Pembimbing Haji.

Catatan Musim Haji 1445H (04)

Budaya orang kita suka jika mereka dibimbing dalam melakukan ibadat waima ibadat harian sekalipun kerana mereka akan rasa lebih selesa dan selamat agar amalan mereka mengikut kehendak syara’.

Apabila mereka melakukan haji yang merupakan rukun Islam kelima dan haji pula adalah Haji Islam atau haji kali pertama, sudah tentu mereka lebih mengharapkan bimbingan yang sebaiknya agar haji mereka sempurna setelah menunggu sekian lama dengan menggunakan duit simpanan, duit pencen, jual tanah dan sebagainya. Orang kata biar puas hati.

Di sinilah pentingnya peranan para pembimbing atau guru agama yang menyertai rombongan haji bagi membimbing dengan penuh ikhlas bukan setakat melepaskan batuk ditangga atau sebagai memenuhkan laporan semata.

Para pembimbing sendiri perlu faqih dan menghayati ilmu haji agar dapat memberikan bimbingan yang betul. Banyakkan membaca khususnya isu-isu baru dalam bab haji dalam masa yang sama betul-betul mahir dalam isu sedia ada.

Biasanya para jemaah akan ada saja soalan dan kemusykilannya. Maka bukalah peluang kepada mereka untuk bertanya.

Antara pembimbing yang saya kagumi dan diminati oleh para jemaah ialah Dato’ Dr Abu Anas Madani, ini sebagai contoh. Sentiasa memberi peluang kepada jemaah untuk berinteraksi, bertanya dan dibimbing dengan sebaiknya. Berpengalaman luas selama puluhan tahun sejak bergelar mahasiswa di Universiti Islam Madinah lagi, tetapi sentiasa membaca buku-buku baru berkaitan haji yang mengupas isu terkini.

Buku-buku beliau berkaitan Sejarah Makkah dan Sejarah Madinah pula menjadi rujukan para pembimbing dan juga para jemaah kerana lengkap dan bersumberkan yang sahih. Buku Sejarah Madinah ditulis sewaktu beliau belajar lagi dan diikuti buku Sejarah Makkah yang telah diulang cetak beberapa kali.

Saya juga perhatikan, sehingga kini sebelum memulakan sesuatu kelas pengajian bersama jemaah haji, beliau terlebih dahulu mutalaah agar ilmu yang akan disampaikan adalah sahih, memetik ayat yang betul dan hadis-hadis yang sahih.

Dalam masa yang sama para pembimbing sendiri khususnya ustaz, mesti mahir dan menguasai ayat Al-Quran dan hadis. Tidak rugi terus belajar jika merasakan bacaan kita tidak betul. Jangan ada Ustaz yang baca ayat tidak betul, kerana itu satu keaiban bagi seorang Ustaz.

Sewaktu saya belajar di peringkat sarjana dulu, para guru sentiasa memberi peringatan bahawa mereka boleh memaafkan jika tersalah dalam menyebut atau menukil perkataan dalam Bahasa Arab khususnya dalam penulisan tesis, tetapi tidak akan memaafkan sama sekali jika yang salah itu ayat Al-Quran.

Abu Anas ada mencatatkan dalam FB beliau beberapa hari lepas berkaitan peranan pembimbing dan saya paparkan di sini sebagai melengkapkan coretan saya.

“Peranan Para Pembimbing Jemaah Haji:

  • Isi Tazkirah, Kuliah & Perbincangan Yang Perlu Disampaikan Kepada Hujjaj;
    1- Jemaah perlu mendapat ilmu & motivasi yang cukup sebelum datang.
    2- Di Makkah, para pembimbing perlu berusaha menyampaikan maklumat yang sahih, zikir, cerita dan rahsia atau hikmah ibadat (rahsia) haji selain hukum hakam.
    3- Kesedaran jemaah yang ingin berubah perlu diisi dengan tarbiyah dan bimbingan & suntikan semangat yang berterusan.
    4- Memperkenalkan kelebihan Tanah Haram, Makkah, Muzdalifah & Mina. Biar jemaah sedar di mana mereka berada!
    Bukan hanya tengok bangunan tinggi atau longgokkan sampah-sarap.
    5- Perancangan rapi, 300 minit di Arafah ketika waktu wuquf perlu diisi dengan zikir, istighfar, munajat & taubat.
    *(bukan zikir munajat dengan suara kuat yang menganggu jemaah lain beribadat).
    5-Malangnya, masih ramai lagi yang melakukan haji malboro.. bukan haji mabrur”.

Pembimbing perlu bersifat “ala mursyid” kepada para jemaah, kerana mereka bukan sahaja boleh buat bekal sewaktu melakukan haji, tetapi setelah balik.

Semoga dengan peranan para pembimbing dalam membimbing para jemaah asbab kepada kemabruran haji mereka dan meneruskan aktiviti amalan yang baik setelah melalui kursus selama 30 – 40 hari sewaktu di Makkah.

Sumbet Facebook : Abu ‘Afief,
Musim Haji 1445H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *