IPOH 29 Julai – Bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres, semua pengelua­ran baharu kenderaan tersebut perlu dilengkapkan dengan alat kawalan had laju bermula awal tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nad­zri Siron berkata, bagi kende­raan sedia ada, pemasangan alat tersebut akan dilakukan secara berpe­ringkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada cara mengawal kelajuan bas dan memastikan kenderaan tersebut bergerak tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam (km/j).

“Justeru, semua pengeluaran kenderaan baharu melibatkan bas ekspres perlu dipasang dengan alat berkenaan bermula Januari tahun hadapan.

“Bagi bas lama, ia boleh dilakukan dari semasa ke semasa kerana pemasangan ini melibatkan kos. Kita beri masa kepada pengusaha bas ini dan menjelang tahun 2020, kesemua kenderaan itu akan dipasang dengan alat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­lakukan lawatan kerja di pejabat JPJ Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga dalam perbincangan untuk menambah kelajuan sebanyak 10 pe­ratus daripada kelajuan sedia ada semasa kenderaan tersebut ketika mereka hendak memotong.

“Kita sedang berbincang me­ngenai perkara ini kerana had laju bagi kenderaan berat di jalan raya adalah 90km/j. Mungkin kita akan beri bonus 10 peratus apabila mahu memotong,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai sistem integrasi bersepadu membabitkan tiga agensi antara JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), beliau berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan membantu dalam pembangunan sistem tersebut.

Katanya, MAMPU akan melihat keperluan secara menyeluruh dalam membantu mengintegrasikan sistem pengkomputeran ketiga-tiga agensi penguat kuasa tersebut yang sebelum ini menggunakan sistem masing-masing.

utusan 30 julai 2016

Nadzri Siron melakukan melepaskan unit anggota JPJ bermotosikal semasa perhimpunan bulanan di JPJ Perak, Ipoh, semalam.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JULAI 2016

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bas-ekspres-dipasang-alat-kawalan-had-laju-2017-1.363956#sthash.qJCiUQAM.dpuf