Sinar 2015

UTM lancar kod reka tahan gegaran gempa

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal melancarkan Kod Reka Bentuk Bangunan yang mempunyai ciri-ciri mengurangkan impak gegaran gempa bumi.
Penyelidik Pusat Gempa Bumi dan Seismologi UTM, Dr Mariana Aida Ab Kadir berkata pihaknya telah membuat kajian secara terperinci mengenai kod itu dan kaedah yang telah diperakui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kod berkenaan dibincangkan pada tahun 2007 itu, bakal dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian gempa bumi di Sabah pada Jumaat lepas.
Mariana berkata kaedah menggunakan ‘damper’ atau pelapik penyerap hentakan berfungsi sebagai pelapik atau penampung gegaran atau gerakan bumi sekiranya berlaku gegaran dan juga dapat mengurangkan kerosakan pada bangunan.
“Kod ini adalah berbeza-beza mengikut kekuatan pergerakan tanah berdasarkan kawasan yang berpotensi untuk menggunakan kaedah berkenaan,” kata beliau.
Mariana berkata penyelidikan beliau telah mendapat geran sepenuhnya daripada kerajaan sejak 2005 membabitkan beberapa institusi awam termasuk UTM, JKR, MetMalaysia dan Institut Kejuruteraan Malaysia.
Beliau berkata setakat ini hanya Jambatan Kedua Pulau Pinang yang menggunakan kaedah berkenaan.
Sehubungan itu, penyelidik daripada Pusat Gempa Bumi dan Seismologi UTM yang diketuai Prof Azlan Adnan dan turut disertai penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, Zamri Ramli berada di Ranau bagi membuat kajian berhubung kejadian gempa yang merangkumi kerosakan bangunan dan permukaan bumi.
“Hasil daripada kajian mereka itu nanti, akan dijadikan panduan dan rujukan kepada aktiviti penyelidikan berhubung dengan keperluan perancangan semula kawasan tersebut,” kata Mariana.
Antara kawasan yang mempunyai Garis Sesar (aktif dan tidak aktif) ialah Bukit Tinggi di Pahang, yang sebelum ini pernah mengalami gegaran pada pertengahan tahun lepas, dengan bacaan 4 skala Richter berdasarkan rekod yang berlaku sebelum ini. -Bernama