Di antara Soleh dan Musleh

Semalam saya diingatkan berkenaan pentingnya ada orang yang bukan sahaja fokus untuk menjadi orang baik tetapi terlibat di dalam memperbaiki masyrakat.

Selepas perbincangan tersebut, saya menerima nota ringkas ini:

———————————————————————

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِیُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ بِظُلۡمࣲ وَأَهۡلُهَا مُصۡلِحُونَ

Dan Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, selama penduduknya Muslehun (orang-orang yang suka berbuat kebaikan. (Hud/11 : 117)

1. Ada perbezaan antara ( ٌصَالِح ) : Soleh dan ( ٌمُصْلِح ) : Musleh. Soleh : Orang baik untuk dirinya sendiri, sedangkan Musleh selain memperbaiki dirinya juga berusaha memperbaiki orang lain. Untuk menjadi orang Soleh lebih mudah, tetapi sukar untuk menjadi Musleh. Oleh itu, mari kita sama-sama berazam untuk menjadi insan-insan yang Muslehun.

2. Walaupun baik menjadi orang Soleh, tetapi lebih baik lagi jika berusaha menjadi Musleh. Orang Soleh biasanya disanjung dan dipuji, tetapi Musleh biasanya dimaki dan dicaci. Contoh mudah : Nabi Muhammad SAW dipuji sejak kecil lagi karena baik budi pekertinya sehingga dipanggil dengan “Muhammad Al-Amin” tetapi begitu Baginda diangkat menjadi Rasul Utusan Allah, Baginda mula dicaci dan dibenci karena Baginda cuba memperbaiki umat dari syirik, rasywah, zina dan lain-lain.

3. Musleh dapat menjadi penyebab Negara mendapat Redha Allah dan terselamat daripada bencana. Itulah rahasianya dalam ayat di atas Allah SWT menyebut “Selama penduduknya Muslehun”, dan Allah tidak menyebut “Solehun”. Itu sebabnya sungguh tepat kata-kata mutiara dari Ahli Hikmah : Satu orang Musleh adalah lebih baik daripada seribu orang Soleh.

———————————————————————

Pada pagi ini elok juga kita merenung kita ni termasuk di dalam golongan mana? Di dalam organisasi pun perlu ada ramai orang yang bersifat Musleh ini. Barulah organisasi menjadi teguh dan berprestasi tinggi serta mencapai matlamatnya.

Kalau mahu masyarakat dan negara selamat kena jadi Muslehun lah.

Tapi kena guna kayu ujur yang tepat (bukan berdasarkan nafsu sahaja) dan bersedia untuk buat kerja yang berat.

والله أعلم

Sumber : Nik Hasyudeen