Aurat Ibu Tua

AURAT IBU TUA

Ibu tua ini usianya mencecah 80 tahun. Bila diminta bergambar … cepat-cepat dibetulkannya tudung. Lengan baju dibetulkan menutupi pergelangan dan kakinya dipakaikan alas.

Dia faham tentang aurat.

Namun … kebanyakan ibu tua di tanah air kita tidak berapa mengerti tentang aurat. Ada yang cuma selempang kain selendang. Kaki telanjang. Lengan terdedah.

Sebab itu kita yang fikir masih muda kena cakna bila mahu mengambil foto mereka. Bukan biarkan sahaja.

Jika mahu membuat kebaikan pun kena jaga aurat mereka … contohnya ketika kita suapkan makan ibu tua di atas kerusi roda. Bila kita urut kaki ibu tua di atas katilnya.

Nampak kaki … nampak lengan. Nampak lehernya.

Itu aurat mereka duhai kawan.

Dalam Surah An-Nuur. Ayat 060. Allah SWT berfirman bermaksud:

“Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Barangkali ibu tua pengetahuannya tentang aurat sangat cetek tapi bukankah kita yang belajar tinggi sampai masuk universiti itu dianggap cerdik?

Usah kita pula menyebar dosa. Tidak berbaloi untuk menunjukkan kebaikan namun menyebar dosa berterusan kawan …

Firman Allah SWT dalam Surah Adz-Dzariyaat. Ayat 055. Terjemahannya bermaksud:

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”

#RozaRoslan
#DiaTinggalkanTanda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *