dan penyelidikan yang pernah dilakukan adalah tentang laluan kerjaya graduan Sarjana Muda Sains Pembinaan UTM, sifat kepimpinan guru pelatih (pelajar yang telah menjalani latihan mengajar) daripada kursus-kursus di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan dan menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari. Melalui kajian dan penyelidikan ini, beberapa artikel telah berjaya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu. Beberapa artikel dan kajian juga bakal diusahakan dalam masa terdekat dalam memenuhi hasrat Wawasan 2020 (azam peribadi). Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dinyatakan, Dr. Ezi cenderung dalam menghasilkan sesuatu yang dapat membantu dan menjadi panduan individu dalam memperbaiki kerjaya mereka terutama kerjaya berkaitan Pendidikan Teknik dan Vokasional. Di usia bawah 30-an, Dr. Ezi berusaha untuk terus mencari ruang dan peluang dalam menambahbaik dan memperbaiki kualiti diri sebagai seorang penasihat, pembimbing, penyelia, pengajar dan pendidik. Dengan moto hidup, JUST GO WITH THE FLOW, Dr. Ezi merupakan seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berwaspada serta positif dalam menempuhi kehidupan yang tidak tahu bila pengakhirannya. Usaha, reda, tawakal, restu ibu bapa, dan sebagainya menjadi kunci kehidupan seorang pensyarah di usia muda. Jauhi pengaruh-pengaruh negatif yang bakal memberi tekanan pada diri.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.