As’salamualaikum
Dipanjangkan perutusan tahun baru 2016 by Datuk NC UTM through staff mailing list:
Assalamualaikum wrth wbkth
Salam Sejahtera
Alhamdulillah pertamanya marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat melangkah ke tahun 2016 ini.
Sesungguhnya tahun 2015 yang berlalu telah diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang membanggakan sama ada di peringkat Universiti, staf mahupun mahasiswa. Saya percaya kejayaan ini merupakan natijah kepada curahan keringat, usaha, komitmen penuh ikhlas dan kerjasama erat di kalangan seluruh warga Universiti dalam memastikan Universiti Teknologi Malaysia ini terus mencipta kecemerlangan. Namun demikian, kita tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan ini sebaliknya perlu bingkas bangun dan keluar dari kepompong keselesaan bagi mengharungi era yang lebih mencabar pada tahun 2016.
Justeru, marilah kita melangkah ke tahun 2016 yang merupakan tahun kedua pelaksanaan Pelan Global UTM fasa II 2012-2020 ini dengan azam dan semangat yang baharu untuk membawa UTM ke satu aras yang lebih tinggi. Seharusnya lanskap dan persekitaran yang lebih mencabar pada tahun mendatang ini, tidak akan membataskan apatah lagi merencatkan perancangan dan pergerakan kita bahkan sebaliknya ia perlu dijadikan satu titik tolak untuk kita meneroka peluang yang lebih besar dalam mengukuhkan ekosistem akademik dan penyelidikan yang kondusif bagi warga UTM. Pelbagai kejayaan yang telah kita capai pada tahun 2015 seharusnya juga menjadi pemangkin dan memberi kekuatan serta keyakinan tambahan kepada kita untuk melakukan yang lebih baik pada tahun 2016 ini.
Marilah kita sentiasa meletakkan bahawa keberadaan kita di dunia ini amnya dan di UTM khasnya sebagai satu amanah untuk kita laksanakan dengan penuh hikmah dengan bercirikan elemen ke’ihsan’nan sejajar dengan falsafah Universiti, menerajui sains dan teknologi ke arah kesejahteraan dan kemakmuran sejagat.
Marilah sama-sama kita perkukuhkan ukhuwah, memantapkan ekosistem yang produktif, membudayakan inovasi dan berdoa agar kita dapat menyempurnakan segala amanah yang telah diberikan ini dengan sebaiknya dan seterusnya UTM dikurniakan kejayaan dan pencapaian yang lebih cemerlang demi agama, bangsa dan negara.
Selamat Tahun Bahru 2016!
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar
Naib Canselor