Orang yang hebat akan memilih pemikiran yang menguatkannya, tetapi orang yang lemah akan memilih pemikiran yang menjatuhkan semangat dan keyakinannya. Yakinlah dengan konsep pemikiran ‘Reset Minda’, iaitu ‘ADA – BERI – DAPAT”. Konsep pemikiran ini merumuskan bahawa, kita hanya dapat apa yang kita fikir, rasa dan buat.
Kalau kita mendapat sesuatu peristiwa atau perkara yang tidak elok, maka hal ini bermakna kita telah melakukan sesuatu perkara yang tidak elok kepada orang lain. Dengan cara ini kita tidak akan mudah menyalahkan orang atau menyalahkan Allah yang telah menetapkan takdir hidup kita. Tetapi, kita melihat kelemahan diri sendiri dan mencari kesilapan diri, serta berfikir mengapa Allah mengizinkan perkara yang tidak elok atau negatif itu berlaku kepada kita?
Jika kita melakukan perkara yang negatif kepada orang sekeliling kita, maka kita akan mendapat hasil kehidupan (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan) yang negatif. Kita menjadi tidak tenang, tidak bahagia, dan mulalah kesihatan kita akan terganggu. Apabila kita tidak sihat, kewangan kita mulalah tergugat kerana banyak wang diperlukan untuk merawat sakit kita, atau kita tidak boleh bekerja lagi untuk menambahkan kekayaan kita, kerana kesihatan kita tidak mengizinkan kita bekerja seperti biasa. Oleh sebab itu, untuk mendapat hasil kehidupan yang positif, pilihlah pemikiran yang menguatkan kita dan ubah cara kita memandang sesuatu kejadian yang berlaku dalam hidup kita.
Sumber : Prof. Dr Muhaya