MALAYSIA kini telah banyak berubah ke arah yang lebih baik, di mana banyak pembangunan dan kemajuan dicapai dalam pelbagai sektor. Pada 2012, Bank Negara menyatakan bahawa perkembangan dalam sektor perumahan negara dilihat sebagai satu komponen penting yang membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi negara. Malah, dengan terdapatnya banyak pembangunan baharu ia telah menarik minat banyak pelabur luar untuk melabur dalam sektor ini.
Dengan membangunnya sektor perumahan ini, ia telah meningkatkan lagi keperluan terhadap kemudahan infrastruktur yang lebih teratur dan tersusun. Perancangan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dalam sesebuah kawasan perumahan adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka.
Salah satu keperluan infrastruktur yang penting dalam sesebuah kawasan perumahan adalah sistem perparitan dan saliran. Ia merupakan kemudahan infrastruktur yang harus diambil berat dalam memastikan keperluan dan kesejahteraan penduduk lebih terjamin.
Malaysia telah berusaha dalam menyediakan keperluan infrastruktur untuk menjaga kepentingan masyarakat awam, yang mana suatu strategi telah dirangka dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), iaitu tumpuan akan diberikan kepada kecekapan dan produktiviti dalam penyediaan utiliti dan perkhidmatan awam kepada masyarakat.
Walaupun begitu, beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat terdapat banyak masalah banjir kilat berlaku di beberapa negeri di Malaysia. Pada Februari 2015, penduduk di Pontian, Johor menghadapi masalah sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan sempurna.
Hal tersebut menyebabkan masalah banjir kilat yang berlarutan dan mengganggu aktiviti seharian mereka. Pada akhir 2014 pula, penduduk di Batu Pahat, Johor bimbang akan masalah sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan sempurna yang telah menyebabkan air bertakung, seterusnya menyebabkan masalah banjir kilat yang berlarutan.
Selain itu, masalah berkaitan sistem perparitan dan saliran juga berlaku di Kota Tinggi, Johor yang mana ia memerlukan pemantauan daripada pihak bertanggungjawab bagi memastikan masalah sistem perparitan dan saliran dapat diatasi serta dapat menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.
Malah, pada Oktober 2014, banjir kilat turut berlaku di Kajang, Selangor yang mana puncanya datang daripada sistem perparitan dan saliran lemah. Ia tidak diselenggara dengan sempurna dan menyebabkan masalah semakin berlarutan.
Pada Jun 2013, masalah berkaitan sistem perparitan juga dibangkitkan di Felda Palong Satu, di mana penduduk menyatakan sistem perparitan dan saliran di kawasan tersebut tidak sempurna serta tiada kerja-kerja membaik pulih dijalankan. Ini antara sebahagian masalah yang direkodkan, namun, masih banyak lagi lokasi yang mengalami perihal sama, yang belum direkodkan secara khusus.
Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa masalah banjir kilat yang sering berlaku adalah berpunca daripada sistem perparitan dan saliran yang tidak sempurna.
Pihak yang bertanggungjawab perlulah meningkatkan lagi usaha dalam mengatasi masalah sistem perparitan dan saliran. Perkara ini perlu diambil berat bagi memastikan ia selaras dengan keadaan pembangunan yang semakin pesat.
Tambahan lagi, kebanyakan kajian terdahulu banyak menyentuh tentang faktor-faktor yang menyebabkan berlaku banjir kilat seperti pembangunan, perubahan cuaca, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Tetapi perbincangan dan penyelesaian mengenai kaedah pengurusan dan penyenggaraan sistem perparitan serta saliran yang berkesan masih lagi kurang dibincangkan, sedangkan ia adalah perkara penting perlu diambil berat dalam mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku ini.
Dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat, perancangan dalam pengurusan dan penyenggaraan sistem perparitan serta saliran adalah aspek penting yang perlu diambil berat oleh pihak bertanggungjawab dan ia perlu dirangka dengan sempurna bagi mengelak masalah sama berulang.
Walaupun pengurusan dan penyenggaraan sistem perparitan serta saliran ini bukan punca utama bagi masalah banjir kilat, tetapi dengan adanya pengurusan dan penyenggaraan yang sempurna, ia akan dapat membantu pihak bertanggungjawab dan masyarakat awam mengatasi masalah banjir kilat yang sedang berlarutan ini. Maka fokus dan penekanan mengenai keberkesanan pengurusan dan penyenggaraan sistem perparitan serta saliran amat diperlukan agar ia dapat membantu dalam mengatasi masalah tersebut.
* Dr Eng Noorsidi Aizuddin Mat Noor, Jabatan Harta Tanah, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah, UTM Johor
http://www.sinarharian.com.my/mobile/karya/pendapat/fahami-keperluan-selenggara-saliran-1.394304