Inisiatif Pembelajaran Bukan Konvensional: Wacana Santai Pembelajaran Berasaskan Otak Melalui Pembelajaran Luar Bilik Darjah

Atas faktor kekangan untuk melibatkan jemputan penceramah luar mahupun melakukan lawatan akademik seperti yang saya lakukan pada semester-semester lepas, saya telah meminta pelajar-pelajar saya untuk mengikuti siri webinar yang relevan dengan kursus yang mereka ikuti. Aktiviti ini saya jalankan sebagai alternatif bagi proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak konvensional.

Saya telah meminta pelajar yang saya ajar bagi Kursus Psikologi Pendidikan dan Kursus Profesionalisme Guru untuk mengikuti siri webinar yang bertajuk “Wacana Santai Siri 4: Pendekatan Pengajaran Berasaskan Otak dalam Pembelajaran Luar Bilik Darjah”. Program tersebut berlangsung pada 12 Julai 2020, 2.30 hingga 4.00 petang yang disiarkan melalui YouTube Live di Saluran My Creative 3D.

Penceramah yang menyampaikan sesi perkongsian ini iaitu Cikgu Hemarani merupakan guru di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai yang mengajar subjek bagi Kursus Dandanan Rambut. Beliau juga merupakan alumni Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang mengikuti Program Sarjana Pendidikan (Psikologi Pendidikan).

Dalam sesi wacana tersebut, Cikgu Hemarani telah berkongsikan berkenaan karakteristik pelajar Pendidikan Khas yang beliau ajar. Beliau juga berkongsikan tentang strategi pengajaran Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) yang dilaksanakan beliau dalam menjalankan proses PdPC kursus dandadan rambut. Perkongsian beliau meliputi aspek apa itu PLBD, pelaksanaan PLBD kepada pelajar Pendidikan Khas, cabaran pelaksanaan PLBD dan kelebihan pelaksanaan PLBD dalam meningkatkan minat, motivasi, penglibatan, penguasaaan serta pembentukan sikap positif.

Program ini sememangnya memberikan banyak input kepada saya dan pelajar saya yang mengikuti siri wacana ini. Bagi pelajar saya yang mengikuti kursus Psikologi Pendidikan, mereka boleh menghubungkan apa yang dikongsikan dalam siri wacana ini dengan tajuk yang mereka pelajari di dalam kelas seperti kemahiran pedagogi guru serta pengajaran pelajar berkeperluan khas. Sementara itu, kandungan siri perkongsian ini selari dengan tajuk yang diperlajari pelajar saya yang mengikuti kursus Profesionalisme Guru iaitu ciri-ciri guru efektif dan motivasi pengajaran.