Kesantunan, Integriti dan Profesionalisme: Perjalanan Hidup Sebagai Seorang Pensyarah (Teaching Portfolio)

Sewaktu saya pertama kali berdiri di hadapan bilik kuliah 12 tahun yang lalu, saya beranggapan bahawa tugas saya sebagai seorang pensyarah hanyalah menyampaikan ilmu. Semua nota dan bahan pengajaran telah saya sediakan, apa yang ingin dikongsikan dengan pelajar juga telah dihafal dan saya turut merancang aktiviti kelas dengan teliti. Tetapi, sebaik sahaja saya melihat wajah-wajah pelajar di hadapan saya, saya sedar bahawa mengajar bukannya sekadar menyampaikan ilmu semata-mata. Ia turut melibatkan cara penyampaian, cara saya membawa diri, serta bagaimana saya dapat membantu pelajar merasai pengalaman pembelajaran yang benar-benar bermakna.

Pengalaman itu membuka mata saya bahawa kesantunan, profesionalisme dan integriti bukanlah perkara kecil dalam dunia akademik. Nilai-nilai inilah sebenarnya yang menjadikan seorang pensyarah dihormati, dipercayai dan apabila mendidik anak bangsa, beliau mampu memberikan impak yang besar dan bermakna dalam diri pelajar.

Nilai kesantunan, profesionalisme dan integriti telah saya pelajari dan amalkan sejak saya mula bekerja di tiga institusi pengajian tinggi sebelum ini. Dan apabila saya mula bertugas di UTM, saya tetap mengamalkan nilai-nilai yang sama. Di UTM, dokumen seperti Kod Etika Profesional UTM, Etika Perkhidmatan Awam Malaysia dan Matlamat Pendidikan UTM membantu mengingatkan saya tentang nilai-nilai yang perlu disuburkan dalam dunia akademik.

Hari ini, saya akan berkongsi bagaimana sifat sopan-santun dalam komunikasi dapat membina hubungan yang baik, bagaimana penampilan mencerminkan profesionalisme, bagaimana integriti mewarnai semua aspek kehidupan akademik, serta bagaimana cabaran peribadi yang saya lalui dapat ditukar menjadi peluang untuk saya menjadi seorang ahli akademik yang lebih baik lagi. Selamat membaca!

Kesantunan dalam Komunikasi: Membina Hubungan

  1. Bersama Pelajar

Saya mula bertugas sebagai seorang tenaga pengajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu pada usia yang muda, iaitu 23 tahun, dua bulan selepas saya tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Di waktu itu, saya masih kurang pengalaman mengajar dan ada satu ketika, saya memulangkan tugasan pelajar dengan komen yang sangat ringkas. Saya hanya menulis, “Perlu diperbaiki” atau “Kurang jelas.” Pada awalnya, saya merasakan bahawa itu cara yang betul, jujur dan cepat kerana saya mempunyai jumlah pelajar yang besar. Namun, lama-kelamaan saya mendapati pelajar yang menerima komen seperti itu mula hilang keyakinan di dalam kelas. Wajah mereka kelihatan ragu-ragu, pandangan mata mereka mengelak apabila saya bertanya soalan. Dari situ saya sedar bahawa komen ringkas yang saya anggap biasa rupanya boleh memberi kesan yang besar, lebih lagi pelajar tersebut ialah pelajar peringkat diploma. Mereka masih muda dan belum benar-benar fasih dengan cara pembelajaran di peringkat universiti. Sejak itu, saya cuba mengubah cara memberi maklum balas. Saya mula menulis komen yang lebih terperinci dan membina, seperti, “Idea ini menarik, mungkin boleh diperluas lagi dengan contoh tambahan.” Reaksi pelajar juga menjadi lebih baik. Mereka lebih yakin dan bersemangat untuk memperbaiki hasil kerja. Sejak dari peristiwa ini saya belajar bahawa kesantunan bukan tentang berlembut tanpa pendirian, tetapi tentang membina keyakinan orang lain supaya mereka terus maju.

  1. Bersama Rakan Sejawat

Di mana mana universiti, dunia akademik sentiasa penuh dengan perbincangan dan perbezaan pendapat. Sewaktu membuat kerja kumpulan, kebanyakan ahli kumpulan mempunyai mempunyai pendekatan yang berbeza mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Sebagai pensyarah Komunikasi, saya berpegang kepada praktis komunikasi dua hala. Apabila semua pihak termasuklah saya mendengar pandangan ahli kumpulan lain dengan lebih teliti, suasana dan kualiti perbincangan berubah. Idea dari Pihak A mempunyai kekuatan yang tersendiri dan idea dari pihak  B, C dan lain-lain juga  mempunyai kekuatan yang tersendiri dan daripada situ kami akhirnya bergabung idea. Hasilnya, lahirlah satu pendekatan baru yang lebih baik untuk para pelajar. Daripada pengalaman ini, semua orang dapat belajar bahawa kesantunan dalam perbezaan pendapat bukanlah tentang menang atau mengalah, tetapi tentang menghujahkan idea dengan hormat dan memberi ruang kepada orang lain untuk berkongsi pendapat. Dengan cara itu, perbezaan bukannya halangan, tetapi peluang untuk berbincang dengan lebih baik dan diakhirnnya kami akan dapat hasil yang lebih praktikal dan relevan.

