PESERTA BENGKEL PENULISAN KOMITED UNTUK HASILKAN 300 KANDUNGAN DALAM PEOPLE@UTM

https://news.utm.my/ms/2020/08/peserta-bengkel-penulisan-komited-untuk-hasilkan-300-kandungan-dalam-peopleutm/

JOHOR BAHRU – UTM Talent Transformation Centre (UTM TTC) telah menganjurkan bengkel penulisan bukan akademik (copywriting, rencana, buletin, laman web dan blog) yang bertempat di Pusat Latihan UTM (PULAU) pada 12 dan 13 Ogos 2020.

Bengkel ini dikendalikan oleh penulis prolifik, Dr. Zulkifli Khair yang juga pensyarah kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM dan dihadiri oleh 13 orang peserta bukan akademik yang terdiri daripada pelbagai gred jawatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Semasa bengkel, peserta diberikan pendedahan tentang perkembangan sebenar dunia penulisan bukan ilmiah dan berpeluang menzahirkan tulisan masing-masing dengan beberapa kaedah mengikut jenis penulisan.

Pada akhir program, peserta telah komited untuk menyediakan sekurang-kurangnya 300 kandungan di laman web People@UTM bagi membantu meningkatkan visibiliti UTM di peringkat global, sekali gus mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari.

Sempena bulan kebangsaan yang bertemakan Malaysia Prihatin, semua peserta digalakkan untuk menaikkan posting bertemakan UTM dan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang tulen.

Semoga ‘ikrar’ tersebut juga dapat menjadi titik tolak bagi membudayakan penulisan dalam kalangan warga UTM. Budaya menulis ini seharusnya tidak sahaja tertumpu kepada staf akademik bahkan kepada semua staf. Ramai yang mungkin mempunyai bakat terpendam, mampu menghasilkan penulisan yang bermanfaat.

Disediakan oleh: Mohd Fadhzir Ahmad Kamaroddin, Noorshimah Ahad, Azura Abu Bakar dan Siti Aishah Rahman

Gambar 1: Gambar berkumpulan bersama dengan penceramah, Dr. Zulkifli Khair

Gambar 2: Dr. Zulkifili menerangkan kepada peserta tentang kepelbagaian penulisan bukan ilmiah yang memerlukan kreativiti dan gaya penulisan yang versatil