Model Kepimpinan Instruksional

Model Kepimpinan Instruksional oleh Murphy (1990)

Murphy (1990) telah menghasilkan satu kerangka kerja kepimpinan instruksional berdasarkan kajian beliau secara menyeluruh mengenai keberkesanan dan peningkatan sekolah, perkembangan staf dan perubahan organisasi. Berdasarkan kajian tersebut, beliau menerangkan terdapat empat dimensi dan 16 fungsi yang perlu dilaksanakan oleh seorang pemimpin instruksional. Rajah 1 di bawah ini menunjukkan Model Kepimpinan Instruksional yang dibangunkan oleh Murphy (1990).

Rajah 1: Model Kepimpinan Instruksional oleh Murphy (1990)

Berdasarkan rajah di atas, dimensi pertama kepimpinan instruksional adalah membentuk misi dan matlamat. Dimensi ini merupakan asas kepada pembentukan visi dan matlamat bersama serta memastikan segala aktiviti yang dilaksanakan di sekolah menjurus kepada visi dan matlamat tersebut. Bagi dimensi ini, Murphy telah membahagikannya kepada dua fungsi iaitu merangka matlamat sekolah dan menyampaikan matlamat sekolah. Menurut Murphy (1990), pencapaian akademik murid menjadi dasar atau asas kepada merangka matlamat sekolah. Matlamat sekolah yang telah dirangka perlu dikongsi atau disampaikan dengan kerap sama ada secara rasmi ataupun tidak kepada murid, ibu bapa dan guru bagi memastikan bahawa segala aktiviti yang dijalankan di sekolah perlu ke arah matlamat yang telah dibina bersama.

Dimensi kedua ialah pengurusan pembelajaran yang menekankan peranan pengurusan pemimpin sekolah dalam mengurus tadbir proses PdP di sekolah. Dimensi ini secara khususnya meliputi lima fungsi iaitu menggalakkan pengajaran berkualiti; menyelia dan menilai pembelajaran; memperuntukkan dan melindungi masa instruksional; menyelaras kurikulum; dan memantau kemajuan murid. Pemimpin instruksional boleh menggalakkan pengajaran berkualiti melalui perbincangan bersama guru sama ada dalam mesyuarat kurikulum, penilaian instruksional guru, lawatan ke bilik darjah seperti learning walk, perbincangan semasa sesi pencerapan dan lain-lain lagi. Sebagai tambahan, pemimpin sekolah harus melindungi masa instruksional dengan sebaik-baiknya melalui prosedur yang sesuai. Pemimpin instruksional dan guru perlu berbincang bersama dalam menyelaras kurikulum sekolah melalui pelarasan matlamat dan objektif sekolah dengan memenuhi tuntutan kurikulum kebangsaan. Selain daripada itu, pemimpin instruksional juga perlu sentiasa memantau kemajuan murid dengan menggunakan data penilaian agar matlamat dan cara penyampaian guru semasa proses PdP dapat diubahsuai mengikut keperluan murid. 

Dimensi ketiga pula adalah mempromosi iklim pembelajaran akademik yang merujuk kepada tindakan pemimpin sekolah yang dapat mempengaruhi norma, pegangan, sikap guru, murid dan ibu bapa sesebuah sekolah (James & Balasandran, 2013). Dimensi ini terdiri daripada empat fungsi iaitu membentuk piawaian dan harapan positif; mengekalkan kebolehlihatan atau “visibility” yang tinggi; menyediakan insentif kepada guru dan murid; dan menggalakkan perkembangan profesional. Menurut Murphy (1990), pemimpin sekolah dapat memupuk perkembangan iklim pembelajaran sekolah yang kondusif untuk proses PdP dengan menetapkan piawaian serta harapan yang positif, mengekalkan visibility yang tinggi, menyediakan insentif kepada guru serta menggalakkan pembangunan profesional. 

Dimensi keempat iaitu membentuk suasana sekolah yang mesra dan saling membantu dengan menerangkan peranan pemimpin instruksional untuk membentuk struktur organisasi dan memantapkan proses-proses yang menyokong pelaksanaan PdP (James & Balasandran, 2013). Pemimpin sekolah yang berjaya melaksanakan dimensi ini berupaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan teratur (fungsi pertama), menyediakan peluang penglibatan murid yang bermakna (fungsi kedua), memupuk kerjasama dan kejeleketan dalam kalangan staf (fungsi ketiga), mendapatkan sumber luar untuk menyokong matlamat sekolah (fungsi keempat) dan menjalin hubungan antara rumah dan sekolah (fungsi kelima). Walau bagaimanapun, model kepimpinan ini mempunyai kelemahan. Menurut Alig-Mielcarek (2003), model ini tidak teruji secara empirikal di sekolah biarpun ia terhasil daripada kajian literatur dan pemerhatian yang mendalam terhadap kepimpinan sekolah.

