Di PBAKL hari tu, ada sorang wanita ni pakai gincu agak merah, senyuman jadi tambah menawan, daripada jauh dia dah menarik perhatian saya, pakaiannya semua cukup syarat mengikut Syariat😊.

Bila tiba gilirannya, saya bertanya khabar dan datang dengan siapa, dia jawab dia datang dengan Malaikat, jawapannya serius, saya pun respon serius, “nanti kirim salam ya pada Malaikat.” Barulah sama-sama ketawa. Dia cakap, “ini lawak..memang lawak,” saya cakap, “memang betullah apa cik cakap, kita tak pernah keseorangan, Malaikat sentiasa ikut.”

Pastu beliau tanya saya soalan, “Ustazah, saya pakai gincu merah macam ni salah ke?, kiranya saya berdosa ke?” Memang direct betul cara dia tanya, sambil tunjuk bibir dia. “Memang betul ke menarik perhatian?” Tambah dia lagi.

Saya pandang dia dan berikan senyuman yang paling manis, saya pun jawab, “betul, menarik perhatian, jujurnya saya pun tertarik daripada tadi, maksudnya dalam ramai-ramai orang yang sedang menunggu beratur nak jumpa saya ni, cik adalah antara yang paling menyerlah daripada tadi 😉”

“Tentang gincu, sebenarnya boleh pakai, tapi yang natural sahaja, bahkan cik akan lagi comel bila pakai yang natural, sebab cik dah sedia comel, saya faham kalau dah biasa pakai rasa pelik kalau tak pakai, dan rasa macam tak bermaya atau pucat, jadinya boleh.”

Dalam memberi nasihat berdepan macam ni memang kena pandai berbasi-basi. Tapi saya ikhlas hati memuji, bagi saya ciptaan Allah semua indah.

Sambung saya lagi, “kita kalau bersolek nak keluar rumah ni, pakai bedak, alas muka, gincu dll boleh dengan tujuan supaya wajah kita tak nampak kusam, bermaya dan berkeyakinan. Bukan tujuan menarik perhatian. Jika menarik perhatian lekaki dah termasuk bertabarruj, maka boleh mendatangkan dosa.” (Jujurnya saya tak pakai gincu).

“Ok ustazah, terima kasih banyak ya beri saya penjelasan, saya selalu ikut ustazah punya ceramah, doakan saya istiqamah dan dapat Suami Soleh..”

Saya terus mendoakan beberapa doa, kami sama-sama mengaminkan. Damai sekali.

Beliau beratur beli buku ni https://bit.ly/4dQBKdT

Tuan Puan Sahabat semua, saya suka nak tambahkan kefahaman kita dalam hal ini, terutama pada Para Suami dan Ayah, sebab kalian adalah penjaga dan pendidik para wanita, sila baca penulisan yang sangat bagus di bawah:

Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.

Di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya. Firman Allah SWT :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Surah al-A’raf : 32)

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)

Hukum memakai lipstik

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah harus sebagaimana umum firman Allah SWT :

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (Surah al-Baqarah : 29)

Walau bagaimanapun, wanita hanya harus berhias untuk para suami mereka serta mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja.

Oleh itu, kami berpandangan sekiranya wanita tersebut sekadar memakai lipstik dengan warna yang tidak ketara, atau memakai alat-alat solek yang lain seperti bedak dan lain-lain dengan nipis dan sekadarnya (tidak berlebihan), serta tidak tabarruj semasa berada di luar, adalah tidak mengapa, selagi mana perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda :

إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” (HR Muslim (91)

Tabarruj (Berlebihan dalam berhias)

Selain itu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian juga bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)

Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan :

“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)

Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.

Kami berpandangan tidak mengapa bagi seorang wanita itu untuk memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain semasa berada di luar rumah dengan syarat tidak berlebihan dan memakai sekadarnya sahaja serta tidak bertabarruj. Selain itu, perkara tersebut harus selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat).

Lebih-lebih lagi, apabila dia memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain itu sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi. Hal ini kerana Islam sangat mengambil berat soal kekemasan, kebersihan dan kecantikkan.
Walau bagaimanapun, seorang wanita muslimah itu juga mesti ingat bahawa berlebihan dalam berhias bagi seseorang wanita adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.

Kami akhiri dengan kata-kata Sayyid Qutb sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana :

“Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semulajadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semulajadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semulajadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain darinya (suaminya).” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)

Rujukan penuh sumber tulisan di atas di ruangan komen, ia daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sumber Facebook : Asma’ binti Harun #UAHSahabatDuniaAkhirat