ESES’24 PLATFORM PELAJAR PENDIDIKAN TVET MENIMBA ILMU SENI BINA

Johor Bahru, 14 Jan – Panel Pendidikan Kejuruteraan Awam di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan sebuah program bagi memenuhi keperluan kursus SHPE 3032 Lukisan Bangunan.

Program ini telah disertai oleh pelajar Tahun 4 Pendidikan Binaan Bangunan (SHPQH) dan pelajar Tahun 2 Pendidikan Kejuruteraan Awam (SHPAH) yang bertujuan untuk mengembangkan budaya ilmu dan perkongsian antara pelajar, industri, dan pakar bidang berkaitan reka bentuk dan konsep pembinaan bangunan. Buat julung kalinya juga, program ini telah disertai oleh pelajar Tahun 3 Pendidikan Binaan Bangunan (SHPQH) yang mengambil kursus SEAA 3122 Teknologi Pembinaan dan Taksiran.

Pameran poster cadangan pembinaan kediaman banglo bersama pelajar Tahun 2 SHPAH dan Tahun 4 SHPQH

Penganjuran program Expert Sharing and Exhibition Showcase 2024 (ESES’24) ini merupakan penganjuran kali kedua selepas pertama kali dilaksanakan pada Jun 2022 yang lalu. Selain menjadi platform kepada pemerkasaan kemahiran refleksi dan mempamerkan kemahiran media dalam menzahirkan idea dan saranan, hasil kerja pelajar-pelajar turut dinilai melalui pendekatan pelajaran berasaskan projek dan masalah.

Bagi penganjuran kali ini, program telah dikendalikan oleh Pensyarah Kursus SHPE 3032, Dr. Mohamad Izzuan Bin Mohd Ishar di bawah koordinasi Penyelaras Program Pendidikan Binaan Bangunan/ Kejuruteraan Awam, Dr. Muhamad Afzamiman Bin Aripin.

“Thumbs-up” daripada Pengendali Program ESES’24, Dr. Mohamad Izzuan Bin Mohd Ishar setelah tamat sesi perkongsian

Intipati utama program ESES’24 adalah melibatkan pameran dan penialain poster hasil kerja pelajar bagi kursus SHPE 3032 Lukisan Bangunan selama hampir satu semester bagi menghasilkan sebuah kertas cadangan pembinaan sebuah kediaman banglo dengan reka bentuk dan idea yang bertemakan “Konsep”.

Sesi penilaian poster yang dijalankan oleh En. Mohd Salehudin bersama pelajar

 Sejumlah 18 kumpulan pelajar yang terdiri daripada Tahun 2 dan 4 telah mempamerkan idea masing-masing dengan pelbagai konsep yang diterapkan antaranya kesenian, futuristik, sejarah, budaya, dan sebagainya.

Dalam debaran proses penilaian poster yang dihasilkan, sebuah sesi perkongsian berkaitan kursus telah diadakan pada slot pertama program. Perkongsian bertajuk “Reka Bentuk lwn. Struktur” telah disampaikan oleh En. Mohd Salehudin Bin Marji yang merupakan pelajar program Doktor Falsafah TVET dan graduan Sarjana Muda Sains Arkitektur yang pernah menjadi Koordinator Seni Bina di beberapa buah projek pembinaan sekitar kawasan Iskandar Puteri, Johor.

Sesi perkongsian yang dijalankan pada slot pertama program ESES’24 berkaitan “Reka Bentuk lwn. Struktur” sebelum sesi penilaian berlangsung

Program ESES yang dilihamkan bagi perkongsian pengetahuan dan penilaian hasil kerja pelajar yang mengambil kursus SHPE 3032 Lukisan Bangunan yang mengetengahkan bidang Seni Bina telah diserikan dengan penyertaan pelajar yang mengambil kursus SEAA 3122 Teknologi Pembinaan dan Taksiran.

Pada program kali ini, penyertaan pelajar Tahun 3 adalah sebagai peserta jemputan bagi mempamerkan poster berkaitan tugasan kajian kes yang dilakukan mereka. Penglibatan pelajar ini sedikit sebanyak memperkayakan lagi ilmu dan pengetahuan berkaitan reka bentuk dan kepentingan struktur dalam mengolah idea dan membina sesebuah bangunan.

Seramai 50 orang pelajar terlibat dalam program ESES’24 yang terdiri daripada pelajar Tahun 2, Tahun 3, dan Tahun 4 program Pendidikan Binaan Bangunan/ Kejuruteraan Awam, Sekolah Pendidikan, FSSH UTM

Penganjuran program ini diharap memberi manfaat kepada pelajar-pelajar pendidikan TVET khasnya di bawah Program Pendidikan Binaan Bangunan/ Kejuruteraan Awam dalam menimba ilmu dan Kemahiran, selain mengasah penggunaan teknologi yang bakal digunakan semula semasa di industri dan di sekolah selepas menamatkan pengajian kelak.

About m.izzuan

Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar (Dr. Ezi) merupakan seorang pensyarah kanan dari Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor. Mempunyai kelulusan dalam Sains Pembinaan (B.Sc) dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (M.Ed, Ph.D). Antara kajian dan penyelidikan yang pernah dilakukan adalah tentang laluan kerjaya graduan Sarjana Muda Sains Pembinaan UTM, sifat kepimpinan guru pelatih (pelajar yang telah menjalani latihan mengajar) daripada kursus-kursus di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan dan menghasilkan Kerangka Keusahawanan Kulinari. Melalui kajian dan penyelidikan ini, beberapa artikel telah berjaya diterbitkan di dalam Bahasa Melayu. Beberapa artikel dan kajian juga bakal diusahakan dalam masa terdekat dalam memenuhi hasrat Wawasan 2020 (azam peribadi). Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang dinyatakan, Dr. Ezi cenderung dalam menghasilkan sesuatu yang dapat membantu dan menjadi panduan individu dalam memperbaiki kerjaya mereka terutama kerjaya berkaitan Pendidikan Teknik dan Vokasional. Di usia bawah 30-an, Dr. Ezi berusaha untuk terus mencari ruang dan peluang dalam menambahbaik dan memperbaiki kualiti diri sebagai seorang penasihat, pembimbing, penyelia, pengajar dan pendidik. Dengan moto hidup, JUST GO WITH THE FLOW, Dr. Ezi merupakan seorang yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berwaspada serta positif dalam menempuhi kehidupan yang tidak tahu bila pengakhirannya. Usaha, reda, tawakal, restu ibu bapa, dan sebagainya menjadi kunci kehidupan seorang pensyarah di usia muda. Jauhi pengaruh-pengaruh negatif yang bakal memberi tekanan pada diri.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *