KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengkaji semula kesesuaian rekabentuk lapangan terbang utama negara bagi meningkatkan aspek keselamatan di kawasan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan, rekabentuk Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menekankan konsep terbuka dilihat menyukarkan langkah untuk membenarkan hanya penumpang berada di dalam terminal di semua lapangan terbang utama negara.

“Kalau kita tengok klia2, kedai-kedainya dekat dengan pelepasan atau ketibaan. Keluar sahaja, ada pasar raya, itu tempat orang awam. Kita mahu tengok rekabentuknya.

“Saya tidak kata (rekabentuk lapangan terbang) kita adalah salah. Namun, buat masa ini, (cadangan itu) sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Bercakap pada satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbaguna Malaysia (KSM) hari ini, Liow menegaskan, MAHB telah diarahkan untuk mengkaji sehabisnya bagaimana untuk meningkatkan keselamatan di KLIA dan klia2.

Bagaimanapun, beliau mengakui cadangan mengasingkan penumpang dengan bukan penumpang di terminal adalah satu langkah yang baik dan sudah dilakukan banyak lapangan terbang di negara lain.

“Cadangan itu memang bernas, sebab kita boleh kesan mana satu penumpang. Kita boleh kepung kawasan itu dan kesan mereka. Ia adalah langkah biasa dilakukan beberapa lapangan terbang lain.

“Namun (ia sukar dilakukan sekarang) sebab kita mempunyai open airport,” kata Liow, yang juga Presiden MCA, di Wisma MCA di sini.

SUMBER: ASTROAWANI 16 Julai 2016

– See More at : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/putrajaya-arah-mahb-kaji-semula-rekabentuk-klia-klia2-demi-keselamatan-111181