KUALA LUMPUR 15 Mac (Utusan Malaysia)- Pihak yang bertanggungjawab ke atas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) perlu melakukan penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan keadaan jalan itu menjadi semakin teruk.

Pensyarah dan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd. Zamri Ramli berkata, ini kerana MRR2 mempunyai banyak jejambat yang menggunakan penyambungan pengembangan.

”Jika penyelenggaraan tidak dilakukan dengan kerap, lubang akan berlaku di sekitar penyambungan tersebut.

”Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada penyerap hentakan kenderaan bahkan boleh mengakibatkan kemalangan terutama kepada penunggang motosikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Unit Khas mengenai tahap keselamatan MRR2 kepada pengguna hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, bagi penyambungan pengembangan yang tidak rata, ia mungkin disebabkan penambahan turapan yang dilakukan di atasnya tanpa mengorek semula kawasan yang berlubang atau penyambungan yang tidak kemas.

Justeru katanya, pihak yang menjalankan penyelenggaraan perlu mengorek semula jalan tersebut bagi melakukan tampalan baru agar ia tidak berbonggol.

”Namun, kerja mengorek memakan masa yang lama dan mungkin disebabkan faktor itu hanya tampalan dilakukan bagi mengelak kesesakan daripada berlaku,” katanya.

Sementara itu pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya. Dr. Ratnasamy Muniandy berkata, sesebuah jalan yang mempunyai banyak jejambat perlu memastikan beban kenderaan yang melaluinya bersesuaian dengan berat yang boleh ditampung.

Menurutnya, pemantauan beban adalah penting bagi memastikan jalan sentiasa baik untuk kegunaan kenderaan lain.

”Menerusi pemantauan itu, penggunaan kenderaan yang sesuai dapat ditentukan bagi mengekalkan permukaan jalan yang baik.

”Keadaan jalan yang sentiasa berlubang mungkin disebabkan ia tidak mampu menampung beban kenderaan yang melaluinya,” katanya.