monorel_28-09-16

 

RASA agak terkilan melihat landasan monorel separuh siap berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam. Kalaulah dulu projek bernilai RM400 juta ini diteruskan, sudah pasti Putrajaya tidak mengalami masalah tempat letak kereta kronik seperti sekarang.

Tetapi jika sekarang hendak dibina, bayangkanlah berapa mahal kosnya.

Bayangkan monorel bergerak di sekitar Putrajaya. Tidakkah itu suatu yang indah dan kelihatan maju? Tetapi projek ini terbengkalai dengan jejambat untuk menempatkan relnya terjuntai di stesen LRT di antara Kuala Lumpur dan KLIA.

‘‘Masa depan pengangkutan manusia di seluruh dunia terutama di kawasan urban adalah sistem rel,” kata pakar Kejuruteraan Lalu Lintas dan Pengangkutan dari Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Othman Che Puan kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, semalam.

UTUSAN: Dr. pernah dengar tentang projek monorel di Putrajaya?

DR. OTHMAN: Kalau boleh saya imbas kembali, projek pengangkutan monorel Putrajaya yang meliputi jarak rel sepanjang 18 kilometer sebelum ini dijadualkan siap pada penghujung 2004. Tetapi ia ditangguhkan pada pertengahan tahun tersebut kerana ketiadaan peruntukan.

Pembangunan fasa pertama projek itu melibatkan pewujudan sistem pengangkutan monorel bawah tanah dan jejantas sepanjang lapan kilometer menghubungkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Presint 3 ke Kementerian Pelajaran di Kompleks E.

Ketika itu (2004), MTrans Monorail Sdn. Bhd. (MTrans) diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu, yang dijadual mengambil masa 30 bulan bagi membina 12 stesen termasuk tujuh di bawah tanah dan landasan.

Apa perlunya projek monorel ini diteruskan?

DR. OTHMAN: Setahu saya dan mungkin juga dikongsi oleh orang ramai, memang sukar hendak akses ke bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya. Ini terutama apabila kita mahu berurusan dengan agensi-agensi kerajaan pada sebelah pagi.

Tempat letak keretanya dipenuhi kenderaan penjawat awam sendiri. Sistem Park & Ride tidak berfungsi dengan baik. Park & Ride sepatutnya digunakan oleh penjawat awam dan pelawat tetapi gagal mendapat sambutan. Kita tengok kesesakan yang teruk timbul sehingga terpaksa diperkenalkan pula sistem letak kereta berbayar baru-baru ini.

Projek monorel ini pernah dibangkitkan beberapa kali selepas ditangguhkan pada 2004.

DR. OTHMAN: Ya, ia pernah ditimbulkan semula oleh Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Datuk Zulhasnan Rafique pada 2007 antaranya mahu memperincikan kaedah pelaksanaannya selain merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Malah, Perbadanan Putrajaya sendiri melantik sebuah syarikat perunding tempatan untuk menyiapkan kajian mengenai model kewangan yang sesuai bagi meneruskan projek pengangkutan monorel ini.

Namun sehingga kini tiada kesudahannya. Projek ini penting kerana ia selaras dengan pelan induk pengangkutan awam di Putrajaya yang merangkumi bas dan monorel.

Apa keperluan untuk penyediaan sistem pengangkutan di kawasan urban?

DR. OTHMAN: Ia harus dinilai pada banyak aspek. Antaranya fungsi sistem yang akan disediakan, keselamatan dan keselesaan pengguna, kos langsung penyediaan sistem dan kos kepada pengguna. Lazimnya, faktor-faktor itu akan dijadikan asas penentuan jenis sistem pengangkutan yang sesuai untuk sesuatu kawasan urban yang besar dan padat.

Antaranya, sistem pengangkutan bas, transit aliran ringan (LRT) dan sistem monorel.

Di Putrajaya pula bagaimana?

DR. OTHMAN: Untuk kawasan urban seperti Putrajaya, penyediaan satu sistem pengangkutan awam yang berasaskan state-of-the-art system seperti LRT atau monorel untuk menghubungkannya dengan Kuala Lumpur bukan sahaja perlu dinilai pada sudut keperluan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas masa kini dan masa hadapan.

Pada masa sama, ia juga akan menjadi pelengkap kepada reka bentuk prasarana, bangunan dan tata atur bandarnya yang mungkin boleh dianggap antara terbaik di rantau ini. Ini sesuai dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran utama negara.

Jadi, sistem Park & Ride untuk menyokong monorel di Putrajaya juga perlu berkesanlah?

DR. OTHMAN: Ya, reka bentuknya harus mengambil kira pelbagai mod capaian dan khidmat yang berkaitan dengan kemudahan.

Empat aspek yang perlukan pertimbangan ialah reka bentuk kemudahan park & ride yang berintegrasi dengan komuniti, keperluan kemudahan pejalan kaki dan penunggang basikal serta kenderaan transit.

Selain itu, ambil kira sekali penyediaan kemudahan untuk kenderaan persendirian yang diletakkan di stesen transit. Antara isu teknikal yang perlu dinilai dengan teliti dalam sistem ini yang akan mempengaruhi penggunaannya ialah kewujudan pengguna, kos pengguna di destinasi (dari transit ke destinasi akhir: apa kemudahan yang disediakan), kos perjalanan dan penjimatan tempoh transit.

Contoh Park & Ride terbaik ialah di Stockholm, Hull City, Oxford City dan Prague.

Source: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm