Jiwa Akademik

with No Comments

Institusi pendidikan merupakan sebuah institusi penting yang bertanggungjawab melahirkan generasi yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Justeru itu, semua ahli atau kakitangan yang terdapat dalam sesebuah institusi pendidikan seharusnya memberikan contoh dan peranan yang terbaik kepada generasi muda agar matlamat falsafah pendidikan kebangsaan berjaya dicapai. Matlamat tersebut ialah untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, tingkahlaku, emosi dan jasmani. Usaha tersebut dilakukan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mensejahterakan diri dan memberi sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara.

Meskipun begitu, pada hari ini ramai yang mula mempersoalkan dan menyuarakan kebimbangan terhadap matlamat institusi-institusi pendidikan yang agak terkeluar daripada matlamat asal pendidikan. Hal ini kerana kebanyakan institusi pendidikan mula menumpukan aspek mencari sumber kewangan dan keuntungan berbanding kualiti pendidikan dan kemaslahatan pelajar. Ianya menyebabkan ahli akademik semakin kurang menumpukan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran sebaliknya lebih memfokuskan kepada pemerolehan geran penyelidikan, pengkomersialan dan lain-lain tugas yang boleh memberikan keuntungan kepada universiti secara tidak langsung. Tidak dinafikan bahawa perubahan revolusi industri global sedikit sebanyak menyumbang kepada perubahan ini. Walaupun begitu, sekiranya ahli akademik mempunyai jiwa akademik, perubahan ini tidak akan memberi impak negatif kepada proses pengajaran dan pembelajaran kerana ahli akademik tersebut sentiasa faham dengan matlamat utama pendidikan.

Setelah menghadiri kursus BC4DCP dengan slot Soul of Academia saya sebagai salah seorang ahli akademik yang baru dilantik semakin menyedari akan pentingnya konsep jiwa akademik. Dalam usaha untuk menerapkan jiwa akademik, perkara pertama yang saya telah lakukan ialah memperbaiki niat, tujuan dan falsafah pendidikan yang menjadi pegangan saya sepanjang kehidupan sebagai ahli akademik. Ianya dilakukan untuk menyempurnakan peranan dan tanggungjawab saya sebagai seorang ahli akademik dalam melaksanakan sebarang usaha untuk mencapai matlamat pendidikan negara. Pada dasarnya, falsafah pengajaran saya adalah berpusatkan pelajar dengan pelaksanaan pengajaran secara progresif dan pragmatis dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Saya berpendapat bahawa seseorang ahli akademik perlu menerapkan hati dan jiwanya dengan keikhlasan dan kesungguhan dalam mendidik pelajar. Hal ini kerana dengan cara yang demikian ilmu yang disampaikan akan diberkati dan dirahmati oleh yang maha pencipta, seterusnya ilmu tersebut memberi manfaat berguna kepada pelajar dalam kehidupan mereka yang mendatang. Saya sendiri sebagai seorang bekas pelajar memahami keperluan sebagai seorang pelajar iaitu ilmu yang bermanfaat yang boleh digunakan atau diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Justeru itu, pelajar sentiasa memerlukan pendidik atau guru yang betul-betul memahami keperluan mereka dan ikhlas dalam mendidik mereka. Sebagai seorang ahli akademik, saya akan berusaha memupuk pembelajaran maksimum dan memenuhi keperluan setiap pelajar melalui kaedah pembelajaran aktif. Saya percaya kaedah tersebut boleh menjadi pemangkin dalam membina suasana pembelajaran yang positif dan berkesan.

Saya bagi pihak pengajar akan melakukan yang terbaik dalam membantu pelajar meningkatkan pengetahuan holistik dan pemahaman mengenai bidang yang dipelajari dan menerapkan pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Secara peribadinya, saya suka memahami keunikan setiap pelajar dan membantu mengembangkan potensi dalam diri mereka untuk kebaikan mereka sendiri. Keunikan yang ada pada setiap pelajar berserta dengan keinginan untuk melihat generasi akan datang yang lebih baik daripada generasi sekarang merupakan sumber motivasi yang memenuhi jiwa akademik saya.

Secara kesimpulannya, saya merasakan bahawa institusi pendidikan seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada pelajar dan menjadi institusi yang terbaik dalam kebanyakan institusi-institusi dalam sesebuah negara. Dalam memenuhi hasrat tersebut, saya akan berusaha membantu menaikkan martabat universiti melalui penghasilan graduan minda kelas pertama serta penerokaan ilmu-ilmu yang bermanfaat melalui penyelidikan-penyelidikan yang saintifik.  Meskipun saya hanya terpilih untuk berkhidmat di universiti ini tanpa pilihan yang lain, namun saya percaya bahawa keberadaan saya di sini memang sudah ditentukan oleh yang maha pencipta. Justeru itu, saya menerima keadaan ini dengan hati yang ikhlas dengan menganggap ianya sebagai suatu rahmat dalam hidup saya. Kerjaya sebagai seorang pendidik telah menjadi antara sumber kegembiraan dan keistimewaan yang besar buat saya kerana berpeluang untuk memberi kesan positif kepada kehidupan pelajar. Saya sangat bersyukur kehadrat ilahi di atas peluang yang diberikan untuk saya memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara yang tercinta ini.

Pelangi petang terbit di barat,

Kemboja tumbuh di tepi paya,

Tugas pendidik sangatlah berat,

Membina generasi muda berjaya.

Pipit bersiul bagaikan puisi,

Terbang tinggi si burung helang,

Pendidik wibawa sumber inspirasi,

Menjadi dasar institusi cemerlang.

Leave a Reply