Di UiA dulu, saya ada seorang rakan. Memang jenis jujur dan telus orangnya. Tahun lalu, rakan saya ini kematian suaminya kerana kanser. Masih muda. Arwah mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan belum bersekolah.
Rakan saya ini menguruskan segala urusan yang sepatutnya dilakukan selepas kematiannya. Dia hubungi saya, apa perlu dia lakukan secara prosedur berkaitan hutang arwah?
Antara soalan yang dia tanya adakah dia patut menamatkan semua kad kredit arwah segera? Pada masa itu, dia sendiri masih bercuti beberapa bulan kerana menjaga arwah suaminya sejak sakit. Saya faham kekangan kewangan yang dihadapi. Anak dua, tidak bekerja.
Dia tanya lagi berkenaan bayaran terhutang dengan bank, cara penyelesaian. Kemudian berkenaan duit caruman KWSP. Banyak juga urusan yang perlu diselesaikan, terpaksalah dia turun naik ke sana dan sini.
Alhamdulillah, arwah pergi ada meninggalkan harta. Cara rakan saya ini betul-betul teliti. Dia pastikan hutang arwah selesai. Dia pastikan semua proses melibatkan urusan harta selesai. Begitulah sepatutnya, perlu disegerakan.
Ada kes yang dirujuk kepada saya selepas beberapa tahun masih tidak buat proses mentadbir pusaka, sehinggakan ada waris-waris sendiri meninggal dunia sebelum pembahagian. Ada kes bukan sahaja harta tidak dibahagikan hutang arwah langsung tidak berbayar.
Adalah 2 atau 3 kali rakan saya hubungi saya, kemudian dia tanya, “Beth, macam mana ya, dengan bahagian anak-anak akak ini. Kalau akak tersalah guna dan tersalah ambil bahagian mereka, sebab mereka anak yatim. Akak takut berdosa kerana tersalah guna bahagian mereka”.
Pertanyaan itu penuh dengan kejujuran, padanlah dia uruskan semuanya dengan teliti. Takut tersalah ambil bahagian tidak sepatutnya dan tidak dibayar hutang arwah itu dan ini.
Ya Allah, terkejut saya dengan ketelusannya itu. Betapa dia memikirkan setiap sudut sehingga bahagian anak-anak kandungnya juga dia teliti supaya dia tidak salah guna kuasa.
Zaman ini, banyak jenis manusia. Ramai yang saya jumpa jenis manusia hati kering yang tidak sedikit pun simpati mengambil harta anak yatim.
Saya juga pernah jumpa manusia yang tidak sedikit rasa simpati kepada waris si mati. Beberapa tahun dahulu, saya diminta oleh sekumpulan adik-beradik yang ingin melantik peguam untuk menjual rumah yang ditinggalkan si mati. Saya tolak untuk mengendalikan kes ini.
Si mati meninggalkan sebuah rumah untuk balunya yang telah tua. Tiada anak. Balu tidak mempunyai keluarga. Sebatang kara. Bahagian faraid diperolehi juga sebahagian kepada adik-beradik si mati, berdasarkan pengagihan. Mereka ingin halau si isteri keluar dari rumah, rumah dijualkan dan bahagi sama rata di antara semua.
Betapa harta boleh membutakan manusia. Tidak kasihankah kepada balu ini yang tiada anak dan tempat bergantung? Waktu arwah hidup adakah adik-beradik ada sewaktu susah dan senang sehinggakan layak mereka hendak menuntut hasil usahanya sewaktu hidup dan mengenepikan hak balu ini?
Tidakkah mereka mahu berlapang dada dengan melepaskan bahagian Faraid tersebut? Sekiranya waris bersetuju untuk melepaskan bahagian mereka, maka kiraan Faraid bahagian mereka tidak akan dikira. Tetapi berapa ramai manusia yang sanggup melepaskannya?
Kalau bercerita tentang harta si mati ini, macam-macam kisah, boleh jadi sampai berparang. Harta si mati adalah harta yang dibahagikan secara tiba-tiba hasil usaha si mati. Harta terpijak. Tambah pula kalau banyak, lagilah berisiko pembahagiannya. Pasti ada yang gelap mata dan tidak senang duduk.
Hidup ini hanya sekejap cuma. Kalau tidak ada belas, belum tentu kita bahagia dengan harta yang diwarisi dari penat jerih orang lain. Perlu ada pertimbangan dan perlu berlapang dada. Paling utama, jangan ambil hak anak yatim. Itu haram.
Sumber:
Oleh Nor Zabetha.