Model Kepimpinan Instruksional oleh Weber (1996)

Weber (1996), seorang pakar konsep kolaboratif dalam bidang pengurusan telah mengenal pasti lima dimensi dalam kerangka kerja kepimpinan instruksional. Lima dimensi tersebut adalah seperti dalam Rajah 2. Dimensi pertama adalah mendefinisikan misi sekolah. Weber menerangkan bahawa mendefinisikan misi sekolah ialah satu proses dinamik yang memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak termasuk pemimpin, staf, guru, murid dan ibu bapa bagi menghasilkan suatu misi yang jelas, jujur dan boleh dicapai. 

Rajah 2: Model Kepimpinan Instruksional oleh Weber (1996)

Dimensi kedua adalah mengurus kurikulum dan pengajaran. Menurut Weber, usaha mengurus kurikulum dan pengajaran perlu selaras dengan misi sekolah. Pemimpin instruksional harus memiliki keterampilan untuk membimbing guru dari aspek proses PdP agar murid dapat menerima pengalaman terbaik semasa menjalani proses pembelajaran. Pemimpin sekolah juga perlu membantu guru menggunakan amalan terbaik untuk membolehkan murid mencapai standard prestasi akademik yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Dimensi ketiga adalah menggalakkan iklim pembelajaran yang positif. Bagi memastikan dimensi ini tercapai, maka pemimpin sekolah perlu menyebarluaskan matlamat sekolah, menetapkan sasaran pencapaian yang tinggi dalam kalangan murid, mewujudkan suasana pembelajaran yang teratur, dan meningkatkan tahap komitmen guru dalam menjalankan tugas. 

Dimensi keempat adalah memerhati dan meningkatkan kualiti pengajaran. Melalui dimensi ini, pemimpin sekolah boleh melaksanakan pencerapan atau pemerhatian terhadap aktiviti pengajaran guru kerana ia merupakan satu peluang interaksi antara guru dan pemimpin sekolah. Pencerapan dan pemerhatian ini ialah satu peluang pembangunan profesional kepada kedua-dua pihak dalam berkongsi amalan terbaik, ilmu baharu dan pengalaman berguna yang sukar ditemui dalam bahan bacaan. Dimensi kelima adalah menilai program pengajaran. Pemimpin instruksional adalah penggerak dan pencetus idea dalam merancang, mereka bentuk, mentadbir dan menganalisis bentuk penilaian dalam menilai keberkesanan sesebuah kurikulum. Penilaian berterusan program kurikulum ini membolehkan guru memenuhi segala keperluan pembelajaran murid secara berkesan kerana penambahbaikan dijalankan hasil daripada penilaian tersebut.  

Walau bagaimanapun model kepimpinan ini turut mempunyai kelemahan. Menurut Alig-Mielcarek (2003), biarpun model kepimpinan instruksional Weber (1996) merupakan gabungan hasil kajian mengenai perkongsian kepimpinan dan pengupayaan guru bagi mewujudkan sekolah yang mengutamakan pencapaian akademik murid, namun model ini masih belum diuji secara empirikal dan tidak dapat dibuktikan sama ada wujud hubungan positif antara lima dimensi dalam model tersebut dengan pencapaian akademik murid.

Model Kepimpinan Instruksional oleh Hallinger (2011)

Hallinger (2011) menggariskan tiga dimensi dan 10 fungsi dalam menilai tahap kepimpinan instruksional pemimpin sekolah. Tiga dimensi tersebut adalah mentakrif matlamat sekolah, mengurus program instruksional dan menggalakkan iklim sekolah. Ketiga-tiga dimensi tersebut pula diperhalusi dengan 10 fungsi yang menerangkan secara terperinci peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin instruksional di sekolah. Model kepimpinan ini adalah seperti dalam Rajah 3.

Rajah 3: Kepimpinan Instruksional oleh Hallinger (2011)

Dimensi pertama iaitu mentakrif matlamat sekolah terdiri daripada dua fungsi iaitu merangka dan menjelaskan matlamat sekolah. Dimensi kedua pula adalah mengurus program instruksional. Dimensi ini terdiri daripada tiga fungsi iaitu menyelia dan membuat penilaian instruksional, menyelaras kurikulum dan memantau perkembangan murid. Dimensi ketiga adalah menggalakkan iklim sekolah yang meliputi lima fungsi iaitu melindungi masa instruksional, sentiasa kelihatan, menyediakan insentif kepada guru, menggalakkan perkembangan profesional dan menyediakan insentif kepada pembelajaran murid. Penerangan lanjut semua dimensi dan fungsi yang terdapat dalam model ini akan dijelaskan dalam blog.

Rujukan

Hallinger, P. (2011). A review of three decades of doctoral studies using the Principal Instructional Management Rating Scale: A lens on methodological progress in educational leadership. Educational Administration Quarterly47(2), 271–306. http://doi.org/10.1177/0013161X10383412

James, A. J. E., & Balasandran, R. (2013). Kepimpinan instruksional: Satu panduan praktikal (2nd ed.). Kuala Lumpur: PTS Akademia.

Murphy, J. F. (1990). Principal instructional leadership. In L. S. Lotto & P. W. Thurston (Eds.), Advanced in educational administration: Changing perspectives on the school (Vol 1). Greenwoch: JAI Press.

Weber, J. R. (1996). Leading the instructional program. School Leadership, 253–278.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *