‘Jika bertemu seseorang banyak senyum dan ketawa, selamilah dia. Terkadang dia memilih untuk senyum kerana bibirnya tidak pandai menyembunyi rasa sedih’.

“Sayang, kita makan apa malam ni?,”

Sejak siang tadi mulut si isteri bagai terkunci. Berat untuk dia sampaikan, mulai hari ini, makanan berat lapik perut perlu dicatu.

Si isteri sudah siap mencongak, gaji suaminya akan masuk beberapa hari lagi, jadi beras yang ada ini memang cukup-cukup untuk ditanak buat menyuap mulut tiga orang anaknya. Lepas dua ke tiga suap seorang jadilah.

Tapi biasalah anak kecil, apalah yang mereka faham, mereka tak mengerti apa, mulut monggilnya masih terus menganga persis anak burung tekuak-kuak menunggu si ibu menyuap makanan.

Si ibu memujuk hatinya, dihumban segala luka dan hibanya ke tepi, diambilnya gelas, dituangnya air masak, diberi anaknya minum sampai puas. Lalu diamlah mereka.

Selain nasi, air boleh juga jadi ‘makanan’ mengenyangkan.

Anak paling kecil, selagi si ibu mampu memberi susu badan, dia usahakan sedaya upaya memberinya. Ia percuma saja, jimatlah kos membeli susu.

Allah Maha Baik
Allah Maha Pengasih
Allah Maha Penyayang

Itu pun nasi hanya untuk rezeki belah siang, jika dikira sekali makan malam, tak cukup.

Justeru, apakah menu istimewa
hidangan makan malam?

“Dalam peti ais ada mee kuning
sebungkus bang,”

Tanpa udang, tiada ayam atau bilis, jauh sekali daging, sotong atau bebola ikan.

Tanpa bawang antarabangsa ‘Bombay’ dan Holand, lihatlah ajaibnya akal dan tangan kurniaan Allah buat seorang ibu, dia pakar ‘merahmahkan’ hidangan.

Bayangkan, si ibu yang bermula kosong, tak berilmu penuh di dada perlu menyerlahkan kebijakkan serta kebolehdayaupayaannya, masak apa ada dengan ramuan di hadapan mata tiada apa-apa, kosong!

Jangan pernah sekali jatuhkan air muka sendiri di hadapan kekasih yang dahulu kita pernah berazam sebelum berkahwin,

“InsyaAllah saya sanggup bekorban,
saya akan buat apa saja demi cinta,”

Lapangan rumahtangga bukan taman tema hiburan, bayar duit, masuk, berlibur, gelak ketawa dan pulang bila tamat pertunjukkan.

Oh, tidak
Ia tidak semudah dan ‘semurah’ itu.

Lapangan ini ibarat lapang sasar melatih bukan sekadar seorang penembak tepat tetapi juga melahirkan seorang ‘sniper’ terbaik.

Isteri laksana ‘sniper’ (Fuh)

Dalam satu wawancara dengan seorang pesara tentera, beliau berkongsi,

Semua orang boleh jadi ‘penembak tepat’ (marksman) jika dilatih dengan betul. Tetapi untuk menjadi seorang sniper, walau ‘
penembak tepat itu dilatih pun belum tentu dapat jadi sniper.

Bayangkan, ketika menghadiri kursus dan melalui sesi ujian demi ujian, ramai mengulang dan gagal itu biasa daripada jumlah lulus.

Tiga puluh orang yang berkursus, belum tentu seorang pun boleh lulus.

“Lupakan apa yang kamu tengok di wayang atau cerita movie, ini realiti”

Apa beza penembak tepat dan ‘sniper’?

Penembak tepat menembak dalam keadaan selesa, tanah rata, cuaca elok, dan jarak dekat.

Seorang ‘sniper’ menembak musuh dalam keadaan amat tak selesa, tanah tak tentu hala, segala bentuk cuaca, segala bentuk hutan atau bandar, dengan jarak yang jauh, tambah lagi berseorangan dan dari lokasi yang tidak kelihatan.

Justeru, seorang isteri boleh memilih, mahu menjadi isteri biasa-biasa atau isteri laksana ‘sniper’ yang dia mahu Allah memandangnya luar biasa.

Ayuh,
buktikan kita lulus ujian ‘sniper’ pertama ini.

“Yang, dah siap, jom makan,”

Menu siang:
Nasi, kicap

Menu malam:
Mee, kuah kicap.

Si ibu masak saja apa ada, janji anak-anaknya kenyang. “Ibu dan abah tak makan?”

Usah ditanya, nanti kalian sudah jadi ibu dan abah, tahulah kalian ‘rahsianya’, nak ‘ejaz’ bagaimana, nak alas perut dengan apa.

Sepanjang perjalanan menempuh ujian susah atau musibah lainnya, tidak sedikit hari-hari berlalu dalam debar dan bimbang. Hidup terasa sukar, sarat bayang-bayang ketakutan.

Banyak kisah-kisah ‘pejuang’ derita ditempa tetapi tidak dicerita. Di antara mereka ujiannya berbeza-beza, tahapnya juga tidak sama.

Ramai yang telah berjaya melepasi, ramai pula sedang berbaris untuk melalui ujian seterusnya di tahap yang selanjutnya.

Ustaz kata,

“Memang Allah uji kita dengan macam-macam, sebab apa? Sebab Allah nak angkat darjat kita.

“Allah ni bila Dia cinta, Dia akan uji kita. Tak sama dengan cinta yang kita faham, banyak ketawa, banyak senyum itu tanda cinta, jika masam kita akan tanya, “Awak tak cintakan saya ke?

“Cinta dari Allah itu, ada masa Allah buat kita menangis, ada waktu Allah buat kita susah.

“Siapa yang paling dicintai Allah? Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah.

“Nabi Muhammad ni banyak ketawa atau banyak menangis? Banyak kenyang atau banyak lapar? Banyak senang atau banyak susah?,”

Allahuakbar

Bila datang kebimbangan dan kedukacitaan di dalam hatimu, sebut doa ini ulang-ulang,

يا حيُّ يا قيومُ برحمتِك أَستغيثُ

“Wahai Yang Maha Hidup dan Yang Maha Menguruskan! Dengan Rahmat-Mu aku mohon pertolongan.”

Ajaib sungguh,

Allah jaga kita
Allah lindung kita
Allah cukupkan kita

Kita masih hidup sampai hari ini.

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)

Khabarnya, di syurga ada lapan pintu,
salah satunya adalah pintu ‘sabar’.

Maka, sabarlah
Sabar
Sabar
Dan terus bersabar.

Semoga Allah pilih kita
masuk melalui pintu sabar itu.

Menulis dari hati
‘Nasi Air Kuah Kicap’
Bulala

Sumber Facebook : Suzaila Sudar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *