PROJEK PENYELIDIKAN PERUMAHAN UTM MELIBATKAN PAKAR DALAMAN UTM

Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah dilantik sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan dan melaksanakan Projek Perumahan UTM oleh Bahagian Pengurusan Aset (BPA). Pihak KALAM telah mengetuai barisan ahli perunding yang pakar dalam pelbagai bidang bagi memastikan projek ini berjaya direalisasikan berlandaskan visi dan misi Projek Envision 2025. 

Projek penyelidikan Perumahan UTM melalui 3 fasa pelaksanaan iaitu fasa pengumpulan data, fasa penyediaan rekabentuk skematik dan fasa penyediaan laporan teknikal. Fasa-fasa pelaksanaan ini merangkumi kerja-kerja penyelidikan seperti Kajian Kebolehlaksanaan dan Implikasi Kos; Kajian Pengurusan dan Kegunaan Tanah UTM; serta penyediaan Konsep Pembangunan Rekabentuk bagi projek perumahan UTM ini. Pelbagai kajian dan soal selidik yang berkaitan dengan projek ini turut dijalankan bagi mendapatkan maklumat yang lengkap berkaitan lokasi tapak perumahan yang sesuai serta memahami keperluan dan kehendak warga UTM dalam mendiami kawasan perumahan yang selesa dan selamat.

Khidmat pelbagai pakar dalaman UTM yang turut serta dalam projek telah menghasilkan sebuah kajian yang padat, terperinci dan menyeluruh serta berjaya menghasilkan sebuah konsep pembangunan rekabentuk bagi kawasan perumahan UTM yang sesuai dengan keperluan penduduknya serta mempunyai persekitaran yang mampu meningkatkan potensi daya huni dan kesejahteraan warga kampus UTM Johor secara keseluruhannya. Semua Pakar Penyelidik UTM yang dilantik telah memberi komitmen yang hebat dalam projek penyelidikan ini. Ia sekaligus membuktikan bahawa kepakaran dalaman UTM juga setanding kepakaran industri luar! 🙂