  1. Bersama Pihak Pengurusan

Ada satu ketika saya perlu menguruskan borang rasmi untuk tujuan akademik. Prosesnya agak panjang kerana memerlukan pengesahan daripada beberapa peringkat. Saya beberapa kali berhubung dengan pegawai bertugas, dan ada ketika menunggu jawapan dari pihak pentadbiran terasa melelahkan. Namun, saya tetap memilih untuk bertanya dengan bahasa yang sopan dan penuh hormat. Pegawai tersebut juga memberikan kerjasama dengan lebih mesra, malah membantu saya mempercepatkan sebahagian proses. Daripada pengalaman itu, saya belajar bahawa sikap sopan santun bukan hanya untuk menjaga nama baik dan imej diri saya, ia juga kunci untuk membina hubungan kerja yang lebih lancar dan penuh saling menghormati.

  1. Bersama Komuniti Akademik

Apabila saya meyertai seminar atau persidangan secara fizikal atau online, saya sering perhatikan bawa bahawa ahli akademik yang paling dihormati bukanlah semata-mata mereka yang mempunyai senarai penerbitan yang panjang. Selalunya, ahli akademik yang sering disenangi dan dihormati ialah mereka yang mendengar dengan teliti, memberi komen dengan bijaksana dan menghargai pandangan orang lain. Bukan sahaja ketika di seminar atau persidangan, di laman sosial akademik seperti Facebook Group juga begitu. Kami lebih senang dan selesa dengan ahli akademik yang pakar tapi tidak sombong menngenai pangkat, status, jumlah geran, jumplah penerbitan dan lain-lain. Dari situ saya semakin yakin bahawa kesantunan adalah faktor yang paling utama dalam meninggikan martabat seorang ahli akademik.

Akhir kata, saya sangat mementingkan cara saya berkomunikasi dengan semua pihak. Saya tidak mahu menyakiti perasaan para pelajar, rakan sekerja, ahli akademik dan mana-mana pihak kerana ianya melibatkan maruah dan reputasi mereka dan diri saya sendiri. Bila saya bercakap dengan pelajar, saya nampak bagaimana nada suara atau cara kita menjawab soalan boleh mempengaruhi keyakinan mereka. Dengan rakan sekerja pula, sikap sopan ketika berbincang menjadikan kerja lebih mudah dan lancar. Malah, dalam komuniti akademik, kesantunan membuatkan orang lebih percaya dan menghormati kita. Semoga sifat ini dapat saya amalkan dengan baik selama-lamanya. InsyaAllah.

Penampilan Diri dan Profesionalisme

Di mana-mana tempat, orang sekeliling akan menilai kita sebelum kita sempat berkata apa-apa. Sebagai pensyarah Komunikasi, saya percaya bahawa penampilan seorang pensyarah ialah bentuk komunikasi senyap. Cara kita berpakaian, bergerak dan membawa diri adalah mesej yang tidak perlu kita ucapkan dengan kata-kata tetapi tetap difahami. Ia memancarkan kredibiliti kita sebagai pensyarah dan meyakinkan pelajar bahawa kita serius dengan tanggungjawab yang dipikul. Saya masih ingat semasa pensyarah saya masuk ke bilik kuliah dengan penuh wibawa hanya melalui cara beliau membawa diri. Tanpa sepatah kata, semua pelajar mula diam dan sudah memberi perhatian. Dari situ saya belajar bahawa profesionalisme bermula sebelum kita pun mula bercakap.

Selain dari penampilan, seorang pensyarah juga haruslah mengamalkan sifat integriti:

  1. Dalam Pengajaran

Profesionalisme di dalam pengajaran bermakna memberi perhatian dan bimbingan yang sama kepada semua pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka. Saya percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat layanan yang adil. Saya pernah mempunyai seorang pelajar yang pendiam di dalam kelas dan sewaktu menyerahkan tugasan, tugasan tersebut tidak sempurna walaupun beliau telah membuat kerja tersebut dengan bersungguh-sungguh. Jadi saya meminta pelajar tersebut membuat semula tugasan yang diberikan dan hasilnya beliau dapat menghasilkan kualiti kerja yang lebih baik berbanding sebelumnya.

  1. Dalam Penyelidikan

Tekanan dalam penyelidikan memang selalu ada, terutama bila menghadapi projek yang kompleks atau data yang sukar dianalisis. Apabila mental dan fizikal sudah penat, bisikan untuk cepat-cepat siapkan memang ada tapi fikiran rasional saya menghalang. Ini kerana penyelidikan tanpa integriti bukan lagi ilmu, ia boleh memesongkan pengetahuan atau ilmu saya sendiri dan orang lain. Memang mudah untuk “memperbaiki” data supaya nampak lebih baik, tetapi saya pilih untuk jujur dengan hasil sebenar. Walaupun sesetengah perkara dalam penelidikan tak seperti yang kita rancang, pengalaman itu berharga kerana ia mengajar saya tentang kesabaran, ketelitian dan kepentingan integriti.

  1. Dalam Penerbitan

Bila saya menulis atau menerbitkan artikel, saya selalu mengingatkan diri saya sendiri saya bahawa artikel yang diterbitkan ini, selain untuk memenuhi KPI universiti, ianya juga untuk berkongsi ilmu baru kepada orang ramai. Saya juga sentiasa memberikan kredit pada setiap sumber rujukan yang saya gunakan di dalam artikel saya sebagai tanda hormat pada kerja keras mereka dan untuk mengelakkan isu plagiat. Selain itu, saya juga berhati-hati dengan “predatory journal” kerana ia boleh merosakkan nama baik saya sebagai ahli akademik. Walaupun ada pensyarah yang menggunakan hasil kerja pelajar sebagai artikel mereka, saya tidak membuat perkara yang sama kerana ini merupakan penganiayaan kepada pelajar tersebut. Seorang pensyarah haruslah jujur dalam penerbitan artikel, bukannya menggunakan kajian pelajar sebagai kajian sendiri.

  1. Dalam Penyeliaan

Menyelia pelajar pascasiswazah banyak mengajar saya tentang erti kesabaran, lebih lagi bila pelajar tersebut tidak fasih berbahasa inggeris apatah lagi bahasa melayu. Pelajar-pelajar antarabangsa kebiasaannya akan mengambil waktu yang lama untuk menyiapkan penulisan, dan saya pula perlu membaca draf yang sama berkali-kali untuk memastikan mereka dapat menghasilkan kerja yang baik. Walaupun meletihkan, saya sedar bahawa kesabaran itu sebahagian daripada amanah seorang penyelia. Mereka datang dengan penuh harapan, dan tugas saya ialah membimbing mereka sehingga mereka berjaya menghabiskan pengajian.

Saya akui bahawa untuk melaksanakan kesemua nilai-nilai ini bukan sesuatu yang mudah. Tekanan masa kadangkala membuatkan saya memberi maklum balas yang tidak menyeluruh, perbezaan pandangan dengan rakan sejawat sering menguji kesantunan dalam perbincangan dan lain-lain hal lagi. Ada hari saya tersilap dan hilang sabar dan ada hari saya produktif dan berjaya. Tetapi semua ini adalah normal kerana ia sebahagian dari perjalanan hidup saya untuk menjadi insan yang baik dan berakti kepada agama, masayrakat dan negara. Untuk memastikan saya menjadi manusia yang bagus dan berbudi pekerti, saya sentiasa melakukan refleksi diri, “Adakah tindakan saya hari ini bagus atau melanggar moral dan ajaran agama?”. Saya juga sentiasa mencari ilmu baru, sama ada melalui bengkel atau dengan berkomunikasi bersama mentor dan rakan sekerja saya. Dan saya cuba untuk menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar melalui cara saya berpakaian, cara saya bercakap, ataupun cara saya mendengar.

Semakin lama saya berada dalam profesion ini, semakin saya sedar bahawa nilai-nilai yang baik sangat penting di dalam kehidupan seharian. Pelajar mungkin akan lupa apa yang mereka pelajari, rakan sejawat juga mungkin tidak ingat butiran urusan kerja, tetapi mereka akan sentiasa ingat bagaimana saya melayan mereka. Sifat sopan santun, integriti, profesionalisme dan amanah akan membina kredibiliti, mengekalkan rasa hormat dan meninggalkan kesan yang kekal, bukan sahaja di bilik kuliah tetapi juga dalam masyarakat sekeliling saya.

Steering the Academic Voyage: Past Lessons, Present Growth, Future Vision (Teaching Portfolio)

Resilience, Reflection and Resolve: A Journey of Self-Leadership When I look back at my path in academia, I realize that self-leadership has been the quiet compass guiding me. I did not always see it clearly, but in moments of challenge and … [Continue reading]

My Academic Journey: Publications & Conferences

Following up on my last post, here are some of the key publications and conferences from my academic journey. Each one represents a culmination of countless hours of research, writing and collaboration. It's a privilege to share my work and engage … [Continue reading]

Five Days into SKAA: Learning, Challenges and Inspiration

Today is day five, week two of my Sijil Kursus Asas Akademik (SKAA) 2025. The program started on 2 September and will run until 18 September. Every day from eight in the morning until five thirty in the evening, I join other lecturers at ISES Hall, … [Continue reading]

My Academic Journey: Academic Contributions & Supervision

When I look back at my academic journey, it's about more than just a list of accomplishments. It's about the stories behind the research: The questions that kept me up at night, the conversations with students, and the challenges that pushed me to … [Continue reading]

Anak Terengganu Di Bumi Johor: My First UTM Blog Post

I have been planning to write my first post here for almost a year but only now I finally have the opportunity to do it. My name is Noor Khairin Nawwarah binti Khalid but you can just call me Nawwar. I was raised in Terengganu and before coming to … [Continue reading]

UTM Open Day