Setelah revolusi Mesir yang berlaku pada tahun 2011 dan perlantikan Mohammad Morsi sebagai presiden pada tahun 2012 sehinggalah beliau di jatuhkan oleh tentera sehingga berlaku peristiwa kejam, pembunuhan di dataran Rabia, Mesir seakan hilang daripada lensa masyarakat dunia, terutamanya dunia Islam.
Seolah, pasrah dengan apa yang berlaku di Mesir, tidak banyak isu-isu yang terkini yang dapat di “highlightkan” selain daripada berita mengenai bekas Presiden, Mohammad Morsiserta pengikutnya yang dihukum oleh pemerintah al-Sisi. Tidak kurang juga berita mengenai pembebasan Hosni Mubarak yang bebas daripada kesalahan yang dituduh ke atasnya.
Namun, apa yang lebih menarik adalah mengenai general al-Sisi dan kelangsungan beliau untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai Presiden Mesir serta memulihkan keadaan ekonomi Mesir yang semakin parah. Secara rasminya, telah 3 tahun general al-Sisi menjadi Presiden Mesir semenjak beliau memenangi pilihan raya pada March 2014 dan mengangkat sumpah pada Jun tahun yang sama.
Sejak itu, beliau berhadapan dengan pelbagai masalah untuk memulihkan semula ekonomi Mesir selain sistem sosial dan kesalamatan di Mesir setelah melalui tempoh revolusi rakyat yang beliau berjaya menggagalkannya. Namun, tempoh 3 tahun ini merupakan tempoh yang sangat sukar buat al-Sisi.
General al-Sisi bermasalah mendapat dana untuk membangunkan Mesir. Walaupun beliau berjaya mendapat dana daripada sebahagian negara Arab Teluk, seperti UAE dan Saudi, tetapi itu belum cukup meyakinkan beliau untuk membangunkan Mesir. Beliau cuba mendapatkan bantuan daripada Cina, tetapi ini masih gagal. Cina dilihat kurang berminat dengan Mesir lantaran keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
Untuk rekod, kadar pengangguran di Mesir sangat tinggi iaitu sekitar 40%. Boleh dikatakan hampir setiap graduan yang tamat pengajian di Universiti tidak memporoleh pekerjaan di Mesir. Lebih teruk lagi, kadar infalsi di Mesir meningkat sehingga 14% dan nilai matawang pound Mesir jatuh sehingga EGP 20 untuk US$ 1. Sebelum ini EGP di tambat pada EGP8 untuk US$ 1, yang menyebabkan EGP didagangkan pada EGP14 – EGP 16 di pasaran gelap.
al-Sisi cuba mendapatkan dana daripada rakyat dengan membuka projek baru bagi terusan Suez, dengan memperluaskan lagi terusan Suez. Rakyat diberi peluang menyertai pembangunan terusan Suez dengan membuka peluang pelaburan kepada rakyat dan berjanji memberi pulangan yang agak lumayan, sekitar 10% setahun. Seperti skim ponzi, al-Sisi terperangkap dengan skim ini dimana beliau perlu mencari lagi dana lain untuk memberi pulangan kepada peserta yang telah melabur bagi projek tersebut sedangkan projek yang dijalankan masih belum dapat memberikan pulangan hasil.
al-Sisi berhadapan dengan masalah kecairan modal yang sangat besar, walaupun aset yang dimiliki oleh tentera sangat besar dan banyak, beliau berhadapan dengan krisis kepercayaan dalam lingkungan pelabur-pelabur sama ada dalam negara mahupun pelabur luar.
Sekiranya kebangkitan rakyat pada tahun 2011 antaranya didorong oleh kehendak rakyat yang mahukan keadilan sosial dikembalikan sehingga mereka berjaya menurunkan Hosni Mubarak. Pada tahun 2013, rakyat sekali lagi turun ke jalan raya menuntut Presiden ketika itu untuk memulihkan masalah kekurangan bekalan petrol, bekalan elektrik yang sering terputus serta krisis ekonomi di Mesir. Setelah hampir 4 tahun memerintah Mesir, al-Sisi pastinya tidak mampu duduk dengan tenang. Rakyat telah sedikit sebanyak mempersoal polisi-polisi ekonomi al-Sisi yang tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat malahan semakin memburukkan keadaan berbanding sebelum revolusi.
Al-Sisi terpaksa memberi ruang kepada penglibatan tentera dalam kegiatan ekonomi bagi membolehkan rakyat mendapat bekalan secukupnya. Namun, dengan melibatkan secara langsung penglibatan tentera dalam dalam banyak sektor ekonomi menyebabkan sektor-sektor swasta sukar untuk bersaing. Ini membuatkan keadaan menjadi lebih sukar apabila penglibatan pihak swasta diterhadkan. Tidak mustahil masalah pengangguran akan menjadi semakin kronik.
Mampukah al-sisi dan regim tentera terus bertahan?
- Dengan keadaan ekonomi yang semakin sukar serta ketiadaan pelabur asing untuk melabur di Mesir, keadaan dilihat masih samar. Untuk rakyat bangkit sekali lagi, mungkin agak sukar kerana ramai antara mereka yang terlibat dengan gerakan kebangkitan rakyat telah dipenjara.
- Pilihan yang rakyat mesir ada ialah untuk kekal dalam kesukaran yang ada sekarang. Namun, tidak mustahil untuk rakyat mesir sekali lagi bangkit. Mungkin dalam keadaan yang lebih teruk daripada sebelum ini.
- Bagi al-Sisi, sekiranya beliau dapat memastikan bantuan/pinjaman IMF berjumlah USD12 billion, ini mungkin dapat menyelamatkan beliau. Tetapi, bantuan IMF tersebut bukanlah pilihan terbaik rakyat mesir, kerana ianya datang dengan pakej pemulihan ekonomi Mesir yang dijangka akan meningkatkan lagi kadar Inflasi di negara tersebut, sekaligus menyukarkan kehidupan rakyat yang sedia sukar.
- Sekiranya gagal, al-Sisi perlu melepaskan jawatan bagi memastikan regim tentera bertahan dan mengelakkan revolusi ke3 berlaku!
Perkembangan di Mesir adalah menarik untuk diperhati kerana Mesir merupakan salah satu negara yang besar di Timur Tengah dan mempunyai kepentingan yang sangat strategik selain berada disempadan Israel dan Palestin. Sebarang perubahan yang berlaku di Mesir memberi kesan kepada negara dan Ekonomi serantau.
Dengan kurangnya minat negara Cina di Mesir, membuatkan al-Sisi tidak mempunyai banyak pilihan selain untuk terus berbaik dengan negara-negara barat terutamanya US dan kuasa Eropah yang lain. Namun, perubahan angin politik barat, di US terutamanya yang kini dipimpin oleh Trump menimbulkan keraguan kemampuan al-Sisi untuk mendapatkan bantuan daripada negara tersebut.
Menjelang pilihan raya Presiden Mesir yang seawalnya boleh dilakukan pada tahun 2018, masa depan Mesir masih kabur dan masa depan politik al-Sisi juga masih belum pasti!
Cambridge
UK