KUALA LUMPUR 12 Sept. – Cadangan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengatasi kelemahan sistem transit aliran ringan (LRT) dilihat perlu terutamanya membabitkan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, undang-undang itu sesuai dilaksanakan ketika ini, selaras dengan keperluan semasa dan demi masa depan perkhidmatan pengangkutan awam itu yang semakin berkembang pesat.
Beliau juga berpendapat penggubalan dan pelaksanaan prosedur operasi yang selamat amat perlu diketengahkan.
“Perkara ini sangat penting apabila LRT mengalami gangguan perkhidmatan termasuk apa yang penumpang harus lakukan ketika berada di dalam dan semasa meninggalkan tren.
“Malah arahan daripada pengendali LRT dan maklumat pemindahan yang efisien khususnya bagi warga tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya juga harus mencukupi, tepat pada masanya dan sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim yang menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khusus bagi mengatasi kelemahan dalam sistem LRT ekoran sebarang kemungkinan yang boleh membahayakan dan mencederakan penumpang.
Menurutnya, penambahbaikan sistem LRT boleh dilakukan melalui semakan semula Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Teik Hua berkata, ketepatan masa dan kemajuan dalam operasi minimum juga mesti dipatuhi oleh syarikat penyedia pengangkutan awam.
Profesor Kejuruteraan Pengangkutan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Othman Che Puan pula berpendapat, jaminan kualiti dan keselamatan operasi LRT sepatutnya dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian antara penyedia perkhidmatan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Saya rasa undang-undang khusus itu tidak perlu, kerana ia lebih tertumpu kepada polisi dan isu yang dikaitkan merupakan isu operasi yang sepatutnya ditangani menerusi perjanjian perkhidmatan yang digubal dengan teliti.
“Malah, pihak penyedia perkhidmatan perlu menyediakan pelan evakuasi yang telah diperakui keberkesanannya ketika menghadapi sebarang kerosakan sistem yang memerlukan penumpang dipindahkan sama ada pengangkutan jalan atau ke koc tren dari laluan yang bertentangan arah,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan berkala melalui sistem panel audit luar dan dalam juga perlu dilaksanakan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berpendapat, sebuah jawatankuasa terdiri daripada pihak-pihak berkepentingan harus diwujudkan bagi memastikan isu keselamatan, perlindungan dan kesedaran mengenai hak pengguna tidak dikompromi oleh mana-mana pihak.
“Kami percaya jika jawatankuasa ini ditubuhkan, akan ada lebih ketelusan berkaitan isu seperti perkhidmatan LRT termasuk tarif dan kesedaran.
“Oleh itu, kami memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatankuasa ini di bawah kawalan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
-Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/undang-undang-khusus-atasi-kelemahan-lrt-1.382191