CITRA KARISMA 2024: SENI DAN KREATIVITI

Anugerah Seni dan Kreativiti UTM merupakan inisiatif yang bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada kakitangan akademik dan bukan akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang seni. Anugerah tersebut adalah sebahagian daripada Majlis Citra Karisma yang lebih luas meraikan pencapaian merentasi pelbagai disiplin dalam universiti. Antara bidang yang sesuai bagi kategori tersebut adalah seni persembahan, seni bina, seni visual, seni skrin, seni kraf dan penulisan kreatif. Anugerah ini diadakan setiap tahun dengan edisi terbaru menekankan kepentingan kreativiti dan inovasi dalam persekitaran akademik. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UTM untuk memupuk budaya seni yang bertenaga dalam kalangan warganya.

ALHAMDULILAH, pada tahun ini saya mewakili KALAM dapat bersama-sama menyertai permohonan Anugerah Seni dan Kreativiti sekaligus berpeluang mendapat Penghargaan (Emas) bagi Kategori Staf Akademik. KALAM merupakan Pusat Kecemerlangan yang menjadi rujukan tempatan dan antarabangsa dengan memartabatkan warisan negara berorientasikan teknologi seni bina. Awal penubuhannya pada 1975, KALAM adalah pusat pengumpulan Laporan Lukisan Terukur yang dilaksanakan oleh Pelajar dan Pensyarah dari Jabatan Senibina. Namun sejak tahun 1996, KALAM secara rasminya telah diangkat sebagai sebuah Pusat Penyelidikan UTM yang sekaligus menjadikan visi dan misinya semakin jelas dan terfokus. KALAM bernaung di bawah Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction sebagai sebuah pasukan bersama entiti penyelidikan lainnya seperti CRES, CRC, FEC dan GEOTROPIK.

Seni bina adalah antara cabang karya seni bagi menterjemahkan hasil kreativiti berkaitan ruang dan bangunan. Definisi seni bina secara asasnya adalah “seni” yang “dibina”. Inovasi dan kreativiti dalam seni bina adalah untuk mengasah bakat sekaligus membentuk pemikiran kritis. Tambahan, seni bina mempunyai nilai seni dan estetika unik mengenai fungsi ruang, bahan binaan, corak hiasan serta karakter sesebuah organisasi dalam membentuk identiti yang sesuai. Seni dan kreativiti amat penting dalam pembangunan manusia yang membentuk ketamadunan sesebuah bangsa kerana ianya mampu meningkatkan fokus, daya tumpu serta sebagai alat untuk menunjukkan ekspresi bangsa dalam sesebuah negara. Konsep dan karya seni yang dihasilkan dalam kerja-kerja KALAM adalah lahir daripada sentuhan kreatif pakar bidang yang memahami keperluan penghuninya dengan mengambilkira aspek keselamatan dan kesihatan penggunaan ruangnya.

Kini, KALAM menyasarkan ekosistem Quadruple-Helix (GUCI- Government, University, Community, Industry) selaras dengan pendekatan enVision Moonshot UTM antaranya melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan di Pusat Penyelidikan ini. Selain itu, KALAM juga menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang seni bina sekaligus mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi dalam seni bina warisan. Tambahan, KALAM telah menjadi penanda aras kepada pelbagai entiti penyelidikan tempatan dan antarabangsa.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita lintuh. Berbekalkan konsep senibina yang kukuh, itulah resepi KALAM kekal utuh”